Sabtu, 8 Januari 2022 | 10:31am
Ibu bapa menjadi ‘guru tidak terlatih’ bagi sesi PdPR yang masih diteruskan akibat pandemik.
Ibu bapa menjadi ‘guru tidak terlatih’ bagi sesi PdPR yang masih diteruskan akibat pandemik.

Wujudkan suasana pembelajaran di rumah

Biasanya ketika melangkah tahun baharu, ibu bapa paling sibuk kerana perlu menyediakan keperluan anak memulakan sesi persekolahan. Anak pula bersemangat untuk kembali ke sekolah.

Namun, ia berubah sejak 2020 ekoran pandemik COVID-19. Malah, pada tahun ini, sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan seminggu kerana negara diduga bencana banjir hingga 113 sekolah dan institusi pendidikan turut terkesan.

Semua ini menyebabkan keperluan berubah seperti pepatah sekali air bah, sekali pantai berubah. Ini termasuk pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Dari Rumah (PdPR) yang masih diteruskan.

Dalam PdPR sebelum ini, sesi yang dahulunya dikendalikan di sekolah bersama-sama guru turut perlu dikongsi dengan ibu bapa di rumah. Mereka terpaksa menjadi 'guru tidak terlatih' dalam mengajarkan mata pelajaran dan memastikan tugasan dikongsikan melalui kumpulan media komunikasi dilaksanakan.

PdPR juga menyebabkan tenaga pengajar terpaksa melaksanakan 'eksperimen' dalam memberikan pengajaran terbaik kerana tidak mendapat latihan khusus mengenai cara pengendalian sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian hingga terpaksa membina kemahiran dalam teknologi baharu.

Apa sangat dirisaukan adalah pelajar seakan-akan tidak mempunyai motivasi penuh untuk meneruskan persekolahan. Untuk rekod, hingga Julai tahun lalu, dilaporkan 21,316 pelajar berhenti sekolah.

Antara alasan diberikan, masalah keluarga, kemiskinan, memilih untuk bekerja, berkahwin dan sukar ke sekolah. Mereka menganggap sesi pembelajaran secara formal di sekolah tidak lagi menjadi keutamaan hingga perlu mencari alternatif sebagai sumber rujukan ilmu dan pengalaman.

Realitinya, lambakan video di media sosial seperti YouTube menunjukkan sesi pembelajaran kini mengalami evolusi. Pada era 5G, kita amat mudah mendapatkan ilmu pengetahuan daripada guru di seluruh dunia tanpa perlu hadir ke kelas secara fizikal.

Malah, pendaftaran di institusi pengajian bukan lagi semata-mata mendapatkan ilmu pengetahuan, sebaliknya lebih kepada mendapatkan sijil atau perakuan daripada badan pendidikan.

Oleh itu, kita perlu menyedari sesi PdP tidak lagi berlaku di sekolah atau sesi dalam kelas, sebaliknya berlaku setiap masa dan dalam apa juga keadaan. Sebelum ini, penekanan terhadap aspek pendidikan secara formal diutamakan, tetapi kini kita perlu sedar pembelajaran tidak formal perlu dititikberatkan.

Pengajaran daripada sesuatu kejadian, laporan media massa dan media sosial, perkongsian serta perbincangan rakan sebaya dan ibu bapa dapat dikelaskan sebagai pendidikan tidak formal. Keadaan ini dapat membantu individu berkembang dan menyesuaikan diri dengan cara serta tradisi masyarakat dan alam sekitar dengan lebih baik.

Hal ini perlu disedari semua untuk hingga memastikan setiap saat dijalani sesi pembelajaran cukup bermakna. Ibu bapa contohnya perlu mewujudkan suasana keluarga mesra pembelajaran seperti sesi bertanya dan menjawab soalan sebagai amalan.

Selepas menonton drama atau filem, ibu bapa boleh memulakan sesi perbincangan bersama anak untuk merangsang cara berfikir supaya dapat menentukan cara mereka bertindak. Ibu bapa juga boleh membudayakan amalan membaca sebagai aktiviti bersama keluarga.

Pembelajaran secara tidak formal ini perlu bermula daripada rumah. Individu mendapat sokongan erat daripada keluarga mampu menjadikan persekitaran dunia lebih baik demi kesejahteraan generasi akan datang.

Nurul Nisha adalah Pensyarah Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), manakala Mohd Radzman adalah Jurulatih Komunikasi Audio Visual

Berita Harian X