Khamis, 20 Januari 2022 | 11:00am
Pengeluaran caruman KWSP untuk kegunaan bencana beri risiko masa hadapan ketika persaraan. - Foto hiasan
Pengeluaran caruman KWSP untuk kegunaan bencana beri risiko masa hadapan ketika persaraan. - Foto hiasan

Didik rakyat kepentingan takaful, tabungan sebagai alat urus risiko

BENCANA banjir seharusnya menjadi peringatan terhadap keperluan pengurusan kewangan teguh. Setiap individu bertanggungjawab bukan sahaja memastikan pendapatan semasa mencukupi untuk keluarga, bahkan mempunyai tabungan untuk keperluan luar jangka seperti pepatah 'sediakan payung sebelum hujan'. Ini perlu diterapkan sebagai elemen celik kewangan.

Bagaimanapun, kita bersimpati dengan nasib menimpa mangsa banjir. Dalam situasi sebegini, bantuan darurat daripada kerajaan kepada semua terbabit amat perlu, begitu juga sumbangan masyarakat. Namun, dalam konteks jangka panjang, perancangan kendiri perlu diterapkan kepada masyarakat.

Hakikatnya, ramai dalam kalangan rakyat mempunyai tabungan sedikit sebagai keperluan luar jangka. Bahkan, sebilangan besar langsung tidak mempunyainya. Ini boleh jadi disebabkan jumlah pendapatan isi rumah kecil atau kurang pengetahuan mengenai perancangan kewangan atau kedua-duanya.

Bagi keselamatan pendapatan sepanjang hayat, setiap individu bukan sekadar perlu mempunyai pendapatan berterusan, bahkan mempunyai tabungan jangka pendek luar jangka, pelan persaraan dan insurans keselamatan pendapatan.

Sudah tiba masanya insurans atau takaful diamalkan untuk menghadapi musibah bencana seperti banjir, terutama mereka menghadapi risiko tinggi. Simpanan jangka pendek tidak memadai. Golongan berpendapatan rendah boleh diberi pertimbangan subsidi oleh kerajaan. Kaedah ini adalah lebih optimum berbanding pemberian tunai terus kepada mangsa banjir. Dengan ini, risiko banjir turut dikongsi syarikat insurans atau takaful.

Ada juga cadangan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh mangsa banjir. Tanpa menafikan keperluan mendesak, pengeluaran untuk tujuan ini adalah tidak wajar. Simpanan KWSP ialah tabungan untuk persaraan dan ia perlu dikekalkan sebagai tujuan asalnya.

Berdasarkan Survei Pendapatan Isi Rumah 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, cuma 14.1 peratus daripada warga tua menjadi penerima pendapatan persaraan. Selebihnya tidak mempunyai pendapatan terjamin. Sebahagian besar jumlah penerima pendapatan persaraan berkenaan adalah dalam kalangan pesara kerajaan.

Sebenarnya ramai pesara adalah dalam kalangan pencarum KWSP. Namun, kebanyakannya tidak mempunyai pendapatan persaraan bulanan. Ini disebabkan sama ada mereka tidak berjaya menukarkan jumlah simpanan terkumpul sebagai anuiti atau jumlah simpanan terkumpul kecil atau kedua-duanya. Menurut laporan KWSP, kini ramai pencarum mempunyai jumlah simpanan semakin mengecil selepas kerajaan membenarkan pengeluaran disebabkan pandemik COVID-19.

Hakikatnya, KWSP ialah satu skim simpanan untuk persaraan baik dan berjaya. Namun, ia perlu penambahbaikan supaya setiap ahli mempunyai pendapatan persaraan memadai. Jumlah terkumpul semasa persaraan setiap ahli perlu mencukupi untuk diterjemahkan kepada anuiti mampu memberi pulangan bulanan mencukupi hingga penghujung hayat. Liputan pencarum juga perlu diperluaskan.

Oleh itu, membenarkan pencarum mengeluarkan caruman mereka pramatang perlu dielakkan. Pertama, pengeluaran itu akan menjejaskan persediaan persaraan. Di samping itu, kelemahan sedia ada perlu diperbaiki kerana ia semakin serius.

Kedua, penggunaan dasar fiskal kerajaan dijangka memberi keputusan lebih optimum. Adalah lebih baik kerajaan memberi bantuan kewangan terus kepada mangsa daripada mengharapkan mereka menggunakan tabungan persaraan.

Kedua-dua langkah itu mampu menjana pertumbuhan ekonomi dengan memberi kesan pengganda sama. Namun, membenarkan mangsa mengeluarkan tabungan KWSP memberi risiko masa hadapan ketika persaraan mereka. Bagi menangani risiko masa hadapan, kerajaan dijangka perlu membelanjakan jumlah lebih daripada jumlah untuk membantu mangsa berkenaan.

Di samping itu, kerajaan disarankan mempertimbangkan dua langkah jangka panjang. Pertama, meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat dengan menerapkan pembelajaran pengurusan kewangan sejak bangku sekolah, termasuk pengetahuan keperluan tabungan masa tua, tabungan jangka pendek luar jangka dan penggunaan insurans atau takaful sebagai alat pengurusan risiko.

Kedua, mengkaji penggunaan subsidi untuk premium insurans banjir. Perbelanjaan kerajaan untuk tujuan ini dijangka jauh lebih rendah berbanding terpaksa beri bantuan apabila berlaku bencana.

Penulis adalah Felo Kanan Social Welbeing Research Centre (SWRC), Universiti Malaya

Berita Harian X