Selasa, 22 March 2022 | 10:00am
Malaysia tidak terkecuali berhadapan bencana alam. - Foto hiasan
Malaysia tidak terkecuali berhadapan bencana alam. - Foto hiasan

Contohi Jepun didik rakyat urus bencana alam

Fenomena perubahan iklim global ekstrim secara tidak langsung mengundang berlaku bencana alam di seluruh dunia.

Malaysia juga tidak terkecuali berhadapan dengan bencana alam yang dipengaruhi akibat pemanasan global seperti hujan lebat luar biasa sehingga menyebabkan banjir kilat seperti berlaku pada akhir tahun lalu dan awal bulan ini.

Kejadian tanah runtuh juga kerap berlaku dalam negara sejak kebelakangan ini. Lazimnya, tanah runtuh berlaku disebabkan faktor hujan lebat menyebabkan kepadatan tanah merosot dan terlalu banyak projek pembinaan berhampiran tanah tinggi.

Jika dilihat daripada beberapa siri bencana alam yang berlaku sejak kebelakangan ini, khususnya banjir, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada perkara ini.

Aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan secara berleluasa dikatakan antara punca berlaku banjir besar melanda negara baru-baru.

Justeru, apabila berlakunya hujan lebat, maka impak banjir menjadi sangat buruk sehingga membawa kepada kemusnahan harta benda pada skala yang besar.

Selain itu, aktiviti pembangunan secara tidak terancang juga turut menjadi penyumbang kepada banjir teruk. Ini bermaksud kemungkinan sistem saliran tidak direka bentuk dengan baik dan sempurna sehingga menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan berkesan.

Hal ini ditambah pula dengan pembangunan pantas di sesuatu kawan menyebabkan lokaliti itu menjadi terlebih padat, sekali gus mengurangkan tahap keberkesanan sistem saliran sedia ada.

Dalam konteks ini, sekiranya pembangunan dilaksanakan secara terancang, pelbagai aspek seperti kepadatan penduduk setempat, data taburan hujan, paras banjir dan pelbagai maklumat hidrologi diambilkira bagi memastikan sistem perparitan bersesuaian direkabentuk agar dapat menampung curahan hujan lebat dan mengelakkan risiko banjir.

Kegagalan dalam perancangan guna tanah di sesuatu kawasan pembangunan serta penerokaan ke atas kawasan sensitif juga menyumbang kepada banjir.

Pengabaian pertimbangan terhadap aspek teknikal, keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar turut menjadi penyumbang kepada kejadian banjir luar biasa.

Justeru, dalam melaksanakan aktiviti pembangunan, ia perlu dilakukan secara lebih terancang dengan mengambil kira peningkatan kadar taburan hujan dan juga cuaca ekstrem pada masa akan datang.

Bagi meminimumkan impak bencana alam, pengurusan risiko bencana adalah aspek penting perlu diberi perhatian serius.

Dalam hal ini, tidak salah Malaysia belajar dan mencontohi Jepun memperkasakan tahap kesiapsiagaan dalam kalangan masyarakat untuk berhadapan dan menguruskan bencana alam dengan baik.

Negara Matahari Terbit diiktiraf sebagai antara negara mempunyai sistem pengurusan bencana yang terbaik dan sistematik.

Aspek pendidikan dan kesedaran untuk berhadapan atau menguruskan risiko bencana sangat diberi penekanan di Jepun. Ia dimulakan sejak peringkat sekolah rendah.

Perkara ini perlu dicontohi oleh Malaysia, yakni dengan memulakan langkah awal untuk menerapkan pendidikan dalam aspek pengurusan risiko bencana.

Pendidikan berkaitan dengan pengurusan risiko bencana alam dilihat bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan memandangkan bencana alam seperti banjir dan sebagainya kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Penulis adalah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X