Jumaat, 1 April 2022 | 11:10am

Kerajaan perlu rangka dasar khusus jaga kebajikan pekerja gig

PROFESION sebagai pekerja gig semakin dikenali dan menjadi trend terkini dalam pasaran buruh secara global.

Pekerjaan gig mendapat lebih perhatian sejak krisis COVID-19 tercetus pada 2020 apabila pemberhentian pekerja melonjak pada separuh pertama tahun itu dengan mereka diberhentikan kerja, memilih menjadi pekerja gig demi kelangsungan hidup.

Kementerian Sumber Manusia melaporkan hampir 100,000 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Jabatan Perangkaan merekodkan kadar pengangguran mencecah 4.8 peratus pada Disember 2020, tahap tertinggi dalam lebih tiga dekad lalu.

Tahun ke tahun, bilangan penganggur meningkat 306,300 kepada 826,100 pada Mei 2020 dan terbaru kes pengangguran menurun kepada 687,600 orang pada awal Januari tahun ini.

Sehubungan itu, penganggur terpaksa mengambil bahagian secara aktif dalam ekonomi gig demi kelangsungan hidup mereka.

Statistik menunjukkan pekerja gig meningkat berbanding sebelum pandemik iaitu hampir 500,000 dan terbaru, rekod menunjukkan hampir empat juta individu menyertai ekonomi gig pada 2021.

Ini kerana, pekerjaan gig antara pemacu sektor perkhidmatan masa kini menumpukan kepada kerja dilakukan secara sementara, masa fleksibel dan bebas daripada ikatan kontrak atau dikenali freelancer.

Ketika ini, pekerja gig dikaitkan dengan pekerjaan membabitkan penggunaan aplikasi dan terbabit dengan platform digital serta selaras dengan pembangunan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Kebanyakan pekerja gig adalah penunggang e-hailing sebagai pengantara yang menghubungkan penyedia dan juga pengguna aplikasi seperti GrabFood, FoodPanda, Lalamove, Shoppee eXpress atau Speedy.

Oleh itu, ekonomi gig sangat membantu mereka yang terjejas pendapatan, diberhentikan kerja dan sukar mendapat pekerjaan.

Pekerjaan gig juga menjadi tempat kepada graduan baharu, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, pesara dan individu menyara keluarga dalam kalangan B40.

Generasi muda kini cenderung kepada pekerjaan gig membabitkan digital kerana keutamaan mereka mementingkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan.

Kebanyakan mereka mahu menambah hasil sebagai pendapatan sampingan dan perlukan masa kerja fleksibel.

Di sebalik kelebihan kerja fleksibel dan bebas kontrak, terdapat banyak perkara perlu diperjuangkan untuk kesejahteraan pekerja gig.

Antara kelemahan bekerja di gig ekonomi adalah pendapatan tidak stabil, tidak mudah untuk keluar daripada perangkap kemiskinan dan tiada perlindungan sosial.

Pertama, kesejahteraan pekerja gig tidak begitu stabil dari segi pendapatan konsisten, perlindungan hidup dan jika sakit, tidak menikmati faedah seperti pekerja tetap.

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM), tiada perundangan khusus bagi mengawal selia dan melindungi kebajikan pekerja gig berikutan golongan itu tidak berada bawah kawalan Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim menyatakan di Dewan Rakyat 'sistem pekerjaan gig dan contract for service dipersetujui menjadikan pekerja ekonomi gig tidak terpakai di bawah Akta 732 dan PGM'.

Kedua, pekerja ekonomi gig mungkin mengalami gaji dan faedah kesihatan tidak konsisten berdasarkan sifat pekerjaan itu bergantung kepada permintaan pengguna aplikasi.

Mereka juga tidak tergolong untuk mendapat faedah gaji minimum disyaratkan kerajaan. Walaupun gaji minimum sekarang RM1,500, bekerja gig boleh mendapat lebih pendapatan jika rajin, banyak permintaan di kawasan dan pantas.

Ketiga, pendapatan tidak tetap golongan ini menyukarkan mereka menyimpan dengan konsisten, apatah lagi menabung untuk persaraan.

Tanpa simpanan secukupnya mungkin sukar golongan ini menanggung diri ketika sakit. Pekerja gig juga mudah mengalami burn out dengan pendapatan terhad dan tekanan terhadap taraf hidup.

Ini antara faktor mereka jatuh ke dalam perangkap kemiskinan dan bukan mudah keluar daripada golongan B40.

Terakhir, tiada perlindungan kesihatan pada hari tua. Pekerja gig yang masih muda dan terdiri daripada graduan baharu, tidak mempunyai simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Akibatnya, generasi muda bekerja gig ini tidak merasa kepentingan faedah dana persaraan pada hari tua. Selain itu, mereka bukan ahli Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), melainkan mereka memilih untuk mencarum.

Kerajaan menyediakan perlindungan lebih baik kepada pekerja itu dengan mendapat perlindungan sosial di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789] sekiranya mereka mencarum di bawah akta itu.

Isu di atas menunjukkan kesejahteraan pekerja gig pada tahap membimbangkan dan perlu satu landskap jaringan keselamatan sosial untuk jangka panjang demi kelestarian pekerja dalam ekonomi gig.

Justeru, Unit Perancangan Ekonomi Malaysia menerbitkan rangka tindakan (blueprint) Ekonomi Digital Malaysia untuk memacu ekonomi negara ke arah negara berdigital dan berpendapatan tinggi.

Ini termasuk merancang pelbagai dasar untuk menjana peluang lebih besar kepada setiap segmen ekonomi dan semua lapisan masyarakat termasuk pekerja terbabit dengan digital seperti pekerja gig.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi dalam matlamat pembangunan mampan (SDG) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah teras 9, iaitu membina infrastruktur berdaya tahan serta perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) efektif.

Rangka tindakan ini dijangka membantu kelestarian hidup pekerja gig dan meningkatkan daya saing sihat serta produktif seiring dengan SDG.

Usaha ini bakal meningkatkan taraf hidup golongan terbabit, mencipta peluang pekerjaan produktif menggunakan digital dan seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi mampan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Melaka

Berita Harian X