Jumaat, 24 September 2021 | 11:07am
Petugas Pejabat Kesihatan ketika bertugas melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap individu di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC). - Gambar hiasan/Danial Saad
Petugas Pejabat Kesihatan ketika bertugas melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap individu di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC). - Gambar hiasan/Danial Saad

Pandemik COVID-19 mencabar etika, nilai integriti individu

Istilah tempat kerja pada masa hadapan mengalami gelombang transformasi cukup signifikan dan menjadi topik utama pengurusan atasan sesebuah organisasi.

Organisasi terpaksa beralih ke mod bekerja dari rumah (BDR) dalam hampir semua proses pengurusan dan tadbir urus akibat kesan pandemik. Pekerja dan organisasi menghadapi cabaran sukar menggabungkan proses mengadaptasi norma baharu yang bukan bersifat sementara.

Kebanyakan pekerja menghadapi cabaran untuk terus bermotivasi atau menguruskan tahap tekanan yang boleh mempengaruhi tahap produktiviti, sekali gus memberi kesan tidak baik terhadap pekerja dan organisasi.

Namun, pelaksanaan BDR menimbulkan banyak persepsi dan persoalan kerana ramai tidak jelas berkaitan konsep ini. Antara paling banyak diutarakan, sejauh mana nilai kejujuran dalam diri pekerja untuk menjalankan amanah dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan tugasan ketika BDR.

Tidak dinafikan, ada segelintir menggunakan kesempatan BDR untuk keluar bersantai atau beli-belah di pasar raya. Ada juga mengambil kesempatan melakukan kerja luar ketika BDR.

Krisis global berterusan ini mengajar kita bersikap empati satu sama lain. Empati antara sifat diperlukan organisasi untuk bertahan dalam waktu sukar.

Krisis ini juga mempengaruhi tingkah laku individu secara tidak sedar apabila tekanan, proses kerja dan persekitaran kehidupan berubah. Penilaian tingkah laku individu menjadi proses penting memastikan kelangsungan sesebuah organisasi menghadapi isu etika dan integriti pekerja mereka ketika BDR.

Seseorang pekerja memerlukan kekuatan luar biasa dalam melaksanakan tanggungjawab BDR lebih-lebih lagi apabila perancangan, emosi dan peralatan belum tersedia. Sekali lagi, nilai integriti memainkan peranan penting dalam mendidik dan membentuk keperibadian seseorang individu berhadapan keadaan ini.

Integriti berpaksikan kepercayaan, nilai dan sikap, seterusnya diterjemahkan dalam bentuk tingkah laku seseorang. Proses pembudayaan ini tidak berlaku semalaman, tetapi memerlukan keyakinan dan ketabahan.

Ramai percaya perwatakan dan integriti dapat diubah dan individu boleh diajar menjadi lebih baik. Ia hanya dapat dicapai dengan memahami, menerima kelemahan dan menghadapi diri mereka sendiri serta orang lain secara membina.

Dalam kebanyakan kes, ia memerlukan seseorang belajar menjadi lebih baik daripada diri mereka sekarang.

Sudah tentu, gagasan tentang apa yang lebih baik berlaku, kesepakatan tentang kelemahan apa yang berlaku dan bagaimana menghadapi diri sendiri serta orang lain secara konstruktif sangat sukar.

Namun, seseorang individu hendaklah menanam sikap dan tingkah laku berintegriti dalam semua keadaan. Institut Integriti Malaysia (IIM) percaya nilai integriti boleh mengubah bukan hanya individu atau masyarakat, malah sebuah negara.

Keupayaan IIM mendepani usaha pembudayaan ini bukan hanya melalui program dan perkongsian ilmu, tetapi juga dengan membangunkan instrumen penilaian integriti dikenali Individual Integrity Profile (IIP).

IIP menilai kecenderungan individu untuk bertindak dengan berintegriti atau tidak apabila berhadapan isu integriti di tempat kerja mahupun di rumah. Pastinya keterbukaan seseorang individu terhadap konsep penilaian amat diperlukan ketika menduduki dan menerima keputusan penilaian integriti ini.

Penilaian integriti adalah pendekatan pencegahan yang boleh dilaksanakan organisasi ketika berhadapan pandemik dan cabaran ekonomi semasa. Pengambilan pekerja, pengurusan bakat dan risiko mungkin mendatangkan masalah kepada organisasi dapat dikenal pasti lebih awal dan pemulihan dapat dilakukan segera.

Kesimpulannya, pandemik sangat menguji tahap pengamalan nilai integriti individu dan masyarakat. Ia perlu bermula dalam diri masing-masing untuk membentuk menjadi seorang individu berintegriti, walaupun perkara ini bukan mudah.

Justeru, kefahaman, penghayatan dan kesedaran kepada nilai positif perlu diterapkan supaya konteks integriti dapat difahami keseluruhannya, sekali gus membantu menangani isu seperti rasuah, penyelewengan kuasa, pecah amanah dan penipuan.

Integriti datangnya dari hati dan ia tidak boleh dipaksa. Ia bukan baharu, sebaliknya dalam diri selagi kita dinamakan insan.

Penulis adalah Ketua Seksyen Seksyen Penilaian Integriti,
Institut Integriti Malaysia (IIM)

Berita Harian X