Sabtu, 25 Julai 2020 | 8:18am
Kemampuan program TVET melahirkan graduan versatil terbukti menjana kemajuan ekonomi negara. - Foto hiasan
Kemampuan program TVET melahirkan graduan versatil terbukti menjana kemajuan ekonomi negara. - Foto hiasan

Majikan 'pilih bulu' sekat potensi graduan TVET

MENELUSURI Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) menuntut paradigma baharu dalam pelbagai sektor pekerjaan dan dasar digitalisasi, memerlukan kemahiran tertentu serta kecelikan teknologi tinggi. Setiap individu perlu bersedia mendepani cabaran ini.

Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dilaksanakan negara menggariskan objektif utama untuk menghasilkan graduan kompeten, berkemahiran dan berdaya saing sebelum menempuhi alam pekerjaan.

Penekanan kepada TVET bertujuan meningkatkan kecekapan modal insan berkemahiran, terutama dalam sektor perindustrian, seterusnya menghasilkan tenaga kerja tempatan yang mahir sebagai aset penting mencapai status negara maju sepenuhnya.

Bagaimanapun, cabaran utama dihadapi adalah menghasilkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Pandangan dan tohmahan skeptikal masih meragui peluang masa depan kerjaya bidang ini.

TVET dilihat hanya sesuai untuk sekelompok pelajar keciciran akademik. Ini menjumudkan pemikiran masyarakat. Justeru, TVET kurang mendapat tempat.

Program TVET diberi perhatian khusus dan sokongan kerajaan berikutan pasaran memerlukan pekerja berkemahiran. Impak positif turut menyokong usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Program itu di negara ini mampu merungkai isu pengangguran dalam kalangan graduan. Graduan TVET berkemahiran mampu menjana sektor pekerjaan baharu, justeru membuka peluang kepada graduan dalam bidang lain untuk turut menyumbang dalam sektor perindustrian berasaskan berkemahiran.

Graduan TVET daripada program Diploma Vokasional Malaysia (DVM) contohnya, sudah mampu membina empayar perniagaan sendiri. Kemampuan program TVET melahirkan graduan versatil terbukti menjana kemajuan ekonomi negara.

Rata-rata graduan TVET diterima bekerja dalam sektor dan industri pekerjaan sebaik tamat program mereka. Namun, beberapa isu masih menjadi keluh kesah graduan TVET.

Antaranya, ketidakseragaman gaji meskipun pelajar daripada program sama berikutan ada majikan tidak mengiktiraf dan tidak tahu bahawa DVM ialah kelayakan akademik graduan TVET.

Berbeza graduan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) yang dilihat lebih mendapat tempat pekerjaan dalam industri, graduan DVM sering tercicir. Ada graduan DVM ditempatkan dalam sektor pekerjaan luar bidang kemahiran dan dibayar gaji tidak setimpal kelayakan serta kemahiran.

Jelas, majikan 'pilih bulu' menerima graduan DVM dalam organisasi mereka.

Perkataan vokasional dilihat dogma yang mengikat peluang dan kesamarataan yang perlu diberikan kepada graduan DVM.

Justeru, wacana berbentuk promosi dan kempen berkaitan program vokasional perlu dilipat ganda agar pihak industri peka dan faham status DVM setaraf DKM.

Keterbukaan beberapa universiti awam (UA) dan swasta menerima graduan lepasan kolej vokasional khususnya daripada program diploma untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama ialah langkah positif.

Peluang melanjutkan pengajian ini membuktikan slogan pembelajaran sepanjang hayat benar-benar dipraktikkan. Namun, peluang menyambung pengajian tidak meluas di UA dan swasta.

Ada universiti terikat syarat kemasukan pelajar memerlukan kelayakan untuk program pengajian tertentu. Ini mengehadkan peluang graduan kolej vokasional.

Terdapat pandangan pemegang taruh dalam kalangan pengurusan universiti dan pendidik bahawa aras kesukaran rendah serta kandungan kurikulum terutama subjek berbentuk akademik diajar di kolej vokasional yang tidak mantap, mungkin penyebab lepasan kolej vokasional kurang berdaya saing untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Oleh itu, perlu digaris semula objektif penubuhan kolej vokasional dari segi penggubalan kurikulum dan unjuran graduan keluar, sama ada mereka ingin terus bekerja dalam industri atau melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Perbezaan kelayakan akademik seharusnya bukan penghalang untuk menempuh alam pekerjaan atau pun menyambung pengajian. Orientasi pekerjaan masa kini bukan hanya melihat pencapaian akademik, sebaliknya kemahiran dan kemampuan melaksanakan tugas diamanahkan majikan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal Universiti Putra Malaysia

Berita Harian X