Sabtu, 21 November 2020 | 11:01am
Urusan kerja pejabat di lakukan di rumah. - Foto BERNAMA
Urusan kerja pejabat di lakukan di rumah. - Foto BERNAMA

Manfaat masa kumpul dokumen pemilikan harta

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kesan gelombang ketiga COVID-19, sebenarnya memberi ruang kepada ahli keluarga untuk menikmati masa bersama walaupun perlu bekerja dari rumah.

Sebenarnya, waktu ini sesuai untuk menyediakan pelan pewarisan harta pusaka. Harta pusaka bukan masalah kecil di negara ini kerana dianggarkan lebih RM70 bilion harta pusaka terbeku atau tidak dituntut.

Antara faktor penyebabnya, waris tidak mengetahui harta dimiliki pewaris atau si mati. Ada yang merahsiakan pembelian harta seperti kereta dan rumah daripada pengetahuan waris.

Selepas berlaku kematian pewaris, waris perlu membuat permohonan pengurusan pusaka sama ada di Amanah Raya Berhad, Unit Pembahagian Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil.

Antara dokumen diperlukan adalah berkaitan pemilikan harta oleh pewaris. Jika waris tidak mengambil maklum pemilikan harta, ia akan menyebabkan waris membuat permohonan pengurusan pusaka berulang-ulang kali.

Contohnya, urusan di Unit Pembahagian Pusaka Kecil, waris perlu mengisi Borang A untuk permohonan pembahagian pusaka kecil bagi permohonan kali pertama. Selepas selesai, jika terdapat harta tertinggal, maka waris perlu membuat permohonan seterusnya menggunakan Borang P. Ini merugikan masa dan tenaga waris.

Pewaris juga tidak menyenaraikan harta dimiliki secara formal. Dokumen pemilikan tidak disimpan secara tersusun dan sistematik. Kemungkinan juga waris tahu kewujudan harta, tetapi dokumen pemilikan tidak ditemui. Ini menyukarkan waris mengenal pasti jenis dan jumlah harta dimiliki.

Oleh itu, pewaris perlu menyediakan senarai lengkap harta dimiliki berserta dokumen pemilikan seperti geran, perjanjian jual beli rumah, geran kereta, akaun simpanan dan pelaburan, dokumen pembiayaan atau hutang serta sijil takaful disimpan dalam fail peribadi.

Jika waris tidak mempunyai dokumen lengkap pemilikan harta pusaka, mereka akan sukar membuat carian di Pejabat Tanah atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Waris sukar mendapatkan maklumat akaun si mati jika berurusan dengan pihak institusi kewangan kerana perlindungan data peribadi.

Senarai ini diperlukan supaya waris dapat menganggarkan jumlah nilaian harta ditinggalkan. Nilaian dan jenis harta (harta alih seperti kenderaan dan simpanan dan harta tidak alih seperti rumah dan tanah) sangat penting dalam membantu waris mengenal pasti agensi tepat dalam membuat permohonan pusaka.

Terdapat tiga agensi pengurusan pusaka mempunyai bidang kuasa berbeza. Unit Pembahagian Pusaka Kecil mempunyai bidang kuasa untuk permohonan harta pusaka kecil (harta alih dan tidak alih) bernilai kurang RM2 juta; Amanah Raya Berhad bagi harta pusaka ringkas (harta alih sahaja) bernilai kurang RM600,000 dan Mahkamah Tinggi Sivil bagi harta pusaka biasa bernilai lebih RM2 juta.

Pewaris juga perlu menyenaraikan hutang belum diselesaikan seperti pembiayaan peribadi, kereta, rumah dan pendidikan serta berkaitan agama.

Hutang perlu diselesaikan sebelum harta pusaka diagihkan kepada waris mengikut pembahagian faraid. Jika tidak, ia akan menimbulkan masalah kepada waris dan pemiutang. Terdapat kes waris sudah mendapat bahagian, namun si mati masih mempunyai hutang belum diselesaikan.

Ia sukar diselesaikan kerana terdapat dalam kalangan waris sudah menjual atau menggunakan harta sepenuhnya. Selain senarai harta, pemilik harta perlu mempunyai senarai waris kerana kemungkinan terdapat waris layak, tetapi tidak diketahui status.

Ada kes berkaitan pusaka, waris tidak disenaraikan ketika membuat permohonan pusaka. Perkara sering terjadi ialah anak si mati daripada perkahwinan terdahulu. Walaupun bekas pasangan tidak mendapat bahagian pusaka, anak hasil perkahwinan terbabit layak menerimanya. Ada pewaris menyembunyikan perkahwinan dan mempunyai anak, tetapi mereka layak menerima pusaka.

Justeru, pemilik harta perlu membuat dua senarai ini bagi memudahkan waris menuntut pusaka selepas kematian. Gunakan masa yang ada untuk mengumpulkan dokumen pemilikan harta dan senarai hutang supaya dapat membantu waris dalam menguruskan pusaka kelak.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia

Berita Harian X