Isnin, 6 Disember 2021 | 2:35pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Guru inovatif, kreatif bantu murid minati STEM

KEMENTERIAN Pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025, menekankan agenda memperkenal, mempromosi dan memantapkan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Justeru, setiap institusi di Malaysia sama ada sekolah awal, rendah, dan menengah perlu berganding bahu memastikan STEM dapat dijadikan bidang pilihan murid generasi sekarang.

Banyak usaha boleh dilakukan untuk bagi menarik minat terhadap STEM khususnya dalam kalangan murid pada peringkat awal.

Sudah tentu, guru perlu memahami disiplin terkandung dalam STEM terlebih dahulu serta mengambil tahu apakah kaedah paling sesuai bagi memastikan murid dapat mempelajari disiplin ilmu berkenaan.

Sebagai contoh, mungkin boleh diadakan aktiviti 'mencipta kereta mainan' yang mana semua disiplin STEM atau sebahagiannya dapat digabung jalin melalui satu aktiviti menarik. Ia bukan hanya membantu murid belajar ilmu kejuruteraan dan teknologi, bahkan memantapkan perkembangan kognitif murid melalui pemikiran menyelesaikan masalah.

Usaha relevan juga boleh dilakukan guru dengan mempelbagaikan bahan bantu mengajar. Ia instrumen penting kerana guru berinovatif akan mencari jalan terbaik melengkapkan nilai estetika dalam pengajarannya.

Contoh, jika ingin mengajar mengenai sistem respirasi manusia, guru perlu mencari bahan seperti kotak atau penyedut minuman dan meminta murid mencipta bahagian penting dalam badan menggunakan bahan disediakan itu.

Ini akan meningkatkan penguasaan murid mempelajari Sains, selain meningkatkan rasa ingin tahu mereka. Untuk lebih kefahaman, tayangan video mengenai sistem respirasi manusia boleh digunakan.

Yang jelas, pendidikan STEM tidak semestinya memerlukan bahan dengan kos tinggi seperti mesin kesihatan sebenar, tetapi guru boleh mengolah idea melalui penggunaan bahan rekaan sendiri atau 'DIY' atau barangan terpakai.

Usaha juga boleh digerakkan dengan menggalakkan potensi murid melalui pertandingan inovasi dan reka cipta. Di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Australia, guru lebih mendedahkan murid membuat sesuatu mengikut idea masing-masing.

Situasi ini dapat diperkenalkan di negara kita kerana guru boleh bekerjasama dengan ibu bapa serta pihak sekolah dari segi kewangan dan penyediaan bahan pertandingan.

Jika program sebegini dilaksanakan berkala, mungkin ada beberapa ciptaan atau inovasi berpotensi akan terhasil. Buktinya, baru-baru ini, seorang murid Malaysia memenangi pertandingan inovasi pada peringkat antarabangsa berikutan memperkenalkan makanan haiwan dibuat khas daripada kulit udang dan siput.

Walaupun banyak kekangan dan halangan dihadapi guru bagi melestarikan pendidikan STEM, ia dapat diatasi jika guru membuat banyak rujukan dan kajian mengenai amalan terbaik pelaksanaan aktiviti STEM di sekolah.

Inisiatif relevan di atas bukan hanya mampu memudahkan urusan guru menjadikan aspirasi negara sebagai kenyataan, malah memberi perubahan ke arah kemajuan sistem pendidikan negara.

Bagi memastikan STEM menjadi pilihan murid, guru perlu bertindak lebih kritis melalui pendekatan, kaedah, teknik dan strategi pengajaran lebih berkesan.

Kemajuan dalam pendidikan bukan hanya mampu menempatkan STEM sebagai ejen kemajuan negara, malah membantu negara melahirkan lebih ramai pemimpin dan pereka cipta berkualiti pada masa akan datang.

Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kolej Teknologi Darul Naim

Berita Harian X