Selasa, 11 Januari 2022 | 10:45am
gambar hiasan
gambar hiasan

Didik anak muda celik demokrasi, bijak mengundi

Kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah tampuk kepemimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Openg pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 jelas membuktikan kemenangan penduduk negeri itu.

Pada masa sama, keputusan itu juga menjadi isyarat bahawa kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak mudah. Suasana pilihan raya kali ini dianggap menarik kerana diadakan dalam keadaan tanah air berada dalam situasi pandemik. Masyarakat di negeri itu jelas mengambil iktibar daripada PRN Sabah dan Melaka.

Pengamalan tatacara prosedur operasi standard (SOP) untuk mengundi dan proses keseluruhan pilihan raya berjalan lancar, manakala peratusan keluar mengundi juga memuaskan.

Dalam konteks generasi muda, jelas dapat kita saksikan pendaftaran calon Bebas mewakili generasi itu menarik perhatian pengkaji. Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong misalnya, saingan lapan penjuru turut menampilkan Fadhil Mohamad Isa atau lebih dikenali sebagai Cardock 'Influencer' YouTube.

Anak muda bukan sahaja inginkan wakil rakyat 'berwajah baharu', bahkan pemimpin mendengar dan memahami aspirasi mereka. Pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 119 merujuk kepada peraturan pilihan raya pendaftaran pemilih membenarkan usul berkaitan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan membuktikan generasi itu juga berpengaruh dan boleh dikatakan sebagai kingmaker.

Hal ini menarik untuk dibincangkan jika dilihat dari segi kematangan pemilih. Dalam tinjauan pendapat mengenai istilah politik kepada sebahagian pelajar di universiti swasta di negeri ini, pelbagai reaksi menarik dikongsi.

Anak muda di negeri ini jelas mempunyai literasi politik memuaskan dan cakna terhadap isu semasa. Reaksi bercampur, namun menarik perhatian dikongsi. Apabila ditanya mengenai #Undi18 pula, mereka turut mengutarakan pelbagai jangkaan dan kebimbangan mengenai agenda serta polisi parti politik tidak bertepatan dengan inspirasi mereka.

Tidak kurang juga ada berpendapat anak muda sendiri bimbang dan ragu akan kesediaan untuk mengundi serta takut akan salah pilih. Tidak dinafikan, pelbagai faktor seperti kurang pendedahan dan keliru terhadap isu politik juga dikongsi. Kerenah ahli politik dan budaya politik itu sendiri memberikan gambaran mengelirukan.

Dari sudut positif pula, ada juga berpendapat mempelajari subjek Sejarah di sekolah dan mata pelajaran umum di universiti membantu pelajar untuk berfikir serta membuat keputusan bijak. Umur muda bukan bererti kurang matang dan kuasa rakyat seharusnya tidak mengira peringkat umur.

Ada yang menzahirkan teruja ketika mengundi dan menjadikan hari mengundi sebagai peristiwa bersejarah seperti dapat dilihat melalui hantaran di media sosial penuh dengan tanda pagar #SarawakMemilih.

Umumnya, semangat berpartisipasi dengan politik dan pendidikan demokrasi perlu diterapkan dalam kehidupan seharian bermula seawal pendidikan. Masa depan demokrasi bertumpu kepada potensi anak muda dalam mengartikulasikan pandangan secara santun dan cerdas ketika di khalayak, mahupun di media massa.

Generasi muda sedar dan faham akan tanggungjawab bernegara. Kepercayaan kepada GPS jelas dimeterai di kertas undi. Justeru, harapan pengundi besar terhadap agenda kemajuan Sarawak inklusif dan berterusan serta dinikmati semua peringkat umur, bangsa dan demografi rakyat.

Pesan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, 'Jaga Sarawak tok bait-bait' kekal relevan.

Pensyarah Centre for Foundation and General Studies (CFGS) i-CATS University College

Berita Harian X