Selasa, 14 September 2021 | 10:45am

Langkah tepat kembalikan 'pancing' rakyat

Dalam tempoh seminggu lalu, trend jumlah kes sembuh harian COVID-19 dalam negara menunjukkan peningkatan berbanding kes baharu yang direkodkan, walaupun angkanya masih lagi tinggi.

Ia menyebabkan kumulatif kes aktif semakin menurun, didorong usaha berterusan kerajaan memberi suntikan vaksin kepada golongan dewasa melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Sasarannya mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober depan.

Fasa berikutnya sedang dipertimbangkan untuk vaksinasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun bagi membolehkan sesi persekolahan dibuka, dijadualkan bermula 3 Oktober ini.

Situasi di Lembah Klang sendiri menunjukkan tanda positif dengan penurunan kes harian kepada sekitar 900 hingga 3,000 kes sehari berbanding sebelumnya. Status Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini berubah kepada Fasa Dua untuk Lembah Klang membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Hasilnya, sektor ekonomi mula dibenarkan beroperasi. Kelonggaran sedikit demi sedikit diberikan memberi nafas lega kepada rakyat.

Walaupun kerajaan sentiasa prihatin menyalurkan pelbagai bantuan, khususnya melalui beberapa siri suntikan dan pakej bantuan serta rangsangan ekonomi terdahulu, kesannya masih tetap dirasa.

Analogi 'pancing' dan 'ikan' sering digunakan merujuk masing-masing, 'pekerjaan' dan 'bantuan atau wang'.

Dalam keadaan sektor ekonomi semakin pulih dan prosedur operasi standard (SOP) semakin dilonggarkan, rakyat mahukan 'pancing' mereka dikembalikan.

Dengan erti kata lain, membuka sektor ekonomi dan pekerjaan baharu bagi menjana pendapatan serta tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada bantuan atau 'ikan' yang diberikan kerajaan, yang sudah tentu akan habis bila-bila masa.

Rakyat sedar mereka perlu memainkan peranan, membantu kerajaan merancakkan semula sektor ekonomi bagi mewujudkan negara lebih stabil pada masa akan datang.

Poket rakyat perlu diisi semula melalui usaha bersama untuk mencari rezeki bagi menampung Keluarga Malaysia yang semakin tenat akibat kesan pandemik.

Namun, kita janganlah alpa dan leka. Kata-kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah perlu diambil serius - bahawa kelonggaran diberi bukan disebabkan situasi negara dalam keadaan selamat, sebaliknya bertujuan membantu sektor ekonomi negara supaya kekal berdaya saing pada masa akan datang.

Oleh itu, kita perlu sama-sama menjaga diri, ahli keluarga, masyarakat dan komuniti setempat supaya sentiasa berwaspada dengan ancaman pandemik yang belum berakhir.

Sentiasa ingat pengorbanan petugas barisan hadapan yang tanpa jemu menjaga kita selama ini. Insafi juga kematian demi kematian berlaku saban hari yang semakin meningkat.

Itu tandanya wabak COVID-19 benar dan mampu mengancam nyawa sesiapa saja tanpa mengira usia dan bangsa.

Ayuh sama-sama kita bersyukur dengan situasi semasa negara yang menunjukkan tanda pemulihan serta sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya wabak ini segera diangkat oleh-Nya.

Ringkasnya, Keluarga Malaysia yang kukuh adalah kunci kesepaduan nasional sebuah negara bangsa berdaulat.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Tapah, Perak

Berita Harian X