Khamis, 21 April 2022 | 7:39am
Vaksinasi di beberapa negara di dunia belum mencapai kadar 40 peratus. - Foto hiasan
Vaksinasi di beberapa negara di dunia belum mencapai kadar 40 peratus. - Foto hiasan

Laluan endemik berliku, agihan vaksin dunia belum menyeluruh

Ada negara membuat 'naratif palsu' mengenai pandemik sudah berakhir kerana kadar vaksinasi tinggi dan tahap kematian akibat COVID-19 rendah, tetapi realiti menunjukkan sebaliknya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan COVID-19 masih jauh untuk beralih kepada endemik kerana jangkitan virus ini masih tidak menentu, malah boleh mencetuskan wabak besar di seluruh dunia.

Menurut Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berdasarkan maklumat semasa, kemungkinan yang bakal berlaku adalah virus COVID-19 akan terus berkembang, namun kesan penyakit bakal berkurangan disebabkan peningkatan imuniti, tetapi belum mencapai status endemik.

Justeru, Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Michael Ryan, menegaskan adalah silap untuk menganggap jangkitan COVID-19 sudah reda.

Walaupun secara keseluruhan, kes dan kadar kematian menurun di seluruh dunia, statistik kes bukan pengukur baik kerana kadar ujian kini jauh berkurangan. Di banyak negara juga, isu utamanya ialah keperluan mendapat sokongan pemimpin politik untuk mempercepatkan pemberian vaksin.

Hingga akhir Mac lalu, lebih 11 bilion dos vaksin COVID-19 diberikan secara global, tetapi kira-kira 36 peratus daripada populasi global belum menerima dos pertama.

Ketua Teknikal COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove pula mengakui walaupun jumlah kematian akibat COVID-19 di dunia pada minggu lalu terendah berbanding awal kemunculannya, jumlah lebih 20,000 kematian itu dianggap 'masih terlalu ramai' dan kita tidak boleh berpuas hati.

Malah, masih ramai pesakit di hospital serata dunia, termasuk dalam unit rawatan rapi (ICU) dengan kesukaran bernafas, membuktikan penyakit itu bukan ringan.

Apatah lagi adalah sukar meramalkan jalan penyelesaian masa depan kerana Omicron tidak mungkin menjadi varian terakhir COVID-19. Justeru, ramai saintis berpendapat, walaupun virus sedang dalam perjalanan menjadi endemik, ia masih jauh serta berliku.

Berdasarkan WHO, COVID-19 varian Omicron COVID-19 dan terkini Omicron XE lebih berbahaya, terutama bagi mereka belum menerima vaksin. Lonjakan kes jangkitan global menunjukkan ia lebih mudah disebarkan berbanding varian Delta yang lebih dominan sebelum ini.

Lebih membimbangkan, daripada sejuta kes dilaporkan kepada WHO, berjuta-juta lagi kes tidak direkodkan. Diakui vaksin dikenal pasti berkesan untuk mencegah kematian akibat COVID-19 dan kesan penyakit teruk, tetapi ia masih tidak dapat menghalang penularan sepenuhnya.

Apatah lagi masih ramai masyarakat dunia terutama di negara miskin dan mundur atas pelbagai kekangan masih belum berpeluang menerima vaksinasi. Menuju fasa endemik, iaitu belajar untuk hidup dengan virus, ini tidak bermakna kita boleh atau harus menerima jumlah kematian yang masih lagi direkodkan tinggi.

Justeru, WHO menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk di setiap negara, divaksin menjelang pertengahan tahun ini. Bagaimanapun, terdapat 90 negara lagi belum mencapai kadar 40 peratus, dengan 36 daripadanya masih kurang daripada 10 peratus. Di Afrika khususnya, lebih 85 peratus belum menerima walaupun satu dos vaksin.

Ini menunjukkan dunia tidak bersedia menamatkan fasa akut pandemik melainkan kita menutup jurang besar ini. WHO turut menegaskan masih lama untuk pandemik COVID-19 selesai, walaupun pelbagai usaha dilakukan sejak dua tahun lalu.

Tambahan pula, kadar perebakan virus masih terlalu intensif selepas tiga tahun pandemik, meskipun ada trend penurunan. Coronavirus masih dan terus bermutasi dan berlipat ganda di sesetengah negara ditambah masalah pengagihan vaksin, ujian serta rawatan yang ia amat diperlukan bagi meminimumkan penularan dan kematian.

Selain itu, penurunan kadar ujian COVID-19 akibat jumlah kes semakin rendah dan kebanyakan negara melonggarkan sekatan, menyumbang kekurangan data terkini mengenai ancaman pandemik pada peringkat global.

Vaksinasi dan suntikan dos penggalak bukan tiket untuk masyarakat bergerak bebas tanpa mematuhi peraturan COVID-19. Perlu ditegaskan, orang ramai masih perlu memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.

Realitinya, kemunculan Omicron dan Omicron XE adalah peringatan walaupun ramai antara kita menganggap 'perang' menentang COVID-19 sudah selesai, hakikatnya ia belum berakhir.

Penulis adalah Pensyarah Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X