Sabtu, 12 Disember 2020 | 11:15am

Pandemik tingkat jurang kemiskinan digital rakyat

PANDEMIK COVID-19 mendedahkan realiti kerentanan kesejahteraan hidup dan boleh meningkatkan ketidaksamaan rakyat dalam bentuk baharu, iaitu kemiskinan digital. Ancaman baharu ini dijangka mengeruhkan lagi perbahasan realiti inklusiviti dan eksklusiviti digital di negara ini.

Jika sebelum ini, kita membahaskan jurang digital antara wilayah dan strata masyarakat, rupa-rupanya jurang digital mula membarah sehingga membentuk kemiskinan digital.

Kemiskinan digital boleh difahami sebagai individu atau isi rumah tidak mampu atau rendah dalam empat aspek iaitu pengetahuan teknologi digital; keupayaan untuk menggunakan teknologi digital; akses kepada kemudahan digital dan keterbatasan penyediaan teknologi digital.

Keadaan itu boleh difahami dalam tiga senario, iaitu:

• Senario pertama, kelompok sedia miskin dengan pendapatan hanya mencukupi untuk perkara keperluan hidup dan tidak berupaya menyediakan peralatan digital.

• Senario kedua, pengetahuan terhad untuk menggunakan teknologi digital, bukan kerana menolaknya, tetapi memanifestasikan pengetahuan terbabit hanya pada tahap tertentu dan rendah kekerapan penggunaannya.

Ia juga disebabkan keterhadan upaya untuk memperoleh teknologi digital tertentu, perlu berkongsi peralatan digital dengan isi rumah lain dan sikap terhadap teknologi digital.

• Senario ketiga, ketersampaian dan kualiti teknologi digital.

Keadaan ini sudah pasti bukan hanya di luar bandar, bahkan di bandar. Malah hakikatnya lebih pedih berlaku pada kelompok miskin bandar dan berpendapatan rendah di bandar.

Menurut kajian Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) ke atas 16 Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur, gaji purata bulanan ketua isi rumah menurun satu pertiga kepada RM1,000 sebulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Begitu juga dengan kajian Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendapati majoriti masyarakat bimbang keupayaan memperoleh keperluan asas kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

Dengan mempertimbangkan realiti semasa yang banyak bergantung kepada teknologi digital, termasuk penumpuan Malaysia pada ekonomi digital, ia meletakkan kelompok miskin digital dalam dilema.

Mereka bukan sahaja tidak mampu turut serta dalam aktiviti ekonomi, bahkan membantutkan usaha mengubah hidup golongan ini.

Miskin digital turut mengurangkan kemampuan terbabit dalam aktiviti lain, misalnya COVID-19 mempercepatkan penggunaan teknologi digital dalam konteks pembelajaran dan pengajaran (PdP).

Sisi baiknya ialah PdP dilaksanakan dalam bentuk lebih fleksibel, namun menekan golongan berhadapan dengan kemiskinan digital.

Dengan kemampuan kewangan terhad, kekangan pengetahuan, sikap tidak tepat pada teknologi digital, azam lemah dan ditimpa pula kesukaran akses kepada kemudahan digital, sudah pasti mereka akan terus ketinggalan.

Jabatan Perangkaan Malaysia (2020) menunjukkan saban tahun berlaku peningkatan penggunaan internet dan alat berkaitan digital oleh rakyat.

Momentum ini diteliti dari sisi positifnya sebagai peluang untuk Malaysia merancang dan melaksanakan strategi lebih ampuh bagi meneroka serta memanfaatkan ekonomi digital.

Kerajaan sedar jurang digital masih berlaku sehingga memperkenalkan pelbagai strategi seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Dengan peruntukan awal RM500 juta, JENDELA dirangka untuk memperluaskan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar serta mempersiapkan negara ke arah teknologi 5G.

Sempena ancaman kemiskinan digital, adalah tepat jika JENDELA ditumpukan kepada kawasan mengalami kemiskinan digital.

Antara kandungan tumpuan boleh dipertimbangkan adalah menekankan elemen pembinaan kapasiti untuk menggunakan teknologi demi manfaat ekonomi, sosial, sahsiah dan pendidikan masyarakat.

Secara khusus, boleh dihubungjalinkan dengan program dalam Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pusat Inovasi dan KreativitiGlobal Malaysia (MaGIC).

Hubung jalin ini boleh diperkasakan lagi melalui konsep perusahaan sosial bagi menggalakkan penyertaan masyarakat sivil dan pemegang taruh lain berasaskan potensi mereka.

Usaha ini mampu mewujudkan ekosistem perusahaan sosial baharu dikenali sebagai perusahaan sosial digital.

Juga mungkin boleh diwujudkan inisiatif rangsangan khas untuk kelompok miskin digital seperti memperbanyak kawasan liputan internet percuma dengan kualiti lebih baik.

Selain itu, pakej internet khas berbayar untuk kelompok miskin digital, memperbanyakkan lagi saluran pembelajaran melalui teknologi digital, rebat digital untuk memiliki dan menggunakan teknologi berkenaan untuk peningkatan kualiti hidup.

Inisiatif ini mempunyai tiga lapis matlamat, iaitu membasmi kemiskinan digital, mengurangkan jurang digital dan meningkatkan keupayaan untuk terbabit secara serius dalam masyarakat digital yang bakal memberi manfaat dalam bentuk sahsiah, sosial, pendidikan serta ekonomi untuk kelompok miskin digital di Malaysia.

Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan

Berita Harian X