Jumaat, 11 Februari 2022 | 11:00am
Kunci kestabilan hanya di tangan pengundi Johor. - Foto hiasan
Kunci kestabilan hanya di tangan pengundi Johor. - Foto hiasan

PRN Johor uji keharmonian pembangkang agih kerusi

PENGUMUMAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan pada 12 Mac, bermakna gelanggang antara parti bertanding semakin rancak. Antara fokus kali ini tentunya percaturan blok pembangkang dibarisi PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Ikatan Demokratik Muda (MUDA).

Beberapa minggu sebelum ini kuat diperkatakan rundingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berjalan agak baik antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan MUDA, namun terdapat beberapa isu berbangkit membabitkan parti manakah berpeluang bertanding di kerusi status quo yang pernah ditandingi calon PH ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Persoalan ingin ditampilkan di sini adalah sejauh manakah keharmonian dapat dicapai dalam proses pembahagian kerusi membabitkan parti komponen PH dan MUDA.

Sejak 'Langkah Sheraton' menumbangkan kerajaan PH, tempoh selepasnya menyaksikan gabungan itu menikmati saat-saat 'bulan madu' politik apabila bebas daripada segala tugasan sebagai kerajaan.

Namun, PH tidak terlepas daripada ujian politik ketika PRN Sabah, PRN Melaka dan PRN Sarawak dengan peratusan undian beralih mengejut kepada Barisan Nasional (BN). Kehadiran PRN Johor bakal membuktikan sama ada kejayaan dicatatkan BN seperti di Melaka mampu atau tidak dikekalkan sekali lagi.

Ketika kes COVID-19 varian Omicron semakin meningkat hingga mencecah belasan ribu kes, PRN Johor tetap akan berlangsung dan membangkitkan perdebatan awam apakah peratusan keluar mengundi akan dipengaruhi faktor pandemik.

Jikalau bukan disebabkan COVID-19, adakah isu berbangkit pada peringkat Persekutuan akan menjadi pembolehubah utama sebagai pendorong bagi pengundi di Johor keluar mengundi? Bagaimanakah pula persiapan parti pembangkang menghadapi PRN Johor?

Secara umumnya boleh dihujahkan parti pembangkang sudah kehilangan 'momentum' politik sedikit demi sedikit. Hasil PRN Melaka dan mungkin Sarawak memperlihatkan perkara itu (walaupun BN tidak bertanding dalam PRN Sarawak).

Dalam PRN Melaka, sebahagian besar calon PH tidak mencatatkan prestasi memberangsangkan. Walaupun BN sendiri dilihat tidak senada dengan BERSATU dalam banyak hal dan tanpa sokongan daripada PAS serta bergerak sendirian, ia mampu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.

Fenomena ini memeranjatkan pemerhati politik kerana kemenangan BN di Melaka itu jelas menandakan terdapatnya penolakan, bukan sahaja terhadap PH, bahkan BERSATU dan PAS.

Dengan itu, fenomena bersejarah itu wajar dijadikan sandaran utama bagi parti pembangkang mengintai gerbang kuasa dalam PRN Johor. Cuma, pembahagian kerusi kali ini, sama ada harmoni atau tidak, antara PH dan MUDA bukanlah satu pembolehubah dominan menentukan masa depan PH di bumi Johor itu.

Namun, apa boleh dirumuskan adalah bagaimana PH dan MUDA mampu merealisasikan usaha menembusi pemikiran pengundi Johor dengan berpaksikan isu berbangkit pada peringkat Persekutuan.

Walaupun terdapat dakwaan menyatakan wujudnya kepelbagaian 'khemah' dalam kalangan blok pembangkang membabitkan hubungan kerjasama antara PKR, AMANAH, DAP dan MUDA, kekhilafan mengenai pengagihan kerusi terbabit perlu ditamatkan segera kerana gabungan pembangkang perlu dijenamakan semula dengan simbol penyatuan dikenali ramai.

Seterusnya tumpuan sepenuhnya ke atas mempolitikkan isu perlu digandakan sebaik mungkin. Ketika perjalanan PRN Johor mungkin bakal diperketatkan dengan prosedur operasi standard (SOP), maka permainan itu perlu diolah lebih kreatif dengan menjadikan pengundi muda sebagai 'king maker' dalam PRN Johor.

Kunci kestabilan hanya di tangan pengundi Johor. Jika aktor politik boleh mentafsirkan kuasa mengikut acuan logik akal sendiri, tidak ada salah bagi pengundi Johor mempamerkan pengajaran setimpal kepada mereka dahagakan keenakan kuasa ini.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X