Khamis, 9 Julai 2020 | 8:11am
Larangan merokok di premis makanan masih kekal berkuat kuasa. - NSTP/Khairull Azry Bidin
Larangan merokok di premis makanan masih kekal berkuat kuasa. - NSTP/Khairull Azry Bidin

Nafas baharu pasca COVID-19 tanpa rokok

MERUJUK dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 dilancarkan 29 Mei lalu yang dikongsikan di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), ia menunjukkan prevalen rakyat menghidap darah tinggi dan kencing manis masing-masing 30 peratus dan 18.3 peratus.

Dua golongan ini dianggap berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi teruk jika dijangkiti virus COVID-19.

Risiko berganda jika mereka juga perokok.

NHMS 2019 melaporkan 21.3 peratus rakyat Malaysia dianggarkan merokok. Ini membuka ruang untuk mereka lebih terdedah risiko komplikasi COVID-19 berbanding yang tidak merokok.

Rokok bukan sahaja mendedahkan individu kepada pelbagai penyakit, tetapi juga melemahkan sistem imuniti manusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kenyataan dikeluarkan 27 Mei lalu dan disokong beberapa kajian di luar negara, mendapati perokok berisiko tinggi mendapat komplikasi lebih teruk jika dijangkiti COVID-19 kerana sifat virus itu yang menyerang terutama paru-paru dahulu.

Merokok merosakkan fungsi paru-paru, justeru menjadikan badan lebih sukar melawan COVID-19 dan penyakit lain.

Sebenarnya semua ini boleh dielak jika meninggalkan terus tabiat merokok yang sudah lama dibuktikan membahayakan kesihatan dari segi saintifik.

Berbalik ragam perokok di negara kita, sudah ada rungutan apabila segelintir individu kembali merokok di kedai makanan selepas premis itu dibenarkan beroperasi semula dan pelanggan boleh makan dalam kedai bermula fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Apakah perokok sudah lupa penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan atau restoran yang diwartakan atau buat-buat lupa?

Perkara pokoknya orang ramai melihat perokok seolah-olah mengambil kesempatan atas fokus KKM kini yang sibuk mendepani pandemik. Namun, itu tidak bermakna larangan merokok sudah tidak lagi dilaksanakan.

Menjawab kegusaran masyarakat, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menegaskan baru-baru ini larangan terbabit masih berkuat kuasa, tetapi penguatkuasaan berkurangan kerana KKM memberi tumpuan menangani penularan COVID-19.

Beliau berkata, kerajaan ada perancangan menambah baik kempen larangan merokok bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat serta mewujudkan rang undang-undang kawalan tembakau yang kini pada peringkat penelitian oleh Pejabat Peguam Negara.

Jawapan ini pasti melegakan orang ramai bahawa tindakan KKM mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok bukan hangat-hangat tahi ayam.

Bagi perokok dan pemilik premis makanan, kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan ini wajar diambil peringatan bahawa undang-undang larangan merokok ini 'masih berjalan', bukan di atas kertas semata-mata.

Hakikatnya masalah yang timbul daripada merokok sudah lama dihadapi dan cuba ditangani semua pihak.

Ia masalah bersifat global kerana tembakau yang juga bahan utama dalam sebatang rokok, membunuh lebih 8 juta orang di seluruh dunia setiap tahun.

Daripada jumlah ini, lebih 7 juta kematian disebabkan penggunaan tembakau secara langsung dan sekitar 1.2 juta disebabkan bukan perokok yang terdedah kepada asap rokok terpakai.

Bagi mengingatkan kita mengenai bahaya merokok, dicetuskan 31 Mei setiap tahun untuk seluruh dunia meraikan Sambutan Hari Tanpa Tembakau termasuk Malaysia yang memilih tema tahun ini 'Generasi Muda Mesti Dilindungi'.

Tanpa kita sedar, saban tahun kira-kira 10,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik.

Ini memberi kesan besar kepada negara apabila kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.

Ambillah iktibar bahaya merokok kerana dalam Islam, Allah SWT jelas melarang hamba-Nya mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan dan membazirkan harta serta boros untuk sesuatu yang sia-sia.

Pilihan untuk setiap perokok memulakan nafas baharu sentiasa ada dan tidak pernah ada istilah sudah terlewat.

Ambil tanggungjawab bertindak segera demi menjaga kesihatan diri sendiri serta melindungi orang yang dikasihi.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X