Selasa, 11 Januari 2022 | 10:45am
Kerosakan bangunan akibat banjir perlu dinilai secara cermat.
Kerosakan bangunan akibat banjir perlu dinilai secara cermat.

Kenal pasti kerosakan bangunan akibat banjir sebelum baik pulih

Negara mengalami detik hitam akibat musibah banjir besar sejak hujung tahun lalu. Selepas banjir beransur surut, kerja pembersihan kawasan dan bangunan terjejas diaktifkan. Ramai mangsa banjir ingin segera kembali ke rumah atau premis perniagaan untuk bangkit semula daripada musibah ini.

Namun, pemilik bangunan terjejas banjir perlu mengambil langkah berhati-hati dan sentiasa mengutamakan keselamatan apabila kembali ke bangunan mereka kerana adalah penting untuk memastikan persekitaran pasca banjir dan akses ke dalam bangunan sentiasa selamat.

Sebagai contoh, struktur rumah kayu ditenggelami air banjir besar berkemungkinan menyerap air dengan kuantiti sangat banyak. Kesannya, kerja pembaikan dilaksanakan secara tergesa-gesa boleh mengakibatkan masalah lain seperti pertumbuhan kulat, serangan serangga dan kemerosotan kekuatan struktur kayu.

Berlainan pula struktur bangunan berasaskan konkrit, besi dan dinding batu bata. Antara elemen paling membimbangkan adalah dinding bangunan mungkin kelihatan tidak terjejas dan rosak, namun hakikatnya jika diteliti dinding mempunyai rongga udara sangat berpotensi untuk cepat rosak, mengundang pertumbuhan kulat, memerangkap bau kurang menyenangkan serta pereputan struktur bahan binaan.

Banjir menyebabkan kelembapan dalam jangka panjang juga mampu merosakkan kemasan lantai dan dinding bangunan. Kerja pembaikan hanya boleh dilakukan selepas bangunan benar-benar kering sepenuhnya yang sudah tentu mengambil masa agak lama.

Sementara itu, perabot rosak sepenuhnya akibat ditenggelami banjir sebaiknya dibuang, tetapi peralatan diperbuat daripada kayu keras, logam dan plastik mungkin masih boleh dibersihkan serta dipulihkan kemudian. Selepas banjir reda, perabot ini boleh dibersihkan, disanitasi dan dikeringkan sepenuhnya di bawah cahaya matahari.

Permaidani ditenggelami banjir sebaiknya diganti kerana tercemar oleh banjir dan proses pembersihan sangat rumit. Permaidani tercemar dan tidak dikeringkan dengan baik berpotensi menyebabkan pertumbuhan kulat dalam bangunan.

Mengambil kira semua perkara dinyatakan itu, sebarang kerosakan dan kemusnahan berlaku akibat musibah banjir perlu diperiksa dan dinilai secara cermat terlebih dahulu sebelum kerja pembaikan serta pemulihan bangunan dapat dilaksanakan.

Oleh itu, pemeriksaan bangunan secara visual akan dapat membantu pemilik menilai, sama ada berlakunya kerosakan struktur utama bangunan, kerosakan sistem bekalan elektrik daripada punca kuasa, potensi bahaya kebakaran, kebocoran gas dan serangan binatang berbisa.

Kerosakan bangunan akibat banjir bergantung kategori banjir, tempoh banjir, kekuatan tanah terhadap pergerakan air serta hakisan, selain ciri-ciri struktur binaan bangunan di kawasan terjejas.

Pemeriksaan bangunan secara visual juga dapat membantu pemilik bangunan menilai kerosakan sebenar bagi tujuan tuntutan insurans bencana banjir.

Pemilik perlu mengenal pasti segala kerosakan dengan mengambil gambar sebagai inventori dan rujukan dalam proses tuntutan nanti. Pemeriksaan bagi sistem elektrikal perlu dilakukan dengan cermat sebelum memasuki premis buat kali pertama dan menyambung semula sistem elektrik.

Bagi memastikan bangunan diduduki selamat dan kukuh, penilaian tahap keselamatan dan integriti struktur bangunan juga boleh dilaksanakan pakar berkaitan. Nasihat pakar berhubung masalah ini boleh dilakukan dengan mendapatkan khidmat juru ukur bangunan berdaftar dengan Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) dan Persatuan Juruukur Bangunan Berdaftar Malaysia (MyRBS) untuk menjalankan pemeriksaan bangunan berkenaan.

Hasil laporan pemeriksaan diterima boleh dijadikan rujukan utama pemilik bangunan dalam merancang kerja baik pulih.

Kesinambungan tindak balas pasca musibah banjir penting dalam memastikan pengurusan bencana yang berkesan. Tindakan proaktif akan memastikan jumlah kerosakan akibat musibah banjir ini dapat dikurangkan.

Semoga musibah banjir melanda akan segera pulih dan rakyat terjejas dapat segera bangkit meneruskan kelangsungan hidup.

Pensyarah Kanan, Jabatan Alam Bina dan Teknologi, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak

Berita Harian X