Ahad, 13 Februari 2022 | 10:00am
Penjawat awam membaca ikrar integriti. - Foto hiasan
Penjawat awam membaca ikrar integriti. - Foto hiasan

Institusi keluarga bentuk DNA integriti sektor awam

Seorang sarjana tersohor pernah berkata: "Kalau hidup sekadar hidup, kera di rimba juga hidup, kalau kerja sekadar kerja, kerbau di sawah juga kerja."

Begitulah pepatah yang boleh menggambarkan mengenai isu integriti dalam kalangan penjawat awam di Malaysia.

Sering kita lihat dan baca di akhbar melaporkan mengenai isu integriti dalam kalangan penjawat awam - sama ada salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah, tindakan tidak adil, kelewatan dan lain-lain.

Ibaratnya, isu ini seperti sesuatu yang tidak asing lagi sehingga boleh disamakan dengan wabak yang belum ada penawarnya.

Menurut statistik Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, terdapat trend peningkatan dalam aduan mengenai integriti dalam kalangan mereka yang bekerja di bawah agensi penguatkuasaan antara 2011 hingga 2020.

Jika dilihat aduan didaftarkan mengikut agensi penguatkuasaan dalam tempoh sama pula, angka tertinggi membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 3,443 aduan, diikuti Jabatan Imigresen Malaysia dengan 260 aduan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan 137 aduan. Lain-lain agensi penguatkuasaan pula, merekodkan tidak lebih 100 aduan bagi tempoh sama.

Umum mengetahui apa maksud integriti, namun kurang mempraktikkannya dalam tugas hakiki masing-masing. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), integriti bermaksud kejujuran dan berintegriti pula, membawa maksud mempunyai kejujuran atau ketulusan dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Dalam konteks sektor awam, integriti seharusnya menjadi 'DNA' (asid deoksiribonukleik) bagi setiap penjawat awam dalam melakukan tugas yang diamanahkan.

Mungkin ada masih tertanya-tanya mengapa integriti sangat penting dalam kalangan penjawat awam khususnya.

Untuk menjawab persoalan ini, kita harus memahami apa peranan utama sektor awam.

Sektor awam memberi perkhidmatan kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira darjat selari konsep neutral yang dijunjung. Ia juga badan pelaksana bagi dasar kerajaan yang memerintah.

Namun, kedua-dua peranan utama ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik jika tidak berpaksikan kepada kepentingan awam dan bagi tujuan ini, integriti hendaklah menjadi sebahagian daripada DNA penjawat awam yang menandatangani akujanji.

Kepentingan integriti dalam pentadbiran awam lama diperkatakan dan sering kali diulang dalam ucapan pemimpin di jabatan kerajaan.

Namun, untuk membudayakan integriti dalam kalangan penjawat awam, tugas ini pastinya bukan mudah.

Di Malaysia, usaha memperkasakan integriti dalam kalangan penjawat awam sudah lama dilaksanakan.

Contohnya, melalui Arahan Perdana Menteri No 1 pada 1998, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Integriti di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan pada peringkat Persekutuan dan negeri.

Sedekad selepas itu, kerajaan di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu, memberi nafas baharu kepada usaha berkenaan menerusi Pelan Integriti Nasional yang dibuat berasaskan prinsip Rukun Negara serta mengambil kira cabaran keempat dalam Wawasan 2020, iaitu untuk mewujudkan masyarakat yang beretika dan bermoral tinggi.

Sehingga kini, walau banyak usaha dibuat bagi memperkasakan integriti dalam kalangan penjawat awam termasuk memperkasakan undang-undang, penubuhan institusi berkaitan integriti, kempen kesedaran, serta meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran, namun ia seperti kurang berhasil.

Oleh itu, mungkin sudah tiba masanya kita perlu memperhalusi peranan institusi keluarga yang digariskan sebagai antara matlamat utama di bawah Pelan Integriti Nasional.

Bagi mewujudkan masyarakat beretika dan bermoral tinggi, keluarga sudah pastinya memainkan peranan penting. Institusi keluarga adalah institusi sosial awal dalam pembentukan akhlak serta keperibadian yang mulia.

Keperibadian mulia seperti amanah, jujur, ikhlas, tekun serta adil hendaklah ditanam dalam anak-anak kecil dan seterusnya dijadikan budaya dalam kehidupan seharian.

Peranan institusi keluarga amatlah penting kerana ia titik tolak kepada pembentukan masyarakat yang mempunyai nilai murni.

Jika institusi sosial awal ini sudah goyah, apakah kita masih berharap masyarakat yang dibina daripada institusi ini akan menjadi masyarakat yang mempunyai akhlak serta keperibadian yang tinggi?

Sudah tentu tidak bukan? Oleh itu, penting kerjasama semua pihak dipupuk dalam memastikan integriti menjadi sebahagian DNA kita yang bermula daripada didikan awal dalam institusi keluarga.

Sasarannya, supaya ia dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai keperibadian mulia, seterusnya menjadi DNA penjawat awam khususnya dan umumnya kepada keluarga besar kita, iaitu Keluarga Malaysia.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak

Berita Harian X