Ahad, 17 April 2022 | 11:01am
NACP dilancarkan pada 2019 mempunyai matlamat unggul, iaitu menuju ke arah negara bersih dan dihormati. - Foto hiasan
NACP dilancarkan pada 2019 mempunyai matlamat unggul, iaitu menuju ke arah negara bersih dan dihormati. - Foto hiasan

Selesai segera halangan capai Pelan Antirasuah Nasional

Pembentangan Laporan Semakan Semula Separuh Penggal Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang mencatatkan hanya 33 peratus inisiatif dicapai sememangnya mencetuskan kebimbangan terhadap sejauh mana kejayaan pelan itu.

NACP dilancarkan pada 2019 mempunyai matlamat unggul, iaitu menuju ke arah negara bersih dan dihormati. Oleh itu, 115 inisiatif di bawah enam bidang utama, iaitu tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang dan tadbir urus korporat dirangka sebagai panduan kepada semua sektor dalam melaksanakan usaha mengatasi rasuah.

Di sebalik pencapaian agak membimbangkan itu, kita harus mengakui terdapat beberapa faktor memperlahankan pelaksanaan inisiatif ini dalam pentadbiran awam dan korporat.

Pertama, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa dilaksanakan ketika negara berdepan pandemik COVID-19 menyebabkan NACP tidak dapat diimplementasikan secara efektif. Pergerakan kakitangan sektor awam dan korporat terhad menyebabkan mekanisme antirasuah tidak dapat dilaksanakan seperti dirancang.

Kedua, pelaksanaan NACP turut terganggu oleh ketidakstabilan politik dalam negara terutama apabila kerap berlaku peralihan dalam pentadbiran negara.

Harus diingat, perubahan dalam kepemimpinan negara secara tidak langsung memperlahankan pelaksanaan inisiatif antirasuah kerana ia memerlukan pembabitan dan komitmen semua pihak secara komprehensif bagi memastikan pelaksanaan inisiatif ini dapat dilaksanakan secara efektif.

Ketiga, terdapat beberapa inisiatif tidak dapat dilaksanakan terus tanpa melakukan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan, semakan perundangan, dan pindaan pada beberapa akta tertentu. Justeru, proses sebegini memerlukan tempoh panjang yang turut diganggu usaha mengekang pandemik dan ketidakstabilan politik, sekali gus menyebabkan kelambatan dalam pelaksanaan beberapa inisiatif dalam NACP.

Walaupun turut mengakui pelaksanaan NACP terganggu atas faktor tertentu, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti, dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan menegaskan sebahagian besar baki 74 inisiatif yang masih dalam proses pelaksanaan akan dapat disiapkan sepenuhnya menjelang akhir 2023.

Kebanyakan inisiatif yang masih berbaki adalah berada pada tahap akhir penyediaan draf. Namun, beliau percaya beberapa inisiatif memerlukan masa lebih panjang untuk dilaksanakan dan pasti akan melangkaui daripada tempoh ditetapkan.

Justeru, GIACC diharap akan terus meningkatkan kerjasama dengan Agensi Peneraju dalam menilai dan mengemaskini proses pelaksanaan NACP agar dapat dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan. Sebarang kekangan dalam pelaksanaan perlu diperhalusi agar pelaksanaan inisiatif berkenaan dapat berjalan dengan lancar.

Berdasarkan Laporan Kemajuan NACP itu, lapan inisiatif berjaya dilaksanakan pada 2020 dan 2021, iaitu Kod Tugas dan Fungsi Setiausaha Politik (SUPOL), Dasar Perlantikan Pegawai Kontrak dalam Perkhidmatan (CFS), pengenalan integriti dalam proses kenaikan pangkat penjawat awam dan tapisan integriti khusus untuk pegawai kerajaan berisiko tinggi.

Begitu juga pengenalan elemen tadbir urus insan dalam program kepemimpinan warga pendidik dan pentadbir di Kementerian Pendidikan (KPM), penekanan kepada elemen integriti dan nilai insan dalam modul program induksi penjawat awam.

Berdasarkan pencapaian 2019, antara inisiatif berjaya dilaksanakan ialah penubuhan Jawatankuasa Pencalonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sistem pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran kerajaan, penambahbaikan dasar pemberian hadiah, sekatan dan campur tangan politik dalam kenaikan pangkat dan pelantikan dalam jawatan kerajaan, Kod Tatakelakuan Ahli Parlimen, Kod Etika Ahli Parlimen, penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dalam menyelia Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), tender terbuka, dan kawalan dalaman dalam Jabatan Imigresen.

Namun, antara inisiatif masih tertangguh ialah proses mentransformasikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguat Kuasa kepada Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Walaupun beberapa inisiatif masih tertangguh tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan, kerajaan terutama GIACC perlu memastikan semua inisiatif NACP akan dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Usaha memperkasakan tadbir urus baik dalam kerajaan, pengukuhan integriti kakitangan awam dan pemantapan usaha antirasuah dalam pentadbiran kerajaan dan korporat perlu dilipatgandakan agar hasrat membasmi rasuah dan meningkatkan imej perkhidmatan awam dan korporat serta menjadikan Malaysia sebagai negara bersih rasuah dan dihormati akan dapat direalisasikan.

Justeru, kerajaan perlu menambah baik kebolehupayaannya dalam melaksanakan inisiatif NACP seperti mempercepatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan akta dengan mengadakan sesi penerangan terhadap ahli Parlimen agar sebarang rang undang-undang (RUU) akan diperkenalkan boleh dibahas dan diluluskan segera.

Ini untuk mengelakkan RUU atau pindaan akta terganggu akibat ketidakfahaman ahli Parlimen, sekali gus menyebabkan proses kelulusan turut terjejas.

Begitu juga proses transformasi daripada IPCMC kepada Suruhanjaya Integriti Penguat Kuasa perlu dilakukan segera kerana ramai beranggapan penubuhan satu suruhanjaya hanya mengkaji salah laku polis tidak mencerminkan hasrat kerajaan meningkatkan tadbir urus baik dalam semua agensi penguat kuasa.

Hakikatnya, pelaksanaan semua inisiatif NACP memerlukan komitmen, dedikasi dan kerjasama semua peringkat dalam kerajaan mahupun korporat. Sebarang halangan perlu dibawa segera kepada perbincangan bersama pihak berkepentingan.

Setiap kekangan perlu diperhalusi dan diselesaikan segera kerana agenda NACP akan berakhir pada akhir tahun depan. Kerajaan hanya mempunyai setahun lebih sahaja untuk memastikan inisiatif NACP dapat dicapai sepenuhnya.

Penulis adalah Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X