Ahad, 19 September 2021 | 11:00am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Garis pemisah kerajaan, perniagaan promosi ketelusan

AMAKUDARI atau dalam bahasa Jepun bermaksud turun daripada kayangan, mempunyai makna mungkin tidak susah difahami. Dalam terminologi politik atau sosial, ia bermaksud birokrat senior bersara yang memegang jawatan penting dalam syarikat swasta atau syarikat berkaitan kerajaan.

Sejarah amakudari bermula di Jepun pada era Perang Dunia Kedua dalam skala kecil dan terus berkembang hingga 1990-an.

Perkembangan industri pesat memerlukan kesinambungan dalam pengurusan dan kepemimpinan kerajaan untuk memastikan kelangsungannya. Pelantikan pegawai bersara ini menjadi keperluan bagi memastikan operasi syarikat berjalan lancar.

Ia juga dianggap 'hadiah' daripada kerajaan kepada pegawai awam atas khidmat mereka dengan menyandang jawatan tinggi dalam sektor korporat dengan imbuhan bulanan dan tahunan amat tinggi.

Pintu pusingan (revolving door) pula merujuk kepada pergerakan pegawai awam, penggubal undang-undang dan ahli politik berperanan sebagai penggubal undang-undang kepada pengawal selia yang menjadi ahli korporat dan sebaliknya.

Ketika Malaysia berusaha membangun dengan pengkorporatan dan penswastaan pada 1980-an, terdapat keperluan pegawai kerajaan bersara dilantik sebagai ketua perbadanan dan syarikat bagi mengurangkan gangguan terhadap operasi serta peralihan lancar daripada sektor awam kepada swasta.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga dan penyandangnya terdahulu, Yukio Hatoyama menyatakan amakudari harus dihentikan kerana terdapat elemen campur tangan politik, ketirisan, pecah amanah serta rasuah dalam kalangan bekas penjawat awam yang menyandang jawatan ketua korporat syarikat berurusan dengan kerajaan.

Objektif asal amakudari adalah bagi mengurangkan kerenah birokrasi kementerian dengan penempatan bekas pegawai awam di kementerian terbabit supaya operasi syarikat dapat berjalan lancar. Pada masa sama, syarikat juga menggunakan bekas pegawai terbabit untuk melancarkan operasi syarikat bagi tujuan keuntungan.

Bermula 2009, Jepun menguatkuasakan undang-undang agar kementerian tidak menempatkan pesara awam ini dalam syarikat berurusan dengan kerajaan. Urusan pelantikan pesara ini akan diambil alih National Personnel Authority (NPA).

Namun, undang-undang baharu ini juga membatalkan arahan agar tiada penjawat awam boleh dilantik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan dalam tempoh dua tahun persaraan. Undang-undang ini juga tidak mengambil kira gejala watari, iaitu pesara awam menyandang jawatan dalam syarikat tidak berurusan dengan kerajaan serta berpindah kepada syarikat berkaitan kerajaan dalam tempoh tertentu.

Selepas gempa bumi Tohoku pada 2011, Kerajaan Jepun dikecam kerana gagal menetapkan peraturan aktiviti pengilangan nuklear bagi syarikat nuklear.

Dalam kekalutan selepas gempa bumi, terdapat pegawai daripada Agensi Sumber Asli dan Tenaga (METI) diberikan jawatan sebagai penasihat dalam Tokyo Electric Power Corporation (TEPCO). Ini membangkitkan kemarahan rakyat dan membawa kepada peletakan jawatan pegawai terbabit.

Pada Mac 2017, Timbalan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sains dan Teknologi, Maekawa Kihei, secara sistematik membantu birokrat senior yang akan atau sudah bersara mendapatkan jawatan di universiti.

Kembali dalam konteks Malaysia, bekas ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Allahyarham Datuk Dr Zainal Aznam Mohd Yusof pernah menyarankan larangan dikenakan terhadap lantikan ahli politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam ucapannya pada 2011.

Beliau menegaskan korupsi boleh dihindarkan dengan larangan itu atas dasar konflik kepentingan. Senario Malaysia yang politik dan korporat mempunyai hubungan rapat dan fenomena pintu pusingan menjadi amalan boleh dikatakan biasa dan perlu.

Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) contoh gabungan politik dan perniagaan menjadi skandal. Ia membabitkan bekas Menteri Pengangkutan yang dituduh pada 2010 dengan penipuan berkaitan penyelewengan dalam penilaian tanah di dalam PKFZ.

Menurut Zainal Aznam lagi, pelantikan bekas seorang Menteri Wilayah Persekutuan sebagai Pengerusi FELDA pula dilihat langkah mendapatkan sokongan undi sebuah parti politik daripada peneroka.

Untuk rekod, bekas Menteri Wilayah terbabit didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 atas sembilan pertuduhan kes rasuah berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching pada tujuh tahun lalu oleh anak syarikat FELDA.

Tidak dinafikan amakudari dan pintu pusingan ialah mekanisme dalam membangunkan negara suatu ketika dahulu. Jepun mungkin tidak pesat membangun selepas Perang Dunia Kedua tanpa peranan ahli birokrat untuk melicinkan pentadbiran kerajaan dan syarikat.

Malaysia juga berterima kasih kepada pemimpin terdahulu dalam memastikan pembangunan negara mencapai tahap amat disegani di Asia dan dunia. Namun kini, kita perlunya garis pemisah jelas antara kerajaan dengan perniagaan mempromosikan ketelusan, semak dan imbangan serta mencegah rasuah antara ahli politik dengan ahli perniagaan.

Tambahan pula, ini memastikan pulangan terbaik untuk semua pemegang taruh. Kini, mungkin 'dewa turun daripada kayangan' tidak lagi disambut dan pintu itu tidak perlu berpusing lagi.

Penulis adalah Perunding Latihan Kanan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

Berita Harian X