Rabu, 30 March 2022 | 12:25pm
Rakyat perlu mengekalkan SOP walaupun negara memasuki fasa peralihan ke endemik. - Foto hiasan
Rakyat perlu mengekalkan SOP walaupun negara memasuki fasa peralihan ke endemik. - Foto hiasan

Fasa peralihan ke endemik uji rakyat patuh SOP

Oleh Mohd Faizol Rizal Mohd Rasid

bhrencana@bh.com.my

Malaysia bakal melangkah fasa peralihan ke endemik bermula Jumaat ini selepas lebih dua tahun bergelut memerangi pandemik COVID-19.

Ibarat 'bonus' yang sudah lama dinantikan, pengumuman itu memberi kelegaan kepada rakyat selepas terpaksa mengharungi pelbagai sekatan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2020.

Langkah kerajaan ini dalam usaha melaksanakan proses pemulihan bagi sektor terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dianggap tepat pada masanya.

Keyakinan dan keberanian melaksanakan exit-strategy wajar bagi membolehkan masyarakat kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum penularan COVID-19.

Justeru, Keluarga Malaysia perlu sedar fasa peralihan ke endemik tidak sesekali menjamin keselamatan masyarakat sepenuhnya.

Rakyat perlu memahami sepenuhnya dan menganggap fasa peralihan ke endemik bukan kejayaan mutlak memerangi COVID-19.

Yang pasti, ia bukan 'tiket' bagi menjalani kehidupan bebas sepenuhnya sehingga enggan atau menolak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika di fasa peralihan ke endemik.

Kelonggaran diberikan bukan bermaksud negara berjaya memerangi COVID-19, sebaliknya pematuhan SOP perlu dikekalkan.

Pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, mengelak berada di tempat sesak, menghindari bersentuhan, menjaga kebersihan diri adalah tindakan dan amalan kendiri harus dikekalkan bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Masyarakat perlu diingatkan supaya terus mengambil pendekatan lebih proaktif dengan melakukan penilaian risiko kendiri secara berterusan.

Hebahan dan kempen meningkatkan kefahaman masyarakat terutama keperluan melakukan ujian kendiri dan pencegahan COVID-19 perlu diteruskan.

Kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan amat diperlukan supaya rakyat tidak meletakkan tanggungjawab ini kepada KKM semata-mata.

Masyarakat perlu terus berwaspada dan ambil iktibar kegagalan negara lain mengurangkan jangkitan walaupun kadar vaksinasi tinggi.

Selain itu, disiplin dan kepatuhan masyarakat terhadap SOP perlu kekal tahap tertinggi untuk memastikan kes baharu sentiasa terkawal, sekali gus mengurangkan beban kepada sistem kesihatan awam negara.

Bagi sektor pekerjaan, elemen pengurusan risiko di tempat kerja perlu diamalkan dan dititikberatkan majikan bagi memastikan persekitaran kerja selamat dan sihat.

Antara faktor pengurusan risiko serta tindakan perlu diambil adalah mengekalkan persekitaran dan sistem kerja selamat berdasarkan SOP semasa.

Pelaksanaan penilaian risiko untuk mengurangkan penularan COVID-19 di tempat kerja juga perlu dilakukan secara berterusan.

Majikan perlu menyediakan maklumat, pekeliling, arahan dan penyeliaan berkala bagi mengelak risiko penularan COVID-19 di tempat kerja.

Apa yang penting, rakyat perlu menghargai kelonggaran diberikan dan kekal berdisiplin mematuhi SOP ditetapkan. Kegagalan rakyat untuk bersatu memerangi virus ini mungkin akan menggagalkan proses pemulihan negara.

Penulis adalah Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam

Berita Harian X