Khamis, 6 Ogos 2020 | 11:00am
Dewan Undangan Negeri Sabah. - NSTP/Malai Rosmah Tuah
Dewan Undangan Negeri Sabah. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

PRN Sabah peluang nilai prestasi pemimpin, parti

Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah membuka ruang kepada pemimpin baharu dan lama bersaing dalam gelanggang politik negeri yang memang terkenal dengan kekerapan peralihan kuasa. Sebanyak 73 kerusi akan menjadi pertaruhan pada pilihan raya negeri (PRN) ini dengan 13 kerusi baharu.

Pengagihan kerusi menjadi isu dibincangkan dalam kalangan parti bakal bertanding. Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan mengadakan perbincangan dengan rakannya dalam gabungan Parti Warisan Sabah (WARISAN)-Pakatan Harapan (PH).

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) meletakkan harapan tinggi bertanding di 45 kawasan walaupun tidak disenangi segelintir pemimpin UMNO. UMNO yang pernah menjadi parti dominan di Sabah dari 1994 hingga 2018 bercadang mempertahankan semua 32 kerusi ditandinginya pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Parti lain seperti WARISAN, PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Cinta Sabah (PCS) sehingga artikel ini ditulis, belum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai jumlah kerusi akan ditandingi.

Persoalan sering diungkit pengundi, apakah parti bertanding akan mengemukakan muka baharu. UMNO misalnya bakal mengetengahkan lebih ramai pemimpin muda sejajar status autonomi diberikan. Sejauh mana parti lain melakukan perkara sama hanya dapat dilihat dalam tempoh terdekat ini.

Persoalan kedua, faktor winnability calon akan diketengahkan. Sukar dinafikan dalam konteks politik Sabah, calon lebih penting daripada parti. Setiap parti ada cara tersendiri memilih calon berkeupayaan meraih undi.

Berdasarkan sentimen semasa, rakyat menginginkan pemimpin baharu yang mampu memberikan idea dan dasar baharu untuk membangunkan ekonomi negeri. Bisikan irih om irih (itu itu juga) sering kedengaran apabila pemimpin lama diletakkan semula.

Cabarannya adalah memastikan sinergi antara pemimpin baharu dengan lama bagi meyakinkan pengundi bahawa parti mempunyai rancangan peralihan kuasa jelas dan tersusun. Segelintir berpandangan parti yang ada digunakan sebagai platform oleh pemimpin lama untuk memastikan kelangsungan politik masing-masing.

Sudah tentu yang akan menjadi perhatian ialah kewibawaan tokoh politik Sabah seperti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN); Tan Sri Musa Aman (UMNO); Datuk Seri Anifah Aman (PCS); Datuk Dr Jeffrey G Kitingan (STAR); Datuk Hajiji Noor (BERSATU) dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO).

Mohd Shafie dijangka mampu mempertahankan kerusi kerana ketokohannya terserlah berdasarkan pengaruh di Pantai Timur Sabah. Musa pula dijangka bertanding semula untuk kembali aktif dalam politik negeri.

Walaupun Anifah sebagai Presiden PCS belum mengumumkan kerusi ditandingi, beliau begitu aktif menarik lebih ramai penyokong dan personaliti tempatan. Beliau yang mengambil alih PCS daripada Wilfred Bumburing dijangka memberikan persaingan sengit kepada parti lain lebih dominan.

Sebagai Presiden STAR, Kitingan dijangka tidak akan mensia-siakan peluang menjadi 'pemain utama' berdasarkan ketokohan memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 dan autonomi untuk Sabah sejak 1980-an.

Walaupun terkenal tindakan berpindah parti, Kitingan muncul sebagai kingmaker pada PRN lalu apabila dua kerusi dimenangi STAR membolehkan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan sebelum digulingkan angkara lima ADUN BN keluar parti serta menyokong WARISAN dan sekutunya.

Hajiji dijangka tidak sukar mempertahankan kerusi walaupun BERSATU menghadapi persaingan sengit dengan WARISAN terutama di kawasan majoriti Bumiputera Islam.

Madius yang mengemudi UPKO dijangka akan bertembung dengan PBS, STAR dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di kawasan majoriti Bumiputera bukan Islam.

Kerusi seperti Tanjong Batu, Balung, Pitas, Kuamut, Sebatik, Inanam, Paginatan, Sugut dan Kuala Penyu tentu menjadi perhatian selepas keputusan wakil rakyatnya menyokong Musa sehingga tumbang kerajaan pimpinan Mohd Shafie. Apakah pengundi akan bertindak memilih calon alternatif? Mungkinkah pemimpin melompat parti berpindah ke kawasan lain atau tidak dicalonkan?

Dalam sejarah politik Sabah, pemimpin melompat parti bukan hanya dikecam pengundi, bahkan biasanya tidak dipilih semula ketika pilihan raya. Namun, ia bergantung kebolehan pemimpin mengekalkan sokongan berdasarkan personaliti dan keupayaan memanipulasikan politik pembangunan, terutama di pedalaman.

Pasti PRN kali ini bukan hanya tertumpu persaingan antara Mohd Shafie dan Musa tetapi free for all akan digunakan pemain politik untuk menampilkan diri sebagai alternatif. Ia boleh dianggap referendum menilai prestasi kerajaan WARISAN dan penerimaan cubaan menggulingkan kerajaan pimpinan Mohd Shafie.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak

Berita Harian X