Rabu, 5 Januari 2022 | 10:30am
Usaha menangkis kempen antisawit perlu kerjasama pelbagai pihak agar tidak timbul kekeliruan
Usaha menangkis kempen antisawit perlu kerjasama pelbagai pihak agar tidak timbul kekeliruan

Tangkis kempen antisawit perlu usaha sama lebih menyeluruh

Kematian 'Iman' - badak sumbu Sumatera terakhir di pusat jagaan Borneo Rhino Sanctuary di Lahad Datu pada 23 November 2019 tragedi buat rakyat Malaysia. Ia menandakan pupusnya spesies itu di bumi Malaysia.

Selain itu, harimau Malaya disenaraikan spesies kritikal dengan anggaran kurang 200 haiwan itu masih ada di hutan Semenanjung.

Bagi mengelak harimau Malaya senasib badak sumbu Sumatera, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menjalankan Program Pemuliharaan Harimau Malaya bertujuan menambah populasi haiwan itu melalui pembiakan semula jadi.

Usaha ini selari komitmen penggiat utama sawit Malaysia untuk menjadikan industri ini mampan alam sekitar dengan menjalankan dan menyokong projek pemuliharaan alam sekitar khususnya hidupan liar dan pokok spesies terancam.

Untuk itu, industri sawit Malaysia melalui Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menyalurkan dana RM3 juta untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini bagi menyokong Program Pemuliharaan Harimau Malaya.

Ia antara projek atau inisiatif pemuliharaan alam sekitar dibiayai MPOGCF menggunakan dana dikutip hasil eksport minyak sawit Malaysia.

Program lain termasuk penanaman sejuta pokok, pembiayaan Wildlife Rescue Unit di Sabah, Survei Populasi Orang Utan Borneo dan Gajah Borneo di Sabah, projek perhutanan semula (Central Forest Spine) di Kelantan, penanaman semula pokok hutan terancam di Taman Botani, Putrajaya, Melaka dan Terengganu.

Terkini 20 Disember lalu, MPOGCF menandatangani memorandum kerjasama bersama TDM Plantation untuk menambah baik projek pemuliharaan alam sekitar dilaksanakan syarikat itu seperti River of Live dan Living With The Elephant, selain meneroka peluang kerjasama lain.

Projek ini sebahagian kecil inisiatif pemuliharaan kepelbagaian ekosistem semula jadi negara oleh industri sawit Malaysia.

Kebanyakan syarikat perladangan utama, lama menjalankan program pemuliharaan alam sekitar di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR), namun tidak diuar-uarkan.

MPOGCF ditubuhkan Julai 2020 oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) bagi menangkis dakwaan kononnya industri sawit menyebabkan kemusnahan alam sekitar yang teruk.

Sempena 2022, MPOGCF bersedia menjalin kerjasama erat dengan penggiat utama industri sawit, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar tempatan dan antarabangsa serta media untuk menangkis dakwaan oleh gerakan kempen antisawit.

Malaysia pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia dengan nilai eksport kira-kira RM80 bilion setahun. Minyak sawit Malaysia dieksport ke 16 negara dengan pengimport terbesar ialah India, China, Kesatuan Eropah (EU) dan Pakistan.

Industri ini menyediakan lebih dua juta pekerjaan dan tempat bergantung kepada kira-kira 650,000 pekebun kecil.

Industri sawit penyumbang eksport keempat terbesar negara dan pada masa sama, kerajaan memastikan industri sawit mampan alam sekitar. Antaranya tidak membenarkan pembukaan ladang baharu, larangan penanaman kelapa sawit di hutan simpan kekal dan penguatkuasaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPSO).

Selain penggiat industri, NGO alam sekitar tempatan dan antarabangsa, usaha menangkis serangan kempen antisawit memerlukan kerjasama pakar alam sekitar, perhutanan serta ahli akademik di universiti tempatan.

Golongan ini perlu membantu dengan menyampaikan maklumat kepada orang ramai khususnya golongan muda melalui pendekatan lebih mudah dan menarik, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar.

Kerjasama rakyat amat diperlukan untuk menyampaikan mesej kepada seluruh dunia bahawa industri minyak sawit Malaysia adalah industri yang selamat, bertanggungjawab dan mesra alam sekitar.

Pengurus Komunikasi Korporat Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF)

Berita Harian X