Isnin, 9 November 2020 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Belanjawan 2021 perkasa TVET

Seperti biasa sektor pendidikan menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu. Bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) antara mendapat perhatian utama dengan RM29 juta diperuntukkan tahun depan.

Umum maklum TVET berfokuskan pemupukan kemahiran secara praktikal dan alami. Dua tumpuan utama terhadap TVET ialah latihan komprehensif dalam bentuk pemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling).

Kedua-dua ini sangat tepat pada masanya ketika negara berhadapan pandemik COVID-19 yang menyaksikan ramai hilang pekerjaan.

Golongan ini wajar mengambil peluang untuk menaik taraf pengetahuan dan kemahiran sedia ada. Sasarannya bukan hanya membawa nilai tambah kepada kemahiran kebolehgajian, tetapi membuka lebih ruang kebolehpasaran diri dalam pasaran kerja.

Pemahiran semula adalah program latihan yang direka bentuk bagi membolehkan pekerja mendapat pengetahuan dan kemahiran mutakhir sejajar perkembangan teknologi semasa. Ini sesuai dilaksanakan apabila pengetahuan dan kemahiran sedia ada pekerja jumud dan tidak lagi sesuai dalam konteks semasa.

Pekerja perlu mengasah semula kemahiran supaya kekal relevan dengan skop kerja. Sebagai contoh memberi kursus kepada pekerja industri yang mengendalikan peralatan pemesinan analog kepada perkakasan digital, seiring Revolusi Industri 4.0.

Peningkatan kemahiran pula bentuk latihan diberi kepada pekerja untuk meningkatkan, menambah, memperluas atau memperkasa pengetahuan dan kemahiran dimiliki. Ia boleh dirujuk sebagai suatu bentuk intervensi yang membawa nilai tambah kepada kemahiran sedia ada.

Dalam erti kata lain, peningkatan kemahiran bukan sahaja dijadikan lesen memburu pekerjaan baharu, tetapi turut mendorong penciptaan pekerjaan.

Dalam pada itu, RM60 juta juga diperuntukkan untuk program perantisan menerusi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). Sistem ini menawarkan peluang latihan kemahiran berorientasikan pekerjaan berasaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK, 2017) yang memenuhi kehendak industri semasa.

Pendekatan latihan diguna pakai mengagihkan peruntukan masa 70 hingga 80 peratus untuk praktikal di industri atau syarikat SLDN, manakala baki pendedahan teori dibuat di pusat latihan SLDN.

Dalam laporan dikeluarkan National Centre for Vocational Education Research, Australia (Misko, 2006), program perantisan adalah kunci pembangunan kemahiran pekerjaan negara seperti Jerman, Australia dan United Kingdom. Justeru, langkah kerajaan sejajar matlamat menjadikan Malaysia negara maju.

Penubuhan Perbadanan Tabung Pembangunan Khas dengan peruntukan RM300 juta pula boleh dimanfaatkan kira-kira 24,000 peserta program TVET.

Belanjawan 2021 sangat relevan dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang menggariskan pelaksanaan dasar dan strategi berteraskan tiga dimensi utama iaitu pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kejuruteraan semula sosial.

Tonggak pembangunan ke arah ekonomi hijau ialah sumber manusia yang kompeten dan berkemahiran generik hijau. Justeru, program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula perlu mengambil kira objektif melestarikan alam sekitar, di samping menstrukturkan semula sumber tenaga manusia.

Perkara ini turut mendapat perhatian dalam Belanjawan 2021 di mana insentif dan galakan diberi kepada industri yang mengamalkan pengeluaran bersih menerusi teknologi hijau.

Rentetan amalan teknologi hijau, tenaga pekerja industri wajar diberi latihan yang turut memfokuskan kepada pembangunan kemahiran generik hijau. Ia wadah dalam menghasilkan reservoir tenaga pekerja mahir dan separa mahir yang holistik, lengkap dengan kemahiran hijau dan selari matlamat penubuhan Majlis Pekerjaan Negara.

Satu perkara lagi yang harus diberi perhatian ialah penjenamaan semula bidang pekerjaan yang dilabel sebagai 3D iaitu kotor, sukar dan berbahaya supaya dilihat sebagai suatu lubuk pekerjaan yang mempunyai nilai dan potensi untuk diceburi, bukannya dimonopoli warga asing.

Ringkasnya, Belanjawan 2021 wadah terbaik mengupayakan sumber tenaga manusia menerusi pemerkasaan TVET. Keteguhan dan iltizam untuk memartabatkan TVET mampu membawa kemenangan ekonomi negara.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor

Berita Harian X