Sabtu, 12 March 2022 | 11:00am
 Perlindungan bencana berasaskan komuniti perlu dirangka menepati keperluan masyarakat terjejas. - (Foto hiasan/NSTP/ASYRAF HAMZAH
Perlindungan bencana berasaskan komuniti perlu dirangka menepati keperluan masyarakat terjejas. - (Foto hiasan/NSTP/ASYRAF HAMZAH

Syor wujud perlindungan bencana berasas komuniti

Tidak sampai tiga bulan tragedi banjir besar melanda negara pada akhir tahun lalu, penduduk di Lembah Klang dikejutkan lagi dengan kejadian banjir hampir melumpuhkan ibu kota pada minggu ini.

Bencana banjir kilat yang tidak diduga pada kali ini menyaksikan ribuan kenderaan terperangkap dan ditenggelami banjir, selain ribuan kediaman di Lembah Klang mengalami kerosakan.

Rata-rata penduduk tidak menjangkakan sama sekali kejadian banjir boleh berulang dalam tempoh terdekat sehingga mengakibatkan banyak kerosakan dan kemusnahan harta benda.

Hal ini jelas menunjukkan bencana alam seperti banjir kilat boleh berlaku pada bila-bila masa. Umum mengetahui kerugian akibat kerosakan dan kemusnahan harta benda disebabkan bencana alam seperti banjir boleh dilindungi dengan perlindungan peril khas tambahan di bawah polisi insurans atau sijil takaful.

Jika tiada persediaan awal dibuat dengan mengambil perlindungan peril khas insurans, sudah pasti kerugian besar akan terus dihadapi rakyat. Ini termasuk kerugian akibat kemusnahan secara menyeluruh yang mana mana kos membaik pulih terlampau tinggi.

Secara amnya, perlindungan peril khas insurans memainkan peranan penting sebagai bentuk bantuan pemulihan akibat bencana alam. Namun begitu, ramai masyarakat tidak mempunyai perlindungan peril khas untuk bencana disebabkan kurangnya pendedahan, selain kemampuan untuk mendapatkan perlindungan.

Namun, sejak tragedi banjir pada akhir tahun lalu, tahap kesedaran dan pemilikan perlindungan peril khas insurans dalam kalangan masyarakat untuk melindungi kenderaan daripada risiko bencana dilihat semakin baik.

Ramai pemilik kenderaan memilih untuk mendapatkan perlindungan tambahan ini disebabkan ketidaktentuan cuaca kebelakangan ini. Namun begitu, masih terdapat jurang besar dilihat dalam pemilikan perlindungan peril khas bencana untuk kediaman dan harta benda.

Dalam hal ini, mungkin sudah tiba masa untuk kerajaan serta pemain industri perlindungan harta negara merangka dan mewujudkan perlindungan insurans bencana berasaskan komuniti.

Perlindungan ini wajar bagi mengurangkan bebanan kerajaan membantu mangsa terbabit bencana untuk bangkit semula meneruskan kehidupan.

Mengambil contoh Skim Khairat Kematian yang berperanan menjaga kebajikan ahli, perlindungan bencana berasaskan komuniti juga berupaya memberi jaminan perlindungan kepada komuniti untuk melindungi kediaman dan harta benda yang rosak atau musnah akibat bencana alam.

Insurans atau takaful bencana berasaskan komuniti berpotensi membantu kerajaan merapatkan jurang perlindungan serta meningkatkan tahap kestabilan kewangan mangsa bagi pemulihan akibat ditimpa bencana.

Perlindungan ini harus dirangka untuk menyediakan perlindungan terhadap risiko bencana dan menepati keperluan komuniti, selain memastikan bayaran premium rendah, berpatutan dan tidak membebankan.

Kajian Wharton School, Universiti Pennsylvania di bandar Marshfield, Massachusetts membuktikan perlindungan bencana berasaskan komuniti berjaya mempertingkatkan daya saing kewangan sesebuah komuniti, mempercepatkan proses pemulihan mereka yang terkesan dan menyokong pembangunan ekonomi pasca bencana.

Kajian itu juga mendapati model perlindungan ini mampu memberi insentif pada peringkat masyarakat setempat dengan memastikan bayaran premium dikenakan adalah mampu mampu bayar, perlindungan lebih menyeluruh, di samping membantu proses penilaian risiko.

Secara asas, insurans dan takaful bencana berasaskan komuniti mampu meningkatkan daya tahan fiskal kerajaan dan meningkatkan kadar perlindungan masyarakat.

Ia juga dilihat mampu meningkatkan perpaduan dan kerjasama dalam kalangan komuniti menghadapi musibah pada masa depan. Bak kata pepatah, 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam

Berita Harian X