Sabtu, 26 March 2022 | 10:30am
Utamakan pembentukan sahsiah murni dalam program dan kandungan digital mesra kanak-kanak. - Foto hiasan
Utamakan pembentukan sahsiah murni dalam program dan kandungan digital mesra kanak-kanak. - Foto hiasan

Beri perhatian isu kandungan digital mesra kanak-kanak

Kandungan digital mesra kanak-kanak sewajarnya difahami sebagai program, kandungan dan perisian sesuai untuk golongan itu dengan memberikan kesan baik serta membantu perkembangan positif dalam baik fizikal, kognitif, sosioemosi dan psikospiritual.

Dalam konteks Islam, kandungan itu perlu patuh syariah, membawa maslahat dan menghindari mudarat kepada kanak-kanak dan kehidupan mereka.

Kandungan digital dalam bentuk video lebih popular dan sudah tersedia sama ada dalam bentuk audio-visual asli mahupun animasi.

Bagi kanak-kanak, kandungan dan teknologi digital berperanan besar dalam kehidupan kerana mereka membesar dalam suasana era lantunan teknologi maklumat dan komunikasi lebih maju. Dunia semakin beralih kepada kebergantungan terhadap teknologi digital dan kehidupan kini akan terus dipacu platform teknologi digital.

Tidak dinafikan semua ini kesan langsung COVID-19 kerana impak besar pandemik apabila semua kanak-kanak terpaksa mengikuti pembelajaran secara dalam talian, sekali gus merancakkan lagi pengaruh teknologi digital dalam kehidupan mereka.

Ia pastinya mempunyai pengaruh dan pertalian langsung terhadap perkembangan sama ada secara fizikal, mental dan sosial atau tingkah laku.

Membicarakan kesan dan pengaruh kandungan digital serta teknologi multimedia kepada perkembangan kanak-kanak, ia boleh dilihat secara positif atau negatif. Bagaimanapun, kita perlu memberikan perhatian kepada kesan negatif akibat penggunaan atau kebergantungan secara keterlaluan terhadap kandungan digital.

Peningkatan jumlah masa kanak-kanak berada dalam talian juga sangat membimbangkan. Berdasarkan beberapa saranan pakar seperti American Academy of Pediatrics (AAP) pada 2013, anak di bawah usia enam tahun disarankan untuk dihadkan penggunaan gajet kurang dua jam sehari.

Bagaimanapun, dalam kajian di negara ini pada 2020, majoriti kanak-kanak prasekolah berusia antara lima hingga enam tahun didapati menggunakan gajet lebih daripada tempoh disarankan itu.

Penggunaan masa berlebihan memberikan kesan buruk kepada perkembangan diri kanak-kanak seperti masalah penglihatan terutama rabun jauh.

Berdasarkan laporan CyberSecurity Malaysia pada 2019, penggunaan alatan digital berlebihan juga boleh menyebabkan Digital Eye Syndrome (DES). Beberapa tanda DES ialah penglihatan menjadi kabur, ketegangan/keletihan mata, mata kering atau merah serta sakit kepala.

Masalah fizikal dan saraf seperti kesakitan otot serta sendi, terutama jari tangan dan tulang belakang, turut berlaku.

Di samping itu, terlalu lama di alam maya turut menjejaskan kemahiran sosial dan pengurusan emosi kanak-kanak kerana kurang pendedahan kepada aktiviti sosial secara fizikal.

Kebimbangan berikutnya berkaitan perisian kandungan digital yang sekiranya lebih banyak mengandungi unsur negatif seperti keganasan, pornografi, kepalsuan dan jenayah kebencian, sudah pasti kanak-kanak akan membesar dengan gaya hidup menyimpang.

Berhubung isu kandungan digital mesra kanak-kanak, terdapat beberapa perkara perlu diberi perhatian wajar semua pihak terutama ibu bapa.

Terdapat perisian kandungan digital yang boleh meningkatkan risiko ketagihan kepada kanak-kanak. Ketagihan internet, gajet dan permainan dalam talian pula didapati semakin meningkat hingga ia perlu dikawal agar tidak melarat dan menjejaskan kesihatan serta perhubungan sosial.

Lebih membimbangkan, kajian penyelidik daripada Universiti McGill, Kanada mengenai penggunaan telefon pintar membabitkan 34,000 peserta daripada 24 negara antara 2014 hingga 2020, mendapati Malaysia menduduki tangga ketiga dalam senarai ketagihan penggunaan telefon pintar.

Perkara asas perlu difahami adalah memberi keutamaan kepada aspek kemaslahatan dan mengelakkan kemudaratan dalam menikmati kandungan digital dan melayari internet.

Bagi menerbitkan program dan kandungan digital mesra kanak-kanak khususnya dalam pembentukan sahsiah murni, ia sewajarnya berpandukan panduan kehidupan Rasulullah SAW dalam memberikan hikmah dan pendidikan sangat berharga.

Penulis adalah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X