Isnin, 7 March 2022 | 11:00am
Masalah pencemaran sungai perlu diberi perhatian serius kerana ia mengancam kesejahteraan masyarakat serta alam sekitar. - Foto hiasan/ZAIN AHMED
Masalah pencemaran sungai perlu diberi perhatian serius kerana ia mengancam kesejahteraan masyarakat serta alam sekitar. - Foto hiasan/ZAIN AHMED

Calon PRN Johor wajar ketengah isu alam sekitar

Agenda alam sekitar perlu terus diangkat termasuk melalui penambahbaikan dan pengukuhan dasar, polisi serta undang-undang demi membendung krisis pencemaran alam dan menjamin kemaslahatan rakyat.

Justeru, usaha dan komitmen ahli politik sebagai pemimpin sangat diperlukan kerana pemeliharaan alam sekitar memerlukan iltizam politik.

Ini termasuk memperjuangkan isu alam sekitar ketika berkempen sama ada dalam pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya negeri (PRN) kerana politik alam sekitar akan melihat dan memahami hubungannya dengan pembangunan.

Di Australia misalnya, Green Party lantang memperjuangkan isu politik alam sekitar dan gigih mendidik masyarakat agar menjaganya demi mencapai negara mempunyai keadaan sosial lestari.

Politik alam sekitar juga berkaitan dengan masalah ekologi berpunca keputusan politik pihak berkuasa merangkumi isu pelupusan sisa pepejal, pembangunan tanah bencah, hidupan liar dan isu air.

Isu alam sekitar yang boleh diketengahkan merangkumi kutipan sampah, bekalan air, penyelenggaraan kemudahan awam, pembalakan, keterancaman hidupan liar, pencemaran dan kemusnahan alam.

Di Kelantan misalnya, isu bekalan air bersih dan penerokaan hutan untuk pembalakan antara dimainkan, manakala di Selangor, krisis bekalan air disebabkan pencemaran sungai yang membawa kepada bekalan air terawat kerap terputus, banjir kilat, perlombongan pasir dan kelewatan pungutan sampah sering diangkat.

Hakikatnya, masalah alam sekitar membawa ancaman besar ke atas diri individu dan masyarakat kerana ia masalah semua orang termasuk ahli dan parti politik.

Alam sekitar tercemar boleh mengancam kesihatan manusia kerana banyak penyakit berpunca daripada pencemaran berlaku. Ia turut menjejaskan tumbuhan dan haiwan, sekali gus merosakkan harta benda seperti banjir besar dan perubahan iklim.

Mengikut Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) 2018, Malaysia berada di kedudukan 75 daripada 180 negara pada 24 petunjuk prestasi dalam 10 kategori isu merangkumi kesihatan alam sekitar dan daya hidup ekosistem.

Lebih mengecewakan, Malaysia berada pada kedudukan 136 daripada 180 negara dalam kategori hutan tanpa mendapat sebarang skor. Ini menunjukkan aset hutan hujan tropika semakin mengecil akibat kegiatan aktiviti manusia tidak terkawal.

Bagaimanapun dalam kajian akademik terhadap beberapa kawasan pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 menyatakan isu alam sekitar tidak menjadi pertimbangan utama untuk memilih calon atau parti bertanding di negara ini.

Pengundi lebih melihat isu pembangunan fizikal, pemulihan ekonomi dan perpaduan sebagai asas menyokong parti bertanding. Walhal isu alam sekitar sangat penting diketengahkan kerana ia mempengaruhi kesejahteraan dan kesihatan masyarakat secara keseluruhannya.

Justeru, merujuk PRN Johor, isu alam sekitar perlu diketengahkan ahli parti politik kerana negeri itu mengalami beberapa isu alam sekitar 'serius' hingga mengancam kesejahteraan dan kesihatan masyarakat serta alam sekitar.

Antaranya operasi kilang haram dan pembuangan sisa toksik secara haram seperti berlaku di Sungai Kim-Kim.

Johor juga negeri mempunyai paling banyak sungai tercemar antaranya Sungai Tukang Batu di Pasir Gudang yang berada dalam kategori kelas lima, iaitu sungai paling teruk tercemar di negara ini dan Sungai Tebrau yang dikatakan menduduki tempat ke-53 sungai paling tercemar di dunia, selain banjir kilat dan sampah sarap tidak berkesudahan.

Usaha menjaga alam perlu dilipatgandakan untuk menyelesaikan krisis alam sekitar antaranya melalui kesedaran politik. Sebarang usaha memelihara dan memulihara alam sekitar tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa dokongan penuh dan suara lantang ahli politik.

Sebagai wakil suara rakyat, wajar menyokong sepenuhnya antaranya dengan membawa agenda penting ini dalam survival politik mereka kerana berupaya mempengaruhi disebabkan mempunyai pengikut ramai.

Oleh itu, pengetahuan asas kepada alam sekitar dan isu berkaitan sangat perlu dalam kalangan ahli politik. Sudah tiba masanya isu alam sekitar menjadi keutamaan dan diangkat sebahagian agenda politik negara selaras Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.

Penulis adalah Profesor Madya di Unit Literasi dan Advokasi Politik, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X