Jumaat, 3 Disember 2021 | 10:30am

Dedah peluang keusahawanan kepada mahasiswa

Penjagaan selepas bersalin, bidang tidak asing lagi dan semakin mendapat perhatian dalam kalangan ibu muda, terutama di bandar.

Pendedahan kepada ilmu dan teknik penjagaan diri serta anak dalam kalangan ibu muda selepas proses kelahiran yang masih rendah menyebabkan ibu lebih gemar membayar individu berkemahiran untuk memudahkan proses penjagaan selepas bersalin.

Tambahan pula, kini ada pelbagai khidmat ditawarkan di pasaran mengenai pakej penjagaan wanita selepas bersalin bermula daripada khidmat urutan, nasihat, penjagaan makanan untuk ibu bersalin dan sebagainya.

Pakej ditawarkan boleh mencecah ribuan ringgit, malah ada segelintir sanggup membayar jumlah tinggi bagi mendapatkan khidmat penjagaan selepas bersalin.

Ini membuktikan penerokaan bidang keusahawanan penjagaan lepas bersalin satu prospek perniagaan sangat menguntungkan dan tidak rugi jika diperkenalkan kepada mahasiswi pada peringkat awal, sebagai antara inisiatif mengekang isu pengangguran dalam kalangan graduan.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merintis usaha meneroka potensi ini. Seramai 50 mahasiswi UKM terpilih menjalani latihan keusahawanan penjagaan pos natal atau lepas bersalin.

Melalui program bermula awal 2020 sehingga Mac lalu, peserta diberi pendedahan kepada peluang keusahawanan dalam bidang penjagaan wanita selepas bersalin, selain memperkenalkan bidang penjagaan lepas bersalin yang kian popular dengan peningkatan permintaan dalam kalangan wanita bandar.

Program itu dikendalikan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Enterpris Kecil dan Sederhana, UKM (UKM-CESMED) dengan kerjasama Qien Mobile Spa, Salun Kecantikan ozie, Dyan Pesona Ventures dan Emej Salun & Spa.

Mahasiswi UKM didedahkan tiga modul pembelajaran komprehensif secara teori dan praktikal membabitkan pengenalan dan etika, urutan lepas bersalin, mandian herba, bertungku, berbengkung, bertangas, param, pilis dan tapel serta penjagaan bayi.

Selain itu, mahasiswi didedahkan teknik betul penyusuan bayi oleh pakar dietetik yang juga tenaga pengajar program ini.

Ilmu keusahawanan seperti pembangunan model perniagaan, pengesahan pasaran dan pengurusan kewangan turut diperkenalkan dalam Program Keusahawanan Penjagaan Pos Natal ini.

Selaras adaptasi digital pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), peserta turut didedahkan teknik pembangunan aplikasi, di mana ia memberi peluang kepada mahasiswi menerokai penawaran perkhidmatan penjagaan lepas bersalin kepada pelanggan secara digital menggunakan aplikasi.

Ia sekali gus memberikan kelainan dalam penawaran nilai yang bakal ditawarkan usahawan keluaran program ini.

Ringkasnya, program yang memberikan pendedahan kepada peluang keusahawanan untuk mahasiswa atau yang bakal bergelar graduan perlu lebih diperbanyak.

Program anjuran UKM-CESMED sebagai contoh, mendapat sokongan dan pendanaan sepenuhnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan sasaran melahirkan ramai usahawan dalam kalangan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT). Ia selari pelan Tindakan Keusahawanan IPT Nasional 2021-2025 yang dilancarkan 19 Februari lalu.

Apa yang menarik, program ini melahirkan beberapa usahawan dalam kalangan graduan yang kini memberikan perkhidmatan penjagaan pos natal bagi ibu yang memerlukan perkhidmatan ini.

Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Enterpris Kecil dan Sederhana UKM (UKM-CESMED)

Berita Harian X