Isnin, 25 April 2022 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Pelajar cemerlang miliki personaliti unik capai sasaran diri

Baru-baru ini, beberapa pelajar cemerlang Malaysia terpilih untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS). Mereka boleh dianggap sebagai 'intan' terpilih daripada 61,220 individu yang mengemukakan permohonan.

Kumpulan pelajar ini adalah bilangan tertinggi dari Malaysia terpilih ke universiti tersohor itu setakat ini, sekali gus mencatat rekod baharu negara.

Pelajar terbabit bakal melanjutkan pengajian dalam bidang astrofizik, biokimia, neurosains, sains alam sekitar, dasar awam, politik, sosiologi dan linguistik.

Apa yang menariknya, menurut laporan panel penemuduga, pelajar terbabit bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah sentiasa memberikan terbaik dalam aktiviti di luar bilik darjah seperti muzik, khidmat sosial dan sukan.

Jika ditinjau dengan lebih teliti, ada beberapa kemahiran dan nilai tambah dimiliki pelajar ini yang membuatkan pencapaian mereka ini berjaya diiktiraf di universiti berkenaan.

Hakikatnya terdapat ciri-ciri tertentu boleh diteladani daripada pencapaian pelajar terbabit dan boleh menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk meningkatkan motivasi diri.

Berdasarkan petunjuk yang ada, pelajar terbabit tidak takut meneroka perkara baharu. Mereka didapati tidak melakukan aktiviti yang lazim dilakukan pelajar lain dan jika pernah dilakukan, mereka mendalami bidang berkenaan sehingga berkepakaran tinggi dan cuba menerapkan kaedah atau pendekatan berbeza.

Pelajar ini juga berminat mendalami isu budaya dan amalan tradisi kerana mereka sedar ia boleh membawa mereka lebih jauh dalam memahami insan, tempat dan peristiwa berbeza bakal dialami.

Mereka juga berfikiran terbuka untuk mengekalkan keharmonian ketika teknologi dan media sosial semakin menguasai kehidupan manusia.

Pelajar ini menerima maklumat dan pandangan dalam media sosial serta berpegang prinsip menghormati antara satu sama lain bagi memahami atas sebab apa sesuatu pendapat itu dikeluarkan. Namun, tidak bermakna mereka perlu bersetuju dengan semua pendapat.

Walaupun mereka dilahirkan dalam keluarga yang kurang berada, mereka berasa terpanggil melakukan khidmat sosial untuk masyarakat dan menunjukkan sifat ihsan.

Mereka juga percaya pengalaman adalah sesuatu berharga, melebihi pemilikan material. Pengalaman adalah sesuatu yang perlu dicari dan ia penting untuk membantu diri mengharungi hari mendatang.

Apa yang jelas, pelajar yang cemerlang tidak menunggu jalan penyelesaian diberikan orang lain, sebaliknya cuba meneroka sendiri, sekali gus membantu memiliki pengetahuan asas yang luas.

Jika memiliki kemahiran seperti seorang kapten pasukan sukan pula, mereka mampu mengenali kekuatan dan kelemahan ahli pasukannya, sekali gus mengurus personaliti berbeza dan menggunakan kepelbagaian itu sebagai asas untuk maju ke hadapan.

Sementara itu, kumpulan pelajar cemerlang biasanya sedar kepentingan dialog untuk membincangkan sesuatu isu. Mereka melihat ia bukan pentas mencari kesalahan atau berpihak kepada mana-mana sisi, sebaliknya pembuka jalan ke arah penyelesaian sebarang konflik.

Lebih penting lagi, pelajar ini sedar dengan menetapkan sasaran untuk masuk ke universiti terkemuka dunia, risiko terbesar ialah kegagalan untuk diterima masuk, namun mereka menjadikan itu sebagai cabaran untuk dihadapi.

Mereka juga sedar mereka bukan sekadar mewakili diri sendiri, tetapi turut membawa nama baik keluarga, institusi dan negara di mata dunia.

Penulis adalah Timbalan Pengarah, Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya

Berita Harian X