Jumaat, 21 Januari 2022 | 11:00am
Orang ramai hadir untuk mengambil dos penggalak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - NSTP/Fathil Asri
Orang ramai hadir untuk mengambil dos penggalak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - NSTP/Fathil Asri

Tindakan bersama, pemikiran holistik pacu reputasi universiti

TAHUN 2022 menyaksikan pandemik COVID-19 mula menampakkan jalan keluar, khususnya dengan kejayaan vaksinasi kepada lebih 90 peratus individu dewasa Malaysia.

Pandemik hikmah untuk kita melihat kembali cara kita bekerja. Sebelum berlakunya pandemik, kita mungkin berasakan kemampuan untuk bekerja berseorangan atau satu pihak saja boleh menghasilkan kejayaan.

Namun, dengan permasalahan kompleks seperti pandemik, kita terpaksa mengubah cara kita bekerja, khasnya jika kita melihat kemampuan kerajaan, agensi swasta, universiti dan masyarakat awam bergabung tenaga menjayakan program vaksinasi COVID-19.

Tanpa sinergi erat semua sektor ini, kita mungkin terus terbelenggu dengan masalah penularan wabak ini.

Dalam sesebuah universiti, banyak sektor wujud, sesuai peranan universiti sebagai pusat pendidikan, penyelidikan dan penyedia perkhidmatan kepada kerajaan, watan, warga global dan industri.

Cabaran memimpin dan mengurus universiti atau kolej semakin kompleks memandangkan berlakunya perubahan peranan universiti dan kolej. Perubahan ini didorong arus global yang dipacu kewujudan penarafan universiti dunia serta era Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Namun, kerencaman memimpin dan mengurus universiti boleh ditangani andainya berlaku sinergi erat merentas sektor, dengan menggunakan program vaksinasi COVID-19 sebagai model.

Sejajar perkembangan semasa yang menampakkan dunia ke arah era VUCA - merujuk 'volatility' (kemeruapan), 'uncertainty' (ketidakpastian), 'complexity' (kerumitan) dan 'ambiguity' (kekaburan) - adalah mustahak untuk pemimpin pendidikan tinggi melihat agenda sinergi merentas sektor dan bidang sebagai kunci memacu reputasi lebih tinggi.

Sinergi didambakan tidak semata-mata atas semangat kerja berpasukan. Nilai bersama harus dibawa tentunya kesediaan membuat pengorbanan besar, mendahulukan kepentingan awam berbanding peribadi, serta percaya kejayaan adalah milik bersama berbanding milik individu.

Kita tidak dapat mengelak tanggapan kejayaan organisasi akan dianggap kejayaan pemimpin organisasi atas status ketua yang memimpin. Namun, konsep kepemimpinan kontemporari mencadangkan kepemimpinan satu proses membabitkan kerja lebih kolaboratif, konsultatif dan pelbagai hala, berbanding autoritatif atau monopoli tugas atau satu hala.

Melangkah 2022, seharusnya model kepemimpinan pendidikan tinggi menjurus kepada ciri itu. Dalam membentuk kepemimpinan pendidikan tinggi yang benar-benar mengangkat nilai sinergi, transformasi pemikiran juga menjadi satu syarat utama.

Set pemikiran diperlukan ialah pemikiran holistik. Cara berfikir begini membawa kepada budaya meraikan pelbagai sudut pandangan berbeza dan menjana buah fikiran bersifat menyeluruh.

Sebagai contoh, dalam menjana transformasi sosioekonomi rakyat, inisiatif Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) yang disebut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, melalui Amanat Tahun Baharu 2022 adalah cerminan pemikiran holistik warga universiti yang peka terhadap taraf kehidupan rakyat Malaysia.

Program sebegini menampakkan komitmen warga universiti dalam memikirkan strategi ampuh memperkasa sosioekonomi Keluarga Malaysia melalui pendidikan tinggi berkualiti, dengan mempersiapkan generasi pertama setiap keluarga dengan peluang melanjutkan pengajian, bantuan kewangan membiayai pengajian serta bantuan mendapatkan pekerjaan selepas selesai pengajian.

SULUNG tentunya memerlukan sinergi pelbagai pihak, dalam dan luar universiti, bagi menjayakan hasrat memperkasa sosioekonomi Keluarga Malaysia, khasnya universiti sendiri, pembiaya pendidikan dan majikan, awam serta swasta.

Justeru, dalam melakar reputasi universiti pada tahap lebih hebat, pembugaran sinergi lebih utuh, selain set pemikiran holistik amat diperlukan.

Semua nilai ini sejajar amanat tahun baharu 2022 Menteri Pengajian Tinggi, yang menekankan kecemerlangan institusi pengajian tinggi (IPT) negara serta jaringan kolaborasi strategik.

Sinergi utuh dan pemikiran holistik bakal membawa reputasi universiti ke tahap lebih tinggi dengan transformasi cara bekerja dan set minda lebih inklusif.

Ahmad Fauzi adalah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), manakala Muhammad Abd Hadi adalah Pensyarah Kanan UTM

Berita Harian X