Isnin, 14 September 2020 | 11:00am

Lestarikan NACP ke arah masyarakat berintegriti

DALAM Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN), Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan integriti sebagai satu daripada 10 asas penting menentukan hala tuju negara.

PN akan meneruskan komitmen kepada usaha membanteras rasuah menerusi pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).

NACP 2019-2023, menggantikan Pelan Integriti Nasional (PIN), khusus dibangunkan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC) dengan kerjasama agensi kerajaan lain.

Pelan ini dibuat berdasarkan 22 strategi yang akan diberi keutamaan bagi enam sektor utama mengandungi 115 inisiatif antirasuah merangkumi politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat.

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019, membabitkan 180 negara di seluruh dunia, menyaksikan Malaysia melonjak ke tangga 51, berbanding kedudukan 61 pada 2018.

Namun, kerajaan belum boleh selesa dengan pencapaian indeks berkenaan. Statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menunjukkan peningkatan kes tangkapan.

Jumlah tangkapan tahunan bilangan pesalah rasuah meningkat 25 peratus antara 2017 dan 2019, manakala sehingga Ogos lalu, 585 tangkapan direkodkan agensi itu.

Dalam membanteras 'musuh nombor satu negara' itu, tumpuan harus diberikan kepada generasi muda atau golongan millennial. Lebih separuh daripada jumlah individu ditangkap SPRM sejak lebih lima tahun lalu, terdiri mereka berusia 40 tahun dan ke bawah.

Berdasarkan statistik SPRM antara 2014 hingga Jun lalu, 4,860 ditangkap kerana rasuah dengan 2,594 atau 53.4 peratus adalah generasi muda.

Menurut Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, semua usaha untuk membanteras rasuah bakal menjadi sia-sia sekiranya tumpuan tidak diberikan kepada generasi akan datang. Pembelajaran dan kesedaran 'katakan tidak pada rasuah' harus bermula awal, iaitu pada peringkat sekolah lagi.

Beliau juga berpandangan Kementerian Pendidikan harus memasukkan pendidikan antirasuah dalam mata pelajaran.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye, juga bersetuju pentingnya pendidikan antirasuah dimulakan di sekolah.

Ia boleh mendedahkan pelajar mengenai kesan buruk budaya rasuah terhadap sesuatu bangsa, negara dan agama.

Pada masa sama, pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan masyarakat sivil antirasuah amat penting bagi memastikan aspirasi kerajaan dalam membendung rasuah dan memupuk budaya integriti, khususnya kepada generasi muda tercapai.

Selain itu, kerajaan harus meminda akta berkaitan rasuah dengan hukuman lebih berat atau penalti tinggi kepada perasuah. Dengan pindaan akta ini, diharapkan dapat membanteras aktiviti rasuah dan meningkatkan lagi integriti masyarakat.

Dari sudut lain, pengukuhan agama juga penting dalam membanteras rasuah. Kekuatan iman dan takwa mampu menjadi benteng daripada terjebak dengan aktiviti rasuah.

Apabila rakyat, pemimpin atau jentera kerajaan bencikan rasuah maka amalan berkenaan dapat dibanteras.

Tuntasnya, pelaksanaan dan penguatkuasaan NACP 2019-2023 perlu diperkukuhkan demi mengekang budaya rasuah dalam kalangan masyarakat, sekali gus menjadikan Malaysia dikenali negara berintegriti.

Semoga usaha ini tidak seperti mencurah air di daun keladi!

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor

Berita Harian X