Isnin, 22 November 2021 | 11:01am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Kepemimpinan berkualiti resipi kejayaan organisasi

Kita sering mendengar perebutan kuasa untuk menjadi pemimpin dalam sesebuah organisasi, namun siapakah pemimpin itu sebenarnya dan bagaimanakah pemimpin yang menjadi dambaan sesebuah organisasi?

Seorang pemimpin perlu mempunyai visi dan misi terhadap organisasi dipimpin, menyusun strategi bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan supaya tercapai apa dirancang.

Organisasi memerlukan pemimpin berwibawa untuk membawa anak buah mahupun kumpulan dipimpin ke arah kejayaan. Lantas, visi dan misi yang jelas perlu diketengahkan dan dibincangkan bersama ahli organisasi supaya mereka dapat menyumbang ke arah kejayaan organisasi.

Kejayaan pula bukan sekadar boleh dipertahankan dalam tempoh singkat, contohnya kurang setahun ataupun lima tahun, sebaliknya perlu bertahan bagi tempoh lebih panjang.

Mencari pemimpin begini amat sukar, terutama dalam situasi penuh dugaan dan mencabar kini baik dari sudut ekonomi, politik, budaya, mahupun pendidikan. Lebih-lebih suasana pandemik kini semakin melangkah ke arah fasa endemik.

Keadaan sebegini memerlukan pemimpin yang mampu bukan hanya bertahan, malah membawa kumpulan untuk terus berusaha mencipta kejayaan, walaupun dalam keadaan sukar.

Menurut Teori Kualiti Deming, setiap pemimpin berkualiti tentu akhirnya dapat menghasilkan produk mahupun perkhidmatan terbaik kepada sesebuah organisasi mahupun komuniti .

Hanya pemimpin yang mempunyai kekuatan pemikiran, sifat keperibadian tinggi serta menggalakkan kerjasama, dapat mencapai matlamat dinyatakan. Pemimpin juga mesti sanggup bersama-sama kumpulan membina kemajuan dirancang.

Deming atau nama penuhnya William Edwards Deming yang juga seorang tokoh pengurusan berkualiti, turut menyatakan seseorang pemimpin yang bagus dan berkualiti tidak hanya diukur daripada tahap kepintaran, tetapi juga dari sudut pemikiran dan hati.

Mengimbangkan antara sisi emosi dan logik amat penting bagi membolehkan seseorang menjadi pemimpin berkualiti.

Dalam keadaan kini, pelbagai kehendak pekerja dan pemegang taruh organisasi perlu diberi pertimbangan wajar, bagi mengelak kecelaruan.

Lantas, seorang pemimpin perlu bijak mengharungi suasana begini. Pemegang taruh yang saling bergandingan dalam mencapai matlamat juga sudah pasti 'bonus' dan aset kepada organisasi untuk mencapai kejayaan.

Kajian psikologi menyatakan personaliti berkualiti seorang pemimpin memungkinkan produktiviti dalam sesebuah organisasi boleh diperoleh.

Jika dalam organisasi sesebuah syarikat berorientasikan keuntungan, sudah pasti yang diharapkan adalah menghasilkan pendapatan tinggi. Ia akhirnya memberikan keuntungan bersih kepada syarikat, begitu juga manfaat dari segi insentif atau bonus kepada kakitangan.

Deming turut menggambarkan cara penambahbaikan proses bagi mengatasi masalah sesuatu produk. Ia merangkumi usaha reka bentuk lemah kepada lebih sempurna dan bahan salah kepada yang tepat.

Namun, memenuhi kehendak pemegang taruh tidak semudah difikirkan. Setiap manusia tahap kehendak mereka akan berubah dari semasa ke semasa mengikut hiraki kehendak diri.

Oleh itu, apa yang pasti, kepemimpinan berkualiti adalah yang terbaik bagi menentukan kejayaan sesebuah organisasi untuk menyajikan sesuatu yang terbaik kepada pemegang taruh.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Berita Harian X