Khamis, 23 Disember 2021 | 10:30am
Graduan dituntut terus menerokai bidang ilmu baharu untuk berbakti kepada masyarakat dan negara.
Graduan dituntut terus menerokai bidang ilmu baharu untuk berbakti kepada masyarakat dan negara.

Graduan holistik penuhi tuntutan dunia pekerjaan

Cendekiawan Melayu, Allahyarham Prof Datuk Dr Siddiq Fadhil, pernah melahirkan kebimbangan terhadap kualiti graduan yang rata-ratanya memiliki keterampilan kemahiran dalam bidang pekerjaan bakal diceburi, namun kelihatan dangkal kesedaran kemanusiaan, kesedaran keagamaan dan kesedaran kerakyatan.

Lebih malang katanya, ada graduan sanggup 'mengilmiahkan kebohongan' demi mencari keuntungan atau habuan duniawi. Lulusan institusi pengajian tinggi (IPT) sewajarnya tampil sebagai ejen pembaharuan, manusia terdidik dan ilmuwan berpendirian dalam kancah kehidupan sosial dan ekonomi masyarakat.

Graduan digesa apabila menceburi dunia pekerjaan untuk menjauhi perbuatan khianat, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa kerana kecemerlangan akademik tanpa integriti akan membawa kemudaratan diri dan masyarakat.

Graduan adalah ejen transformasi sosial yang sebaiknya memahami denyut nadi dan kepayahan rakyat. Sungguhpun penyataan ini kelihatan ideal, dengan tekad dan keazaman tinggi, graduan akan mampu menterjemahkan ilmu dan kemahiran dipelajari ke dunia realiti.

Kerjaya bakal dimiliki menjadi wadah untuk berbakti kepada masyarakat. Realiti dunia pekerjaan hari ini menuntut graduan bukan hanya bergantung kepada kekuatan ilmu dan kemahiran diperoleh semasa pengajian semata-mata.

Sebaliknya, tuntutan sebenar akan dilalui apabila terjun ke dunia pekerjaan adalah untuk terus meneroka bidang ilmu baharu kerana era masa kini dikaitkan dengan penguasaan ilmu seperti pekerja berasaskan pengetahuan (k-pekerja) atau ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi).

Penguasaan ilmu juga amat berkait rapat kemahiran interpersonal disemai sepanjang bergelar mahasiswa. Penghayatan nilai integriti, keupayaan komunikasi dan pemikiran strategik serta kesediaan bekerja sebagai satu kumpulan melengkapkan ciri graduan holistik dambaan majikan atau industri.

Statistik kadar pengangguran sehingga Mei lalu adalah 4.5 peratus. Sudah tentu persaingan mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan semakin mencabar.

Kajian Pengesanan Graduan bagi 2020 dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pula merekodkan kadar kebolehpasaran graduan tahun lalu adalah 84.4 peratus, menurun berbanding 86.2 peratus pada 2019.

Walaupun menurun, data ini tetap melepasi unjuran awal KPT iaitu sebanyak 75 peratus, berikutan situasi negara dilanda pandemik COVID-19.

Kajian Employer Perception of Fresh Graduate Survey dijalankan laman pekerjaan popular Malaysia mendapati lima punca graduan gagal mendapat pekerjaan dengan memohon gaji atau faedah tidak realistik paling tinggi, diikuti lemah penguasaan bahasa Inggeris, lemah berkomunikasi dan tiada personaliti serta karakter yang meyakinkan.

Dapatan ini menggambarkan matlamat melahirkan graduan holistik tidak akan tercapai melalui pembelajaran di bilik kuliah semata-mata.

Memahami realiti dunia pekerjaan yang sangat mencabar, Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar, dalam ucapan Naib Canselor sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-18 baru-baru ini menitipkan pesanan supaya graduan sentiasa melengkapkan diri dengan nilai murni kerana ia cerminan terpuji.

Ilmu yang diterokai pula perlu dimanfaatkan untuk memajukan komuniti dan graduan perlu berbakti dengan cara terpuji, berbudi dan selayaknya.

Jangan sampai segulung ijazah digenggam menjadikan graduan sentiasa mendongak ke langit atau lupa resmi padi.

Pendaftar Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Berita Harian X