Selasa, 21 September 2021 | 11:01am
Haqiem Rusli dinobat sebagai Bintang Paling Popular pada Malam kemuncak ABPBH 33 pada tahun lalu yang diadakan dengan norma baharu dan patuh SOP. - Foto
Haqiem Rusli dinobat sebagai Bintang Paling Popular pada Malam kemuncak ABPBH 33 pada tahun lalu yang diadakan dengan norma baharu dan patuh SOP. - Foto

ABPBH 34 angkat #KITABERSAMA hapuskan wabak, pulihkan industri

Bukan sedikit cabaran mempertahankan legasi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang secara rasminya memasuki edisi ke-34, sebaik proses undian peringkat pertama dibuka, 10 September lalu.

Perubahan landskap industri hiburan sejak dunia dilanda pandemik COVID-19 tahun lalu, mengambil kira kriteria pencalonan 14 kategori utama dan enam kategori online ABPBH 34 yang antara lain mewajibkan calon memiliki sekurang-kurangnya satu produk pada 2020, antara faktor mempengaruhi relevansi dan kelangsungan ABPBH.

Evolusi teknologi, apresiasi peminat dan keyakinan rakan strategik terhadap jenama ABPBH dalam mencapai sasaran serta pulangan pelaburan, perlu diambil kira dalam merancang pengisian acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di negara ini.

Setiap kali bekerjasama dengan penaja, ABPBH menekankan bagaimana kolaborasi terjalin memberi manfaat dalam meningkatkan potensi dan memperkukuhkan jenama.

Ini diakui Xiaomi hingga syarikat elektronik multinasional itu kembali menjadi penaja utama ABPBH 34 untuk tahun kedua berturut-turut, seperti diumumkan pada hari pertama ABPBH 34 bertemakan #KITABERSAMA, diaktifkan.

Menilai reaksi orang ramai terhadap ABPBH 34 melalui perkongsian dalam media sosial, diakui perdebatan apakah acara anugerah ini masih relevan terus diperkatakan netizen.

Malah, takrifan terhadap istilah 'popular' dalam era media sosial juga dibangkitkan segelintir tertanya-tanya apakah misi dan visi di sebalik penganjuran acara gah ini saban tahun.

Hakikatnya, ABPBH bermula dengan Anugerah Penyanyi dan Pelakon Popular (APPP) 1987 - Nescafe Classic yang sekadar mempertandingkan tujuh kategori, dianjurkan bagi menyemarakkan industri hiburan dan merangsang pembangunan karya kreatif dalam pelbagai medium.

Kita sedar keperluan manusia terhadap hiburan, apatah lagi sejak penularan pandemik COVID-19 yang menyaksikan kita buat kali pertama lebih banyak duduk dan bekerja dari rumah, merangsangkan lagi keinginan mencari suatu bentuk 'eskapisme' demi mengurangkan tekanan dalam membiasakan diri dengan norma baharu hidup.

Dalam hal ini, apresiasi manusia terhadap hiburan membawa kepada ikatan terjalin antara peminat dengan pengkarya atau dalam konteks hari ini, artis atau penghibur. Jadi, tiada gunanya karya bertaraf antarabangsa andai tiada peminat di belakang memberi sokongan dan dorongan kepada seniman.

Atas dasar itu, ABPBH terus hidup. Atas paksi populariti, acara anugerah ini memberi kuasa 'rasmi' setahun sekali kepada peminat untuk menilai dan memberi justifikasi terhadap sokongan diberi kepada artis pujaan selama ini.

Benar, ada baiknya populariti datang bersama prestasi, namun dalam soal ini, terpulang kepada artis tercalon dinilai Jawatankuasa Penjurian ABPBH 34, untuk memanfaatkan peluang dan menyantuni sokongan peminat.

Pada era penuh persaingan ini, soal mutu dalam karya dan populariti, tidak dapat dielak, saling berkait dalam memburu kemasyhuran.

Pada akhirnya, tiada siapa dapat menidakkan kuasa peminat yang secara tidak langsung menentukan survival mereka dalam dunia seni. Ini bermakna, soal relevansi ABPBH berbalik kepada peminat menjadi tulang belakang penganjuran acara anugerah sinonim dengan BH ini.

Dalam konteks lebih besar, ABPBH 34 dianjurkan bagi menghidupkan semula industri kreatif diberi kelonggaran kerajaan di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Belajar daripada penganjuran edisi ke-33, tahun lalu, iaitu ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ABPBH 34 memberi peluang pekerjaan kepada petugas belakang tabir seperti kru produksi, kumpulan teknikal dan pengurusan artis terbabit pada malam kemuncak dijangka berlangsung pada 13 November depan.

ABPBH 34 juga membolehkan kakitangan teknikal bahagian grafik rentas platform, penjenamaan, jualan dan pemasaran Media Prima Berhad (MPB) bekerja serta menggunakan kreativiti dalam menyediakan program hiburan terbaik kepada penonton di rumah. Dari dahulu lagi, ABPBH bukanlah pentas mengiktiraf bakat dan populariti artis semata-mata.

Hasil kerja keras dan sokongan peminat, malam kemuncak ABPBH 33 pada 13 November tahun lalu menerapkan norma baharu dan patuh prosedur operasi standard (SOP), berjaya merekodkan enam juta penonton. Kali ini, bersama tema #KITABERSAMA, ABPBH 34 mengajak peminat menyemai semangat perpaduan dan kekitaan dalam memutuskan rantaian pandemik COVID-19 serta mewujudkan imuniti kelompok.

Selepas apa dilalui sejak 18 bulan lalu, ada baiknya kita kembali kepada asas, iaitu merapatkan hubungan dan bersatu menempuhi dugaan hidup dalam era pandemik COVID-19.

Penulis adalah Pengarang Berita Hiburan BH

Berita Harian X