Ahad, 9 Januari 2022 | 11:00am

Malaysia komited laksana proses kesaksamaan gender

Dalam isu kesaksamaan gender, Malaysia meratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pada 1995, namun terbatas kepada artikel tertentu yang tidak bertentangan kandungan Perlembagaan Persekutuan dan konteks undang-undang Islam.

Pada 2016 pula, Malaysia menzahirkan komitmen dan solidariti bersama negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk merealisasikan agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.

Satu daripada teras dalam SDG ialah kesaksamaan gender yang menekankan prinsip kesamarataan antara lelaki dan wanita dalam aspek politik, ekonomi dan kesihatan.

Laporan Jurang Gender Global (GGGR) diterbitkan setiap tahun Forum Ekonomi Dunia (WEF) bertujuan meletakkan negara dunia dalam kedudukan tertentu berdasarkan jurang gender antara lelaki dan wanita dalam sesebuah negara. Kedudukan dibuat berdasarkan empat sub indeks utama iaitu Pemerkasaan Politik, Kesihatan dan Kemandirian, Pencapaian Pendidikan dan Penyertaan dan Peluang Ekonomi.

Daripada laporan GGGR dikeluarkan 2021, Malaysia berada pada kedudukan ke-112 daripada 156 negara dalam skor keseluruhan, menurun lapan anak tangga berbanding 2020. Negara lain di rantau Asia Tenggara berada pada kedudukan lebih baik berbanding Malaysia termasuk Filipina (17), Singapura (54), Thailand (79), Vietnam (87), Myanmar (109), Indonesia (101) dan Brunei Darussalam (112).

Berdasar laporan sama, Malaysia berada pada kedudukan ke-104 dalam penyertaan ekonomi, ke-70 dalam pencapaian pendidikan, ke-74 dalam kesihatan dan ke-128 dalam pemerkasaan politik. Data ini memberikan indikator bahawa Malaysia berada pada kedudukan berdaya saing merapatkan jurang gender antara lelaki dan wanita dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

Namun, fokus dan usaha jitu perlu dilipat ganda jika ingin mencapai kesaksamaan gender dalam arena politik dan ekonomi yang ternyata masih jauh ketinggalan.

Melalui lunas undang-undang, Malaysia komited melindungi hak wanita dalam ruang peribadi dan awam, terutama daripada penderaan dan keganasan rumah tangga. Ini terbukti melalui beberapa peruntukan terkandung dalam Kanun Keseksaan, Akta Pekerjaan 1955 dan tidak lama lagi, Akta Gangguan Seksual yang akan diperkenalkan.

Bagaimanapun, Malaysia menunjukkan kemajuan agak mendatar selama beberapa dekad berkenaan penyertaan wanita dalam politik. Di Dewan Rakyat sebagai contoh, ketika ini hanya 15 peratus kerusi dimiliki wanita, lebih rendah berbanding standard universal iaitu 30 peratus.

Pada pembentangan Bajet 2022 lalu, Menteri Kewangan mengumumkan perlu ada sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita dalam semua syarikat senaraian awam. Ia dianggap permulaan pengenalan lebih banyak dasar mesra jantina pada masa hadapan.

Dalam konteks ekonomi, sudah pasti wanita kini mempunyai lebih banyak peluang membabitkan diri berbanding 20 atau 30 tahun lalu. Dalam data dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019, wanita menganggotai 55.6 peratus dalam penyertaan tenaga kerja negara dengan sedikit peningkatan berbanding 2018.

Ketidakseimbangan masih berlaku dalam ekonomi apabila lelaki mendominasi kebanyakan tenaga kerja sebanyak 80.4 peratus pada tahun sama.

Banyak kajian melaporkan wanita lebih terdedah ketidakadilan di tempat kerja seperti beban kerja berlebihan, gaji rendah, keganasan di tempat kerja dan peluang kecil untuk dinaikkan pangkat.

Sehubungan itu, kerajaan memperkenalkan beberapa usaha memberikan wanita lebih banyak peluang dalam pertumbuhan ekonomi melalui inisiatif di bawah Belanjawan Malaysia dan Rancangan Malaysia. Antaranya Bajet 2022 akan memperkenalkan inisiatif MyKasih Kapital dan latihan kepemimpinan serta keusahawanan melalui Yayasan Kepimpinan Wanita.

Realitinya, budaya memainkan peranan penting dalam perbincangan mengenai kesaksamaan gender. Memahami kerumitan isu gender, maka dapat difahami bahawa konflik budaya antara halangan kepada pemerkasaan hak asasi manusia.

Dari sudut etnografi, masyarakat Malaysia amat berpegang teguh dengan kekayaan budaya dan tradisi. Kebiasaannya, pengamalan dalam sebuah budaya akan dipertahankan melalui mengehadkan beberapa kebebasan. Hal ini termasuk bagaimana masyarakat tradisional melihat peranan dan keupayaan wanita dalam komuniti.

Apabila budaya ini diwarisi generasi ke generasi sehingga membentuk stigma dan prejudis mengakar dalam kalangan masyarakat, ia amat sukar untuk diubah.

Sebab itu matlamat kesaksamaan gender proses pemberdayaan sepanjang hayat yang memerlukan usaha sejagat.

Penolong Pengarah dan Pegawai Penyelidik di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR)

Berita Harian X