Sabtu, 15 Januari 2022 | 11:00am
Pengembara yang baru pulang ke tanah air perlu menjalani kuarantin wajib elak penularan Omicron. - Foto hiasan/NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Pengembara yang baru pulang ke tanah air perlu menjalani kuarantin wajib elak penularan Omicron. - Foto hiasan/NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Pendekatan menyeluruh bendung Omicron

Amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai varian Omicron berisiko 'sangat tinggi' di seluruh dunia dan lebih berbahaya kepada mereka belum disuntik vaksin, menuntut semua negara meningkatkan pengawasan penularannya, sekali gus mempercepatkan program vaksinasi.

Walaupun kita melaksanakan pelbagai strategi, penularan Omicron tetap berlaku dalam negara apabila kebenaran perjalanan antarabangsa dibenarkan. Justeru, apakah penyelesaian terbaik kita dengan melakukan sekatan segera ke atas perjalanan antarabangsa atau mengetatkan sekatan di pintu antarabangsa?

Realitinya, WHO sendiri tidak mengeluarkan sebarang amaran larangan atau sekatan perjalanan kerana langkah itu tidak adil kepada negara yang penularan varian baharu pada kadar rendah.

Bagaimanapun berdasarkan kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan kemungkinan untuk menyekat pergerakan keluar masuk dari negara dianggap
berisiko.

Penangguhan perjalanan antarabangsa membabitkan negara teruk dilanda Omicron wajar supaya penularan ketika COVID-19 mula merebak di negara ini pada awal 2020 tidak berulang. Pada 29 Januari 2020, Menteri Kesihatan mengesahkan kes pertama membabitkan tiga warga China yang masuk ke negara ini melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari, pasti tidak boleh berulang lagi.

Pada masa sama, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada perlu diperkemas dan ditambah baik sejajar varian baharu ini termasuk pemakaian peranti pengawasan digital kepada semua pengembara dari negara berisiko yang pulang ke tanah air untuk mengawal pergerakan mereka supaya menjalani kuarantin mengikut tempoh ditetapkan.

Langkah kerajaan membuka pusat kuarantin untuk menempatkan mereka yang baru pulang dari negara luar juga perlu disambut baik kerana ia bertujuan membendung dan memperlahankan penularan gelombang varian baharu.

Bagaimanapun, pendekatan ini perlu dipantau dan dikoordinasi sebaik mungkin untuk mengelak sebarang ketirisan dalam pengendaliannya, sekali gus wajib dikenakan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang, pangkat dan darjat.

Sebarang ketirisan pastinya akan menggugat keyakinan rakyat terhadap usaha dilaksanakan kerajaan, sekali gus mencalar kredibilitinya. Lebih buruk, ia boleh menyebabkan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak dan tidak terkawal seperti yang kini berlaku di negara lain.

Pastinya, ada tertanya-tanya mengapakah kerajaan membenarkan perjalanan antarabangsa sedangkan ada sesetengah negara luar menutup rapat pintu antarabangsa mereka dan tidak menerima pelawat mahupun pelancong dari luar.

Kerajaan pastinya mempunyai alasan tersendiri membenarkan perjalanan antarabangsa kerana kadar vaksinasi tinggi melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) memberi sedikit keyakinan untuk membuka semula semua sektor termasuk sektor pelancongan yang terjejas teruk sebelum ini.

Kebenaran perjalanan antarabangsa ini diharap dapat memulih kembali sektor itu, sekali gus menyuntik pertumbuhan ekonomi negara. Justeru, sebarang keputusan dan tindakan dalam mengekang penularan varian baharu, perlu juga dilihat implikasi kepada ekonomi dan sosial.

Hakikatnya, rakyat boleh menerima apa juga pendekatan bakal diambil, tetapi biarlah ia secara holistik dalam mengawal dan membendung penularan varian COVID-19 dalam negara. Kita tidak mahu melihat ia tidak lebih melepaskan batok di tangga hingga akhirnya tiada kejayaan dapat dicapai, malah sosioekonomi kembali terjejas teruk.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam

Berita Harian X