Jumaat, 28 Januari 2022 | 10:30am

Pembangunan inovasi elak organisasi terkubur

Kitar hayat bagi sesebuah organisasi bergantung kepada strategi dirancang. Strategi berkesan mampu merancakkan pertumbuhan dan perkembangan organisasi, manakala perkara sebaliknya akan berlaku jika strategi tidak mengena.

Kesesuaian bagi melaksanakan strategi sesuai pada masa tepat memerlukan warga organisasi memerah otak dan menyinsing lengan bagi menjayakannya. Namun, kegagalan boleh berlaku, walaupun seluruh keringat dicurahkan.

Kegagalan dihadapi organisasi akan menyebabkannya terkubur dan tidak lagi relevan. Hal ini sudah banyak berlaku termasuk Nokia, iaitu syarikat yang dahulunya gah dan menjadi pemimpin dalam industri telefon bimbit, tetapi tersungkur kerana strategi serba tidak menjadi.

Hal sama turut dihadapi Blockbuster, Kodak dan Fujifilm. Pesaing pula sudah dapat mengatasi organisasi ini antaranya Netflix, Canon dan Samsung.

Kes ini membuktikan mana-mana organisasi tidak boleh berpeluk tubuh menyatakan mereka terbaik dan berada dalam zon selesa selama-lamanya.

Seiring perubahan teknologi, sesebuah organisasi perlu peka kepada keadaan sekeliling agar tidak terlepas daripada menganalisis persekitaran organisasi sangat tidak menentu seperti persaingan, perubahan cita rasa, keadaan ekonomi semasa dan perubahan teknologi.

Antara perkara perlu diberi perhatian sesebuah organisasi agar terus relevan adalah pembangunan inovasi. Menerusi pembangunan inovasi, organisasi perlu melakukan perubahan terhadap sistem, produk atau cara bekerja.

Keupayaan dicetus hasil pembangunan inovasi yang sepadu dapat mempertingkatkan prestasi diidamkan organisasi.

Bagaimanapun, pembangunan inovasi yang dilaksanakan tidak hanya membabitkan pihak atasan, malah menuntut seluruh warga organisasi menjayakannya.

Bagi pihak atasan, mereka perlu memberikan penjelasan, pendidikan, bantuan kewangan, sokongan teknikal dan saluran tepat, manakala pekerja pula bukan sahaja ditugaskan mencurah keringat, bahkan turut dibabitkan sama dalam memberi idea serta buah fikiran.

Hasil daripada perancangan tuntas dan teliti akan memastikan pembangunan inovasi berada dalam laluan betul serta mampu memberi impak besar terhadap kejayaan organisasi.

Pembangunan inovasi juga tidak hanya tertumpu kepada organisasi swasta berteraskan keuntungan, malah organisasi kerajaan juga perlu turut sama menjadikan pembangunan inovasi sebagai agenda utama mereka.

Sistem penyampaian dan urus tadbir adalah antara aspek yang boleh diterapkan elemen inovasi bagi menjadikan organisasi kerajaan dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Pensyarah Jabatan Pengurusan Perniagaan, Kolej Profesional MARA Beranang

Berita Harian X