Khamis, 23 September 2021 | 10:45am
Bayi yang lahir sama ada ibu atau bapa warganegara berhak mendapat kerakyatan yang sama seperti diputuskan Mahkamah Tinggi.
Bayi yang lahir sama ada ibu atau bapa warganegara berhak mendapat kerakyatan yang sama seperti diputuskan Mahkamah Tinggi.

Henti diskriminasi ibu, bapa tentukan kewarganegaraan bayi

Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan enam wanita warga Malaysia untuk permohonan kewarganegaraan anak masing-masing yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan dengan lelaki warga asing.

Kemenangan ini amat bermakna bukan hanya kepada mereka, tetapi ribuan lagi wanita lain yang masih menunggu keputusan permohonan, selain yang bakal membuat permohonan sama.

Keputusan dibuat Mahkamah Tinggi pada prosiding dalam talian selepas membenarkan saman pemula dibuat tujuh plantif membabitkan Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Saman dibuat bagi membolehkan bayi mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Namun, kegembiraan enam ibu terbabit tidak lama bertahan apabila Peguam Negara pada 13 September lalu memfailkan notis merayu keputusan berkenaan.

Menurut Hansard, antara 2013 dan 2018, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak 3,715 permohonan di bawah Perkara 15(2), sementara 4,959 lagi berstatus 'sedang diproses'.

Dalam tempoh sama, hanya 142 permohonan diluluskan bersamaan hanya 1.64 peratus kelulusan. Antara 2018 dan 2019 sahaja, 2,253 permohonan baharu diterima.

Peruntukan mengenai kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara adalah Perkara 14(1)(b) dibaca bersama dengan Jadual II, Bahagian 2 yang memperuntukkan bahawa - tiap-tiap yang lahir di luar Persekutuan yang bapanya pada masa kelahiran itu seorang warga negara dan sama ada lahir di Persekutuan atau pada masa kelahiran itu berada dalam perkhidmatan Persekutuan atau perkhidmatan sesuatu negeri.

Perolehan kewarganegaraan ini dicatat sebagai kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang atau tuntasnya kewarganegaraan secara automatik.

Bagi ibu pula, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merujuk Perkara 15(2) yang menetapkan mana-mana wanita warga negara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dan melahirkan anak di luar negara, perlu membuat permohonan mendapatkan kewarganegaraan secara pendaftaran.

Berbeza situasi bapa, perolehan kewarganegaraan secara pendaftaran bukan automatik kerana ia tertakluk budi bicara JPN berdasarkan setiap permohonan dibuat.

Dari segi amalannya kadar kelulusan permohonan menurut kaedah ini bukan sahaja rendah, malah jika berjaya sekalipun memakan masa bertahun-tahun lamanya. Keperitan emosi dan mental dilalui tidak wajar berlaku sama sekali.

Situasi ini, jika tidak diatasi akan berlanjutan sekian lama dan menyebabkan kesan negatif serta kecelaruan terhadap kebajikan kanak-kanak, perkembangan mereka serta hubungan keluarga dengan adik-beradik lain dan prospek kehidupan seterusnya.

Secara umum, tidak ada alasan atau penerangan munasabah mengapa terdapat perbezaan ketara dalam hal penganugerahan kewarganegaraan ini, sama ada dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri mahu pun daripada rekod rasmi yang ada.

Perbezaan ketara dalam dua situasi ini hanyalah berasaskan jantina ibu atau bapa warga negara Malaysia itu.

Kesimpulannya, dalam isu penganugerahan warga negara kepada anak dilahirkan di luar negara, ibu yang mengalami kerugian besar akibat takrifan dan pemakaian undang-undang sedia ada.

Justeru, peguam bagi tujuh plaintif berhujah bahawa penafsiran bagi perkataan 'bapa' dalam Bahagian 2(b) mesti dibuat secara harmoni dengan dibaca bersama Perkara 8(2) berkenaan hak kesamarataan yang jelas memperuntukkan bahawa tidak boleh ada diskriminasi terhadap warga negara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang.

Istilah 'jantina' dimasukkan semasa pindaan Perlembagaan dibuat pada 2001 untuk meletakkan kedudukan wanita setara lelaki di Malaysia.

Menteri Undang-Undang pada waktu itu, Datuk Seri Rais Yatim, yang membawa rang pindaan undang-undang di Parlimen antara lainnya berkata "Kerajaan berpendapat bahawa sudah sampailah masanya kedudukan seimbang warga negara - wanita dengan lelaki - di negara ini dicerminkan dan dikukuhkan dengan meminda Fasal 2, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan untuk melarang diskriminasi atas alasan jantina."

Justeru, amat tidak wajar keputusan Mahkamah Tinggi ini dirayu. Selain menyanggah prinsip keutuhan Keluarga Malaysia yang diuar-uarkan Perdana Menteri, proses rayuan tentunya memakan masa yang lama, akan memanjangkan lagi kesengsaraan sedia dialami kanak-kanak yang terkesan ini.

Kesan negatif terhadap kanak-kanak ini akan memberi impak jangka pendek dan panjang akibat hak kelangsungan hidup dan perkembangan terjejas akibat penafian tidak berasas.

Di luar mahkamah, diutarakan kegusaran mengenai isu kanak-kanak dalam kes sebegini mendapat dua kewarganegaraan. Disarankan perkara ini boleh berlaku juga kepada kanak-kanak yang bapanya warga negara Malaysia.

Pengkhianatan kepada kedaulatan negara boleh berlaku tidak kira oleh lelaki mahupun wanita. Prospek ini boleh dibendung dengan penguatkuasaan undang-undang against dual citizenship (menghalang dwi-kewarganegaraan) yang ketat.

Begitu juga alasan menyatakan kemungkinan berlaku ancaman kepada keselamatan negara jika kewarganegaraan diberikan secara kuat kuasa undang-undang. Bagaimana ini mungkin berlaku dalam situasi permohonan adalah untuk kanak-kanak yang jelas tidak berupaya menjadi suatu bentuk ancaman?

Jika dibimbangi pemberian warga negara kepada kanak-kanak akan membolehkan bapa warga asing mendapatkan taraf kewarganegaraan juga, ini sesuatu kebimbangan tidak berasas kerana perundangan sedia ada tidak memihak kepada situasi itu berlaku.

Kesimpulannya, permasalahan melanda kanak-kanak hanya kerana mereka dilahirkan di luar negara oleh ibu warga negara yang mengahwini warga asing, akhirnya diselesaikan dengan pendekatan bijaksana Mahkamah Tinggi dengan memberi takrifan kepada istilah 'bapa' untuk merangkumi 'ibu' juga.

Langkah seterusnya adalah bagi JPN menguatkuasakan keputusan ini dengan mengetepikan prosedur di bawah Perkara 15(2) dan menyelesaikan semua permohonan tertunggak, sepertimana saranan Mahkamah Tinggi.

Kegagalan mematuhi keputusan ini bukan sahaja mengingkari mahkamah, tetapi menjejaskan hak kanak-kanak terbabit untuk mendapatkan kepentingan terbaik bagi mereka ditegakkan.

Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM)

Berita Harian X