Rabu, 23 September 2020 | 11:01am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Tingkat strategi bangun ekonomi, infrastruktur desa

Mempromosikan strategi dan pelaburan yang menyokong pembaharuan kawasan luar bandar bukan sahaja bermanfaat dalam mewujudkan ekonomi desa kompetitif dan mampan, bahkan penting untuk daya maju sosial negara.

Di negara ini, penduduk luar bandar merangkumi 21.6 peratus daripada jumlah warga.

Walaupun jumlahnya tidak begitu tinggi, mereka menanggung beban kemiskinan, kekurangan zat makanan dan kualiti hidup tidak seimbang.

Pembaharuan desa pada zaman ini melampaui sektor pertanian kerana ia membabitkan kewujudan pasaran 'bukan pertanian', sekali gus menjadikan teknologi dan inovasi sebagai asas pertumbuhan ekonomi luar bandar.

Pelbagai program di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dilaksanakan untuk mempromosi kesejahteraan masyarakat luar bandar seperti program sokongan untuk keusahawanan desa (Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar), iaitu platform menyokong pengusaha tempatan dengan pelbagai bentuk bantuan sama ada kewangan mahupun latihan keusahawanan.

Walaupun inisiatif nampak membuahkan hasil, peluang untuk penduduk luar bandar meningkatkan taraf hidup masih tipis.

Ini memaksa sebahagian besar berhijrah ke kota dengan harapan untuk menggapai masa depan lebih cerah.

Namun, ini akan menimbulkan masalah lain, iaitu urbanisasi yang boleh menyebabkan isu kekurangan ruang untuk membina rumah baharu bagi menampung peningkatan jumlah penduduk, kesesakan lalu lintas dan jenayah bandar.

Kini, Malaysia antara negara di Asia Timur yang paling banyak bandar. Pada 2017 sahaja, statistik mendedahkan hampir 75 peratus penduduk negara ini tinggal di bandar dengan lebih tujuh juta individu mendiami Kuala Lumpur sahaja.

Memandangkan pertumbuhan ini dijangka berterusan, usaha menggiatkan semula kawasan luar bandar amat diperlukan bagi mengelak penduduk desa berhijrah supaya mereka boleh meneroka kawasan luar bandar dan memaksimumkan potensi untuk menerokai ekonomi luar bandar.

Oleh itu, apa yang boleh dilakukan bagi membaharui atau membangunkan kawasan luar bandar?

Kerajaan perlu terus melabur dalam meningkatkan infrastruktur luar bandar dengan menambah kecekapan dan ketersediaan air bersih, kemudahan internet stabil, elektrik serta akses ke kedai runcit yang menjual makanan berkhasiat dengan harga berpatutan - yang sering sukar diperoleh.

Selaras dengan usaha ini, meningkatkan mobiliti luar bandar penting supaya mereka mudah mendapatkan keperluan harian, mengakses perkhidmatan seperti pendidikan, kesihatan dan kewangan, mencapai pasaran, memperoleh pendapatan serta mengambil bahagian dalam aktiviti sosial, politik dan masyarakat.

Namun, sementara pelaburan dalam sektor pengangkutan tertumpu kepada penambahbaikan infrastruktur, adalah penting kerajaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam.

Selain itu, menjana sumber pendapatan lain di kawasan luar bandar seperti perlombongan, industri perkhidmatan dan e-dagang sangat penting dalam meningkatkan ekonomi desa.

Berhubung e-dagang, sektor ini dilihat berkembang di tengah-tengah pandemik, sekali gus menjadi masa tepat untuk melakukan usaha ekstensif bagi membantu penduduk luar bandar menceburi industri ini.

Contohnya, Perkhidmatan eDagang Setempat (PeDAS) yang dilancarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), bermanfaat untuk membantu pengusaha tempatan memasarkan produk dalam talian.

Strategi praktikal untuk memperkasa program ini harus dirancang dengan teliti bagi memperluas fungsinya dalam membantu penduduk desa terutama wanita, belia dan Orang Asli untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam e-dagang.

Untuk mencapai matlamat kerajaan mungkin perlu menyuntik bantuan kewangan ke dalam program berkenaan supaya tindakan sewajarnya dapat diteruskan seperti menambah pusat sehenti, pusat internet desa atau kampung internet supaya lebih ramai merebut peluang emas ini.

Program ini, bukan sahaja dapat meningkatkan taraf kehidupan, bahkan juga membuka mata dunia untuk mengenali kemahiran mereka dan paling penting untuk mengekalkan pengetahuan tradisional dan peribumi mereka untuk penggunaan generasi akan datang.

Penulis adalah Pembantu Penyelidik di EMIR Research

Berita Harian X