Sabtu, 2 April 2022 | 10:45am

Masa untuk industri pelancongan kembali bangkit

PEMAIN industri pelancongan negara pasti menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pembukaan sempadan negara bermula semalam, selaras dengan bermulanya fasa peralihan ke endemik.

Ia memberi kelebihan kepada rakyat untuk ke luar negara sama ada bekerja atau melancong ke negara yang membuka pintu sempadan kepada pengembara luar.

Pembukaan pintu sempadan untuk pelancongan ini satu daripada langkah proaktif bagi Malaysia menguruskan cabaran pandemik COVID-19 dengan mengurangkan kesan kepada sektor ekonomi.

Pandemik yang melanda sejak dua tahun lalu menjejaskan sepenuhnya sektor pelancongan. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganggarkan kerugian dalam industri berkenaan meningkat kepada RM165 bilion pada 2021 berbanding RM135 bilion pada 2020.

Tidak dinafikan, pembukaan semula sempadan negara menjadi berita gembira kepada penggiat industri pelancongan kerana ia pasti merancakkan sektor berkenaan sekali gus menjana semula ekonomi dan pendapatan.

Langkah kerajaan ini diambil selaras dengan kadar vaksinasi negara yang baik, perkembangan pandemik COVID-19 terkawal serta kejayaan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi mencatatkan lebih 720,000 pelancong domestik dan antarabangsa sejak dilaksanakan tahun lalu.

Malaysia kini menyertai negara lain di dunia membuka pintu sempadan antaranya Denmark, England, Scotland, Wales, Ireland Utara, Norway, Bahamas dan Maldives.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan keputusan pembukaan sempadan negara kepada pelancong luar berupaya merancakkan kembali pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19, terutama membabitkan keseluruhan rantaian pemain industri pelancongan, seni dan budaya negara.

Justeru, sekarang adalah masa bagi pemain industri pelancongan meningkatkan promosi bagi menarik minat seluruh spektrum pelancong seperti kebudayaan, ekopelancongan dan pelancongan kesihatan ke Malaysia bagi memacu semula industri ini.

Jaminan Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Mohd Khalid Harun yang ahlinya akan memberi sokongan dan kerjasama bagi mempromosikan kembali Malaysia ke peringkat antarabangsa dengan memperkenalkan pelbagai promosi pakej pelancongan menarik juga menunjukkan harapan tinggi mereka untuk membantu kerajaan meningkatkan industri pelancongan.

Jelas sekali, pembukaan pintu sempadan negara kepada pelancong asing menjadi titik tolak kepada kejayaan sektor pelancongan antarabangsa pasca pandemik COVID-19.

Seluruh penggiat industri pelancongan dan kebudayaan perlu bersedia untuk menerima semula kemasukan pelancong dalam jumlah yang tinggi.

Pemain industri perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 perlu terus dipatuhi dengan tahap disiplin tinggi.

Tahap kesihatan pelancong serta sumber manusia yang terbabit dalam industri ini perlu dipantau setiap masa bagi memastikan tiada penularan COVID-19 dalam kalangan pelancong asing dan rakyat tempatan.

Selain itu, mutu produk pelancongan serta kualiti perkhidmatan yang baik hendaklah diberikan bagi memastikan pelancong berpuas hati dengan pakej ditawarkan.

Kerjasama daripada kementerian, pemain industri serta rakyat amat penting bagi memastikan pembukaan semula sempadan negara bagi memacu sektor pelancongan mencapai objektifnya.

Dengan pembukaan sempadan negara ini, pemain industri perlu merebut peluang terhidang ini dengan terus mempergiatkan promosi dalam memasarkan produk dan destinasi pelancongan Malaysia di mata dunia.

Justeru, sokongan daripada semua pihak diperlukan untuk industri ini kekal berdaya saing dan kembali bangkit selain menjadikan Malaysia kembali popular dalam kalangan pelancong antarabangsa.

Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan UiTM Cawangan Melaka

Berita Harian X