Jumaat, 25 September 2020 | 11:01am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Pandemik ajar kepentingan urus kewangan

Wabak COVID-19 bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara, malah meninggalkan kesan mendalam bagi kehidupan masyarakat Malaysia.

Namun, kita bersyukur kerajaan kali pertama melaksanakan moratorium bayaran balik pinjaman secara menyeluruh. Ia sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan ramai individu dan ahli perniagaan.

Bak kata pepatah Inggeris, semua perkara yang baik akan berakhir jua. Tempoh moratorium enam bulan akan tamat 30 September ini. Pastinya, ramai akan menghadapi kesukaran menanggung semula pembayaran balik ansuran dan pinjaman.

Ini amat merisaukan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang masih terkesan dengan situasi ekonomi di mana sumber pendapatan terjejas akibat pengurangan gaji atau pemberhentian kerja.

Dari sudut pandangan berbeza, pengakhiran tempoh moratorium menyeluruh ini menyajikan peluang untuk rakyat Malaysia meneliti semula dan memperbaiki situasi kewangan masing-masing.

Ibarat tugas seorang CFO ataupun ketua pegawai kewangan, anda perlu memastikan kedudukan kewangan dan daya ketahanan syarikat apabila hasil pendapatan menjunam, di samping membuat persediaan menghadapi cabaran seterusnya.

Inilah masanya untuk mengkaji komitmen pinjaman dan pembiayaan bulanan, menyelaras bajet perbelanjaan harian dan isi rumah berdasarkan kemampuan pendapatan serta memastikan simpanan boleh bertahan untuk jangka masa lama.

Walaupun moratorium pinjaman tidak akan dilanjutkan, rata-rata institusi perbankan di Malaysia giat membantu peminjam terkesan menerusi program bantuan pembayaran semula bersasar.

Selain lanjutan moratorium untuk tiga bulan lagi, mereka yang mengalami pengurangan gaji boleh menyemak semula syarat pinjaman dan memohon pembiayaan bulanan diringankan secara berkadar sekurang-kurangnya enam bulan bermula 1 Oktober depan.

Pihak bank juga menawarkan pelbagai bentuk bantuan berdasarkan produk dan kedudukan semasa peminjam. Ini termasuk pembayaran faedah sahaja (atau keuntungan bagi perbankan Islam) bagi jangka masa tertentu, serta pengurangan ansuran bulanan selaras tempoh pinjaman atau pembiayaan dipanjangkan.

Bagi kad kredit, baki tunggakan boleh ditukar kepada pinjaman berjangka dengan kadar faedah lebih rendah.

Namun, jika situasi kewangan terkesan, sebaik-baiknya elakkan daripada melonjakkan penggunaan kad kredit, ataupun menambah hutang bertimbun. Keadaan ini hanya akan memudaratkan masalah kewangan anda.

Pihak bank sedaya upaya membantu anda meneruskan pembayaran pinjaman. Namun, anda terlebih dahulu perlu menghubungi pihak bank dan mula berbincang untuk mendapatkan pemahaman lebih jelas berkenaan pinjaman dan bantuan bersasar sedia ada.

Bantuan pembayaran semula bersasar didatangkan dengan satu kelebihan. Menurut Bank Negara Malaysia, skor kredit peminjam dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) tidak akan terjejas sekiranya mereka membuat penstrukturan dan pembiayaan semula pinjaman menerusi program ini.

Sebaliknya, berlaku jika pembayaran lewat atau tidak konsisten, mengakibatkan rekod buruk dan skor kredit lebih rendah. Ia mencerminkan imej anda sebagai seorang peminjam.

Jika berasa bakal menghadapi kesulitan menjelaskan komitmen pinjaman, jangan teragak-agak merisik bantuan secepat mungkin. Hubungi institusi perbankan supaya perkara ini boleh diselesaikan sebelum ansuran bermula Oktober. Lagipun, proses permohonan bantuan pembayaran semula bersasar sebenarnya boleh dilaksanakan dengan mudah secara dalam talian.

Amalan penilaian dan penyelarasan kedudukan kewangan perlu diterap dan diteruskan, walaupun selepas pandemik ini tamat. Kesedaran dan pemahaman situasi kewangan teliti membantu anda berbelanja sewajarnya, di samping mengelakkan kehabisan wang.

Sebagai panduan, bagi yang terpaksa menerima potongan gaji, janganlah berbelanja seperti biasa. Pada masa sama, terokai pilihan lain seperti pekerjaan baharu, sumber pendapatan tambahan dan pengurangan perbelanjaan isi rumah.

Peminjam berkemampuan pula patut menunaikan tanggungjawab dan memulakan rutin pembayaran semula supaya tidak menjejaskan industri perbankan negara.

Penulis adalah pengasas laman RinggitOhRinggit.com

Berita Harian X