X
Selasa, 24 November 2020 | 11:01am
Pemimpin negara menunjukkan dokumen deklarasi pada mesyuarat hari terakhir Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (AELM) 2020. - NSTP/Asyraf Hamzah
Pemimpin negara menunjukkan dokumen deklarasi pada mesyuarat hari terakhir Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (AELM) 2020. - NSTP/Asyraf Hamzah

Wawasan Putrajaya 2040 perkasa inovasi, digitalisasi ekonomi

Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) membabitkan forum ekonomi membabitkan 21 negara bersempadan dengan Lautan Pasifik.

Seperti forum ekonomi lain, APEC membincang dan mendapatkan persefahaman dalam kalangan ahli anggota berkaitan isu ekonomi serta kerjasama dari segi pelaburan dan perdagangan.

Jika dilihat statistik terkini, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) anggota APEC, iaitu AS$48.175 trilion (RM197.126 trilion) mewakili 60 peratus KDNK dunia.

Ini menjadikan APEC antara forum ekonomi berpengaruh di dunia. Lebih separuh 15 negara mempunyai KDNK tertinggi di dunia adalah anggota APEC.

Ketika ini, sekretariatnya berpusat di Singapura dan setiap tahun anggotanya menganjurkan persidangan tahunan secara bergilir-gilir.

Tahun ini, kali kedua Malaysia menganjurkan Persidangan APEC selepas menganjurkannya pada 1998. Bagaimanapun, ia kali pertama dianjurkan secara maya, akibat penularan COVID-19 di seluruh dunia.

Pandemik ini memberi kesan besar kepada anggota APEC. Lebih 32 peratus daripada jumlah jangkitan COVID-19 seluruh dunia dan lebih 36 peratus kematian di seluruh dunia berlaku dalam kalangan anggota APEC.

Justeru, persidangan APEC 2020 istimewa kerana selain melancarkan Wawasan Putrajaya 2040 menggantikan Matlamat Bogor yang berakhir tahun ini, ia turut mengisytiharkan Deklarasi Kuala Lumpur 2020 yang menekankan usaha memerangi COVID-19, selain merencana strategi pengukuhan pertumbuhan negara.

Tekad ini dikongsi setiap pemimpinnya untuk memulihkan ekonomi negara masing-masing daripada krisis kesihatan dan krisis ekonomi.

Hanya tiga kuasa ekonomi APEC mencatatkan pertumbuhan positif KDNK pada suku kedua 2020, ketika wabak COVID-19 merebak dengan cepat ke seluruh dunia dan banyak negara menutup sempadan serta sektor ekonomi seperti pelancongan dan hospitaliti. Anggota APEC seperti Peru, Mexico, Malaysia, Filipina, Chile dan Singapura teruk terjejas dari segi ekonominya pada suku kedua 2020.

Walaupun banyak anggota APEC menunjukkan pemulihan ekonomi pada suku ketiga 2020, termasuk Malaysia, data penularan COVID-19 seluruh dunia masih menunjukkan peningkatan jangkitan ketara.

Justeru, Deklarasi Kuala Lumpur 2020 menumpukan kepentingan merangka dasar bersama untuk menjana kesan positif dan lestari untuk melonjakkan taraf kehidupan rakyat.

Ini menerusi beberapa mekanisme tertentu seperti rangsangan ekonomi mewujudkan peluang pekerjaan, mengekalkan perniagaan dan memperkasa kedudukan fiskal lestari serta telus.

Wawasan Putrajaya 2040 pula kesinambungan Matlamat Bogor yang dilancarkan pada 1994 di Indonesia yang menyasarkan perdagangan dan pelaburan terbuka serta tiada sekatan dalam kalangan semua anggota APEC menjelang 2040.

Objektif ini diteruskan dengan Wawasan Putrajaya 2040 yang mempunyai matlamat sama, iaitu mewujudkan komuniti Asia Pasifik aman, terbuka, dinamik dan berdaya tahan menjelang 2040 untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan generasi masa depan semua ekonomi.

Menerusi wawasan ini juga, anggota APEC akan memastikan Asia Pasifik terus menjadi rantau ekonomi berintegrasi, dinamik dan terkemuka dalam segmen perdagangan serta pelaburan.

Sesuatu menarik dan baharu dalam Wawasan Putrajaya 2040 adalah usaha anggota ke arah memperkasakan bidang inovasi dan digitalisasi dalam mewujudkan persekitaran ekonomi lebih utuh bersandarkan ekonomi digital.

Ekonomi digital menjadi sektor ekonomi berkembang pesat di seluruh dunia. Di Malaysia contohnya, ekonomi digital menyumbang 18.5 peratus kepada KDNK negara pada 2018, iaitu berjumlah RM267.7 bilion.

Sumbangan ekonomi digital kepada KDNK negara dijangka meningkat melebihi 21 peratus menjelang 2022.

Oleh itu, kerjasama erat anggota APEC berkaitan ekonomi digital mampu menjana pelbagai idea inovatif dan kreatif dalam kalangan penduduk serta syarikat beroperasi di negara anggota.

Ia turut menzahirkan agenda kemakmuran bersama, iaitu setiap lapisan masyarakat dapat merasai kesan limpahan pertumbuhan ekonomi rantau berkenaan. Ini penting kerana antara isu hangat diperkatakan sekarang ialah kepincangan aspek agihan kekayaan rakyat anggota APEC, terutama apabila berlaku krisis kesihatan dan ekonomi.

Oleh itu, antara matlamat utama Wawasan Putrajaya 2040 adalah memastikan rantau Asia Pasifik menjadi lebih kuat dan mampu berdepan sebarang krisis, pandemik atau perkara kecemasan. Semua ini tidak akan terjadi jika anggota APEC tidak komited sebagai pemegang taruh bertanggungjawab dan mengamalkan tadbir urus baik.

Masih lagi ada ketidakpuashatian kalangan anggota bahawa pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi hanya dinikmati ahli tertentu sahaja.

Oleh itu, Wawasan Putrajaya 2040 komited memastikan lebih banyak ruang meningkatkan hubungan perdagangan antara sesama ahli melalui penurunan kadar tarif dan penghapusan pelbagai sekatan ekonomi.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS)

Berita Harian X