Ahad, 24 April 2022 | 11:00am
Gambar fail, sebahagian etnik Rohingya yang ditemui berhimpit dalam sebuah rumah sewa di Kampung Alor Besar, Pendang yang diserbu polis. - Foto/ZULIATY ZULKIFFLI
Gambar fail, sebahagian etnik Rohingya yang ditemui berhimpit dalam sebuah rumah sewa di Kampung Alor Besar, Pendang yang diserbu polis. - Foto/ZULIATY ZULKIFFLI

Isu pelarian di Malaysia ibarat 'duri dalam daging'

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia melaporkan kira-kira 181,000 pelarian dan pencari suaka berada di negara ini.

Daripada jumlah itu, 85 peratus adalah dari Myanmar, termasuk kira-kira 103,000 etnik Rohingya, manakala bakinya adalah pelarian dari 50 negara lain termasuk Pakistan, Yaman, Syria dan Somalia.

Kira-kira 67 peratus pelarian dan pencari suaka ini adalah lelaki, manakala 33 peratus adalah wanita, manakala sekitar 45,000 kanak-kanak berusia bawah 18 tahun.

Golongan ini kebanyakan tinggal di bandar dan pekan di seluruh Semenanjung, dengan populasi besar berada di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada Oktober tahun lalu menjelaskan jumlah pelarian Rohingya sekitar 200,000 orang menerusi penjelasan di Parlimen.

Melihat kepada jumlah pelarian yang berada di Malaysia ketika ini, jumlahnya mungkin tidak begitu signifikan, namun impaknya kepada kehidupan rakyat negara ini tidak boleh dipandang ringan.

Insiden lebih 500 pelarian Rohingya merusuh dan melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Relau, Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Rabu lalu adalah antara contoh terkini impak negatif kebanjiran pelarian di Malaysia.

Ia tidak termasuk kes jenayah membabitkan golongan pelarian ini, penguasaan di sesuatu lokaliti terutama di Lembah Klang dan pelbagai lagi yang menimbulkan kegusaran domestik.

Walaupun Malaysia bukan negara menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, kerajaan negara ini tetap menyediakan bantuan kemanusiaan sewajarnya kepada pelarian etnik Rohingya.

Perlu diketahui Konvensyen UNHCR tidak mengikat Malaysia atau mana-mana negara untuk menerima pelarian ini sebagai warganegara atau menjadi rakyat yang sah.

Hakikatnya, Malaysia sebenarnya tidak lagi dapat menampung lebih ramai pelarian kerana sumber dan kapasitinya sudah mencapai hadnya, ditambah pula dengan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.

Kebanyakan pelarian Rohingya pula memegang kad UNHCR, dokumentasi bertujuan mengiktiraf status pelarian dan pemohon suaka memerlukan perlindungan antarabangsa.

Dokumen UNHCR membantu melindungi pelarian diusir ke negara asal mereka semula terutama jika nyawa dan kebebasan mereka terancam.

Dalam hal ini, jelas sekali isu pelarian etnik Rohingya menyebabkan Malaysia tersepit dan berada di persimpangan dilema antara perlu menjaga nilai moral membela hak asasi kemanusiaan pada kaca mata antarabangsa dengan apa tindakan perundangan yang boleh dilakukan bagi mengusir golongan pelarian ini.

Sebagai negara berdaulat, Malaysia berhak untuk menghantar pulang atau ke mana-mana negara yang sedia menerima pelarian ini, namun dari satu sudut ia akan dilihat sebagai negara 'kejam' dan tidak berperikemanusiaan.

Namun, soalnya perlukah Malaysia menanggung segala permasalahan yang dibawa bersama pelarian ini seperti perlu menjaga kebajikan mereka dan menyediakan tempat tahanan sementara yang menelan jutaan ringgit setiap tahun.

Sedangkan perbelanjaan dikeluarkan itu boleh disalurkan untuk membantu rakyat negara ini terutama yang terkesan dengan pelbagai tekanan hidup akibat pandemik COVID-19.

Memang diketahui Malaysia gigih dan komited berusaha menangani masalah pelarian ini menerusi pelbagai saluran diplomatik dan forum antarabangsa khususnya kerjasama antara negara ASEAN, namun dalam hal ini nasib sering tidak menyebelahi negara.

Konsensus Lima Perkara seperti dipersetujui negara ASEAN bermula dengan bantuan kemanusiaan untuk Myanmar nampaknya masih tidak menampakkan hasil positif walaupun Malaysia lantang menyuarakannya demi keadilan memihak kepada negara.

Kemelut dihadapi Malaysia dalam isu pelarian ini dilihat seperti tidak berpenghujung, namun 'jika tidak dipecahkan ruyung, mana kan dapat sagunya'.

Bermakna tekad dan komitmen semua pihak seperti Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) diperlukan bagi menamatkan permasalahan ini yang bukan saja bagi memelihara imej Malaysia, bahkan menjamin keselamatan sosial serta ekonomi negara.

Berita Harian X