Selasa, 4 Januari 2022 | 10:30am

Penjawat awam proaktif pacu kesejahteraan rakyat

Kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi agenda utama kerajaan apatah lagi ketika dalam proses pemulihan pandemik COVID-19, ramai terkesan dengan musibah banjir yang melanda beberapa negeri.

Sebagai tulang belakang pentadbiran kerajaan, penjawat awam memikul amanah memelihara kesejahteraan Keluarga Malaysia yang sedang bergelut cabaran meneruskan kelangsungan hidup.

Berikutan banjir di Lembah Klang baru-baru ini yang kini dialami penduduk khususnya di Pantai Timur, kerajaan tampil dengan pelbagai pakej bantuan bagi meringankan beban.

Antaranya, bantuan tunai hingga RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR), manakala mereka mengalami kemusnahan rumah secara total, jumlah bantuan lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000.

Kerja membaik pulih rumah rosak dan pembinaan semula kediaman musnah akan diuruskan kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).

Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada tahun ini pula dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion.

Kerajaan serius membantu rakyat keluar daripada detik sukar demi kelangsungan hidup. Penyediaan pelbagai bantuan dan komitmen melaksanakan inisiatif pemulihan membuktikan kerajaan merasai denyut nadi rakyat.

Tumpuan kini terarah kepada agensi kerajaan dan penjawat awam bertanggungjawab merealisasikan segala perancangan diumumkan kerajaan. Yang penting, inisiatif dan bantuan diumumkan dapat segera dilaksanakan, sekali gus sampai kepada golongan sasaran tepat pada waktunya.

Kita memerlukan penjawat awam peka dengan permasalahan rakyat supaya bertindak pantas mengikut situasi dan keperluan. Setiap penjawat awam perlu dua ciri penting, iaitu proaktif dan responsif.

Dalam konteks proaktif, kita perlu mengutamakan aspek pencegahan, iaitu bersiap sedia sebelum sesuatu berlaku dan sentiasa memikirkan keperluan rakyat jika berlaku musibah seperti banjir.

Misalnya, semua agensi kerajaan bertanggungjawab wajar mengambil iktibar dengan banjir luar jangka di Lembah Klang itu, sebagai isyarat penting keperluan tindakan proaktif pada masa depan.

Seperti kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, kerjasama kukuh, kesefahaman jitu dan sokongan rentas agensi dengan mengetepikan kepentingan individu serta ego, adalah ramuan utama kejayaan memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

Rakyat mahukan penjawat awam responsif atau segera bertindak dan boleh memudah cara dalam menyedia serta menyalurkan semua bantuan. Pastikan kita segera responsif terhadap keperluan rakyat dan tidak ada sebarang kerenah birokrasi.

Antara tindakan segera diperlukan, bantuan pembinaan semula rumah musnah akibat banjir. Ini sangat kritikal kerana mangsa sudah tidak ada tempat untuk berteduh, sekali gus perlu menjadi keutamaan semua pihak.

Penjawat awam menjadi harapan rakyat mahu membina semula kehidupan selepas dua tahun diancam pandemik dan kini dilanda musibah banjir. Amalan tadbir urus baik setiap agensi dan penjawat awam seperti jujur, amanah dan integriti mampu menzahirkan tindakan proaktif serta responsif.

Penjawat awam diharap akan meneruskan momentum kecemerlangan melalui budaya kerja berprestasi tinggi dengan sentiasa peka dan segera bertindak demi memacu kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.

Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Universiti Putra Malaysia

Berita Harian X