Rabu, 12 Januari 2022 | 10:30am
Sektor pelancongan perlu dirancang dengan teliti agar khazanah negara terus terpulihara
Sektor pelancongan perlu dirancang dengan teliti agar khazanah negara terus terpulihara

Perancangan teliti jamin pelancongan lestari

Pembangunan ke arah kemodenan memberi kesan kepada bentuk muka bumi dunia. Agenda pembangunan lestari diperkenalkan sejak 2015 menekankan 17 aspek ke arah mencapai sasaran kelestarian dunia.

Malaysia tidak terkecuali memberikan sokongan dan penyertaan dalam agenda ini. Pelan pembangunan lestari negara dapat dilihat dalam rancangan pembangunan setiap lima tahun dengan fokus utama ke arah pembangunan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kehidupan rakyat.

Kerajaan juga menyediakan Laporan Indikator Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Malaysia 2020 yang menunjukkan prestasi pencapaian baik dengan 49 indikator (34 peratus) merekodkan pencapaian positif.

Kesediaan negara ke arah merealisasikan SDG 2030 inisiatif terbaik dalam mengharmonikan dan melestarikan pembangunan negara.

Industri pelancongan negara terbabit secara langsung melalui dasar pelancongan negara (2020-2030). Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, menekankan kepentingan pengukuhan daya saing, pembangunan sektor pelancongan secara lestari dan inklusif serta kesediaan mendepani sebarang situasi ketidaktentuan masa akan datang.

Pelancongan lestari membabitkan semua pihak, termasuk kerajaan, rakyat, pelancong dan sektor perniagaan. Pembangunan tidak dirancang selalunya membawa kegagalan.

Malaysia kaya dengan sumber alam dan khazanah semula jadi yang perlu dipelihara dan dipulihara untuk generasi sekarang serta masa hadapan. Justeru, pembangunan pelancongan lestari perlu dirancang dan diaplikasi, terutama untuk produk ekopelancongan negara.

Alam semula jadi khazanah yang harus dipelihara. Sumber hijau negara perlu dikekalkan. Pokok dan sumber tumbuhan perlu dipulihara dan pembangunan dilakukan perlu meminimumkan penebangan pokok semula jadi, terutama yang berusia ratusan tahun.

Inisiatif kerajaan merizabkan taman negara dan taman negeri adalah usaha berterusan memastikan hidupan liar serta tumbuhan dipelihara daripada sebarang pembangunan tidak sesuai.

Pelancongan lestari juga harus merujuk ruang kapasiti setiap destinasi. Banyak destinasi pelancongan negara merangkumi pelbagai keistimewaan seperti pantai, pulau, tanah tinggi, makanan, seni, budaya dan sejarah. Setiap tempat ini perlu dikawal ruang kapasitinya supaya tidak berlaku aktiviti pelancongan secara berlebihan sehingga mengundang isu.

Penggunaan bungkusan plastik makanan di Malaysia juga tinggi. Pada 2017, Kementerian Wilayah Persekutuan mengumumkan larangan penggunaan polistiren dan mengenakan caj bagi beg plastik, diikuti larangan penggunaan penyedut minuman plastik pada 2018.

Pada tahun sama juga, kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air membentuk Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018–2030. Pada September 2020, semua negeri bersetuju melaksanakan kempen tanpa beg plastik.

Dalam menuju pelancongan lestari, destinasi pelancongan juga harus mengaplikasi sifar plastik sekali guna dan menyediakan bahan pengganti sesuai tanpa memberi beban kepada industri dan pelancong.

Permulaan 2022 masa terbaik untuk membuat perancangan teliti ke arah pelancongan lestari negara.

Pembangunan teratur dan lestari penting terutama untuk destinasi ekopelancongan negara. Kempen penanaman pokok dan kempen sifar plastik sampah pula, mungkin usaha kecil yang boleh membantu ke arah pelancongan lestari negara.

Realitinya, kesedaran semua pihak terhadap kepentingan alam sekitar amat penting ke arah pelancongan lestari negara. Bermula langkah kecil, ia mampu mengubah dunia sekarang untuk kebaikan generasi masa hadapan.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Terengganu

Berita Harian X