Jumaat, 8 April 2022 | 11:00am
Perlindungan terhadap golongan berusia kurang 12 tahun perlu diberikan perhatian. - Foto hiasan NSTP/DANIAL SAAD
Perlindungan terhadap golongan berusia kurang 12 tahun perlu diberikan perhatian. - Foto hiasan NSTP/DANIAL SAAD

Tingkat kesedaran vaksinasi kanak-kanak hadapi ancaman XE

Negara kini memasuki fasa peralihan ke endemik selepas selepas lebih 90 peratus populasi menerima vaksin lengkap pelalian COVID-19 dan dos penggalak.

Data ini menunjukkan majoriti masyarakat menyokong usaha kawalan dan pencegahan COVID-19 menerusi program vaksinasi, walaupun golongan antivaksin menolak kaedah itu.

Apabila berada dalam fasa peralihan ke endemik, pemantauan potensi kes jangkitan pasti tertumpu kepada kelompok masih belum lengkap vaksin dan mereka tidak boleh divaksin.

Harus diingat, COVID-19 akan terus melalui proses perubahan susunan genetik seterusnya menghasilkan varian baharu.

Sebelum ini, kita mengetahui varian virus SARS2 (Severe Acute Respiratory Syndrome 2) penyebab COVID-19, antaranya Alpha, Beta, Kappa, Miu, Delta dan Omicron.

Terbaru, varian XE, kombinasi varian asal Omicron (BA 1) dan subvarian Omicron (BA 2) dikesan di beberapa negara, bermula United Kingdom (UK), Januari lalu.

Sehingga Mac lalu, sejumlah 22,000 kes varian XE dikesan di negara berkenaan. Pada masa sama, China dan Thailand juga memaklumkan penemuan varian itu.

Dalam konteks kesihatan awam, kesan sebenar varian baharu XE terhadap jangkitan dan tahap kesannya perlu diketahui menerusi ujian klinikal perlu.

Seandainya ia mudah berjangkit namun memberikan kesan tidak ketara dari aspek klinikal dan kemasukan ke wad, situasi semasa akibat jangkitan COVID-19 adalah kekal sama seperti dilalui ketika Omicron mengganas.

Ini yang disebut sebagai kesan tidak berpasangan (decoupling effect), iaitu situasi jangkitan tidak lagi menyebabkan peningkatan beban kemasukan ke hospital dan kematian.

Bagaimanapun, kebimbangan ketara pada masa ini adalah pada kelompok kanak-kanak berusia kurang 12 tahun.

Peningkatan kes jangkitan COVID-19 dalam kumpulan berkenaan masih ketara dicatatkan sejak tujuh hingga lapan minggu lalu.

Pakar perubatan kanak-kanak mengesahkan peningkatan kes kanak-kanak perlu dirawat dalam unit kecemasan rapi (ICU) dan terdapat dalam kalangan mereka yang mendapat komplikasi teruk, multi organ inflammatory syndrom for children (MIS-C), iaitu sindrom radang pelbagai organ dalam kalangan kanak-kanak.

Namun, dengan adanya vaksin ditawarkan kepada golongan berusia lima hingga 11 tahun, ia diharap melindungi kelompok berkenaan.

Namun, sasaran awal 70 hingga 80 peratus untuk dicapai sebelum fasa peralihan ke endemik belum menjadi menjadi kenyataan.

Sehingga hari ini, kurang 40 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun divaksin dengan dos pertama, manakala 0.2 peratus sudah menerima dos kedua.

Fasa peralihan ke endemik pada masa ini yang membolehkan lebih banyak interaksi sosial berlaku mendedahkan golongan berkenaan kepada kemungkinan jangkitan serius.

Ini bermakna perlindungan terhadap golongan berusia kurang 12 tahun perlu diberikan perhatian.

Pada masa sama, sebahagian besar mereka sudah memulakan persekolahan dan turut terbabit dalam pelbagai aktiviti dalam suasana menyambut Ramadan serta bersedia untuk sambutan Aidilfitri nanti.

Kesedaran individu dan masyarakat untuk mengambil berat kepentingan golongan kanak-kanak untuk dilindungi perlu dipertingkatkan.

Fasa peralihan ke endemik adalah fasa 'percubaan' untuk negara menamatkan pandemik sebelum beralih sepenuhnya kepada fasa itu.

Semua pihak perlu bersungguh dan bersama memastikan rakyat selamat apabila melangkah bersama ke fasa endemik sepenuhnya nanti.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X