Khamis, 16 September 2021 | 11:01am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pandemik serlah semangat 'Malaysia Prihatin'

YAYASAN Bantuan Kebajikan (CAF) mengeluarkan laporan tahunan World Giving Index (WGI) menyenaraikan negara berdasarkan tahap sikap suka memberi (dermawan) rakyat mereka.

Dalam laporan dikeluarkan Jun lalu, Malaysia diletakkan pada tangga ke-29 daripada 114 negara. Jiran ASEAN kita Indonesia pada tangga pertama, Myanmar (keempat), Thailand (kelima), Vietnam (ke-25) dan di kedudukan terakhir adalah Jepun.

Umumnya, lebih kurang 1,000 orang dalam sesebuah negara mengambil bahagian dalam soal selidik Gallup's World View World Poll dijalankan pada 2020 ini.

Rumusan kajian dilakukan berdasarkan tiga soalan, sama ada responden melakukan tiga perkara pada bulan sebelumnya - menolong orang yang tidak dikenali; memberi sumbangan kewangan kepada badan amal dan meluangkan masa bagi organisasi kebajikan.

Melihat kedudukan Malaysia, adakah ia benar sedangkan kita melihat banyak contoh menidakkan gambaran ini khususnya dalam situasi pandemik ini?

Realitinya, selain inisiatif kerajaan, banyak pihak tampil memberikan bantuan. Ramai juga individu melakukan inisiatif sendiri membantu golongan terkesan akibat pandemik.

Bukan sahaja bantuan tenaga melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan amal, tetapi juga diberi secara individu atau pembentukan kumpulan tertentu seperti sesama rakan sekolah, rakan sekerja, kumpulan kejiranan dan kumpulan ahli keluarga.

Keprihatinan membantu dan memberi ini berkembang secara organik. Bukti kepada peningkatan pemberian bantuan dan sumbangan ini dapat kita saksikan melalui berita dan ciapan media sosial yang tular.

Ramai juga menyokong kempen 'Bendera Putih'. Faham dengan keadaan sesetengah ahli masyarakat yang ramai sudah jatuh ditimpa tangga, bantuan kilat biasanya sampai apabila ternampak bendera putih dinaikkan di sesuatu kediaman.

Bantuan dan sumbangan rakyat Malaysia juga disalurkan dalam pelbagai bentuk dan tidak hanya terhad kepada kewangan.

Sumbangan peralatan seperti kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan pelindung muka kepada hospital serta petugas barisan hadapan, gerobok rezeki dan bakul makanan, bantuan peranti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), bantuan penjagaan anak pesakit COVID-19 serta sokongan emosi dan psikologi juga diberikan.

Konklusi CAF melalui soal selidik Gallup tidak semestinya diterima bulat-bulat. Dengan hanya berdasarkan sampel kajian 1,000 orang, mungkin dapatan soal selidik tidak dapat membongkar sikap perahsia rakyat Malaysia yang dermawan, tidak mahu sikap terbabit diketahui. Contoh mudah, sikap murah hati artis seperti arwah Siti Sarah Raissuddin dan arwah Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan atau lebih dikenali 'Abam' hanya diketahui ramai apabila mereka meninggal dunia.

Hakikatnya, rakyat Malaysia perlu menghayati sikap cakna kepada masalah rakan, jiran, ahli masyarakat khasnya dan warga dunia amnya. Maka tema Hari Kebangsaan 'Malaysia Prihatin' sangat bertepatan.

Gabungan kerjasama utuh diperlukan bagi membantu menyemai dan menyemarakkan sikap saling membantu. Peranan kerajaan memformulasi dasar dan peraturan bagi memberi kesedaran dan galakan kepada rakyat melalui insentif serta pengurangan kerenah birokasi adalah penting.

Resipi paling penting ialah menyediakan persekitaran sesuai supaya sikap tolong-menolong dapat terus subur.

Justeru, marilah kita sama-sama sebagai sebuah keluarga besar Malaysia terus mempamerkan nilai prihatin dan kasih sayang antara semua lapisan masyarakat seperti dihasratkan Perdana Menteri.

Timbalan Pengarah Kanan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

Berita Harian X