Isnin, 10 Januari 2022 | 11:00am
Penggunaan tenaga kerja mahir perlu diberi perhatian bagi memastikan bangunan dibina selamat.
Penggunaan tenaga kerja mahir perlu diberi perhatian bagi memastikan bangunan dibina selamat.

Garis panduan ketat kawal kualiti pembinaan

Pembangunan semakin pesat dan arus teknologi terkini, memacu industri pembinaan dalam merancang bangunan berdigital dan diuruskan dengan lebih tepat serta jimat masa.

Namun, pembinaan masa kini hanya berpaksikan keuntungan semata-mata berbanding mutu kerja berkualiti dalam pembinaan, tanpa memikirkan akibat dalam jangka masa yang panjang.

Banyak faktor mempengaruhi kualiti dan keselamatan sesebuah bangunan yang meliputi tapak pembinaan, bahan pembinaan digunakan dan kualiti mutu kerja dilakukan. Seharusnya semua perkara ini tidak dipandang remeh atau dipandang sebelah mata.

Mutu kerja sesebuah pembinaan banyak memainkan peranan dari pelbagai sudut termasuk kos, bahan pembinaan, kemahiran buruh kerja, pengawasan penyelia tapak, kontrak dokumen dan komunikasi. Namun peningkatan permintaan dalam sektor pembinaan banyak mempengaruhi tempoh siapnya sesebuah projek.

Namun di sebaliknya, terdapatnya sesetengah pihak mengambil jalan pintas, mudah dan murah demi memenuhi permintaan sesebuah projek.

Antara punca menyebabkan sesuatu mutu kerja tidak berkualiti termasuk pengurusan projek yang lemah, peranan subkontraktor yang rumit, kurang kemahiran dan pengalaman dalam kalangan buruh, kekangan komunikasi, keadaan cuaca tidak menentu, penggunaan alat pembinaan tidak sesuai serta kos terhad.

Hasil kajian mendapati majoriti aduan dilaporkan pada kecacatan biasa pada sesebuah pembinaan banyak berlaku membabitkan keretakan dinding, struktur yang mendap, ketirisan air dan cat menggelupas.

Realitinya, isu mutu kerja lemah banyak bergantung kepada kontraktor dalam ketelusan menguruskan isu kos, kualiti dan hasil kerja sesebuah pembinaan. Kebanyakan kontraktor masih menggunakan pekerja asing yang kurang kompeten.

Walaupun Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mengakreditasi dan menawarkan program latihan kompetensi bagi meningkatkan mutu serta kemahiran pekerja tempatan dalam pembinaan, namun ia masih tidak mendapat sambutan memberangsangkan.

Puncanya, kerana kebanyakan kontraktor mahu mengurangkan kos pembinaan, seterusnya menjejaskan mutu kerja yang berkualiti.

Sering kita melihat banyak isu perumahan terutama di kawasan tanah tinggi mahupun tanah mendap, banyak berlaku tanah runtuh yang berisiko tinggi membabitkan nyawa manusia.

Tanpa kesedaran mahupun mengambil iktibar kesilapan lalu menyebabkan isu mutu kerja semakin parah dan menjadikan satu kitaran berulang tanpa jalan penyelesaiannya.

Tanpa memperketatkan undang-undang membabitkan kualiti mutu kerja pembinaan, menyebabkan sesetengah pihak mengambil kesempatan dan menggunakan pelbagai muslihat, demi mengaut untung semata-mata tanpa rasa bersalah.

Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 yang digubal di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) adalah instrumen undang-undang yang melindungi atau mengawal aspek membabitkan pembinaan, penghuni dan bangunan.

Perancangan pembinaan amatlah penting dan perlu mematuhi garis panduan ditetapkan bagi mengawal kualiti mutu kerja pembinaan dan pembinaan struktur, seterusnya menjamin keselamatan penghuni bangunan.

Kualiti kerja pembinaan harus dititikberatkan dalam menjamin fungsi penghuni dalam sesebuah bangunan yang akan diduduki dalam jangka masa lama. Tanpa kesedaran serta akal panjang pihak tertentu - demi memilih jalan pintas dalam menyelesaikan permasalahan menyebabkan sesebuah bangunan diduduki berisiko tinggi dan tidak selamat didiami.

Ruslan Affendy dan Sheikh Ali Azzran adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pembinaan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA (UTM)

Berita Harian X