Sabtu, 20 November 2021 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Pencen Insurans Sosial perkemas perlindungan usia tua

Pada September lalu, Khazanah Research Institute (KRI) menerbitkan laporan bertajuk 'Menongkah Badai Ke Arah Keterangkuman Perlindungan Sosial di Malaysia' yang mengetengahkan sistem perlindungan sosial melalui pendekatan kitaran hidup - daripada janin hingga akhir hayat.

Realitinya, skim sedia ada dilihat tidak mencukupi dibandingkan piawaian antarabangsa. Bagi kebanyakan penduduk Malaysia, keperluan asas pada usia tua masih tidak dapat ditampung melalui pendapatan pencen atau simpanan persaraan.

Hampir 60 peratus penduduk bekerja tidak menyimpan secara formal untuk usia tua mereka dan hanya 20 peratus penduduk Malaysia berusia 60 tahun ke atas menerima pencen bulanan di bawah skim perkhidmatan awam atau penerima Bantuan Warga Emas oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menjalani usia tua dijangka sukar disebabkan bilangan ahli keluarga semakin mengecil dan hutang isi rumah semakin meningkat. Akibatnya, sebaik melangkah alam pekerjaan, anak terhimpit antara tanggungjawab menyara keperluan seharian dan menyara ibu bapa yang tidak lagi bekerja.

Kebergantungan kepada kerajaan akan lebih tinggi pada masa hadapan, mengambil kira fenomena masyarakat semakin menua di Malaysia.

Berdasarkan data Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), pada 2020 warga tua mencecah 2.3 juta orang iaitu 7 peratus daripada keseluruhan penduduk berbanding empat peratus pada 1980.

Seiring fenomena ini, nisbah penduduk dalam usia bekerja untuk setiap orang tua menurun daripada 15.9 individu bagi setiap warga emas pada 1980 kepada 9.7 pada 2020.

Kesannya, hasil kutipan cukai akan berkurangan jika tiada langkah diambil bagi mencari sumber hasil cukai baharu. Ia membimbangkan walaupun ada menganjurkan masalah ini boleh diatasi jika tahap produktiviti dipertingkatkan dan usia bersara dinaikkan kepada 65 tahun.

Keputusan membenarkan pengeluaran tabungan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika pandemik menyulitkan lagi isu ketidakcukupan simpanan ini.

Meskipun negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), Sepanyol, Portugal, Perancis, Australia dan New Zealand turut memberi akses kepada pengeluaran tabungan persaraan, kebanyakannya secara bersyarat dan akses tidak terbuka kepada semua.

Sebaliknya, seperti di Chile dan Peru, Malaysia meluaskan akses tanpa syarat bermula Disember 2020 melalui skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Implikasinya sangat besar. Setakat November lalu, 3.6 juta ahli KWSP mempunyai simpanan kurang RM1,000 - peningkatan 152 peratus berbanding 1.4 juta ahli sebelum diperkenalkan.

Lantas, KRI mencadangkan Pencen Insurans Sosial sebagai bentuk perlindungan sosial paling umum di dunia dilaksanakan.

Disarankan, ia menggunakan konsep anuiti hayat untuk memastikan pencen sepanjang hayat diterima sebaik seseorang mencecah usia tua. Dana ini dibina secara kolektif daripada sumbangan semua penduduk sepanjang usia bekerja dan bukanlah dikumpul secara akaun individu.

Caruman skim ini disaran diwajibkan untuk generasi muda atau mereka yang baru bekerja.

Bagi yang tidak mempunyai pendapatan tetap, caruman mereka perlu dibiayai hasil cukai bagi memastikan liputan penuh dapat dicapai serta dana itu kekal lestari dalam jangka masa panjang.

Dasar ini juga menyarankan penyertaan lebih aktif kerajaan melalui saluran cukai, serta pengurusan skim oleh agensi awam dengan mandat rasmi.

Skim ini turut menegaskan elemen solidariti dan bukan keuntungan dalam menguruskan risiko usia tua, serta jangka hayat lebih panjang.

Memandangkan dana ini dibina beransur-ansur dengan sumbangan individu, majikan dan kerajaan, cadangan ini dijangka membabitkan pelaburan lebih rendah berbanding alternatif lain dibiayai hasil cukai secara keseluruhan seperti Pencen Sosial Sejagat.

Sesuai saranan dasar berfokus kepada semangat kemasyarakatan berbanding individu, apa-apa solusi merapatkan jurang perlindungan sosial untuk menjamin pendapatan asas usia tua, seeloknya lahir daripada muafakat semua pemegang taruh.

Penulis adalah Penyelidik Khazanah Research Institute (KRI)

Berita Harian X