Khamis, 18 Jun 2020 | 10:28am
Terumbu karang antara khazanah laut perlu dijaga. - Foto AFP
Terumbu karang antara khazanah laut perlu dijaga. - Foto AFP

Jangan korbankan khazanah laut

Seperti diumumkan, pada 10 Jun lalu adalah permulaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Malaysia dalam usaha berterusan mencapai matlamat memutuskan rantaian COVID-19 di seluruh negara.

Dengan berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), maka pengusaha industri pelancongan tempatan diberi kelonggaran tambahan berbanding sebelum ini bagi memacu kembali ekonomi negara yang terkesan akibat penularan pandemik.

Meskipun pelancong asing masih tidak dibenarkan masuk ke Malaysia, dijangka berlaku kebanjiran pelancong tempatan di lokasi pelancongan tempatan, termasuk pesisiran pantai dan laut.

Dalam kesungguhan kita memerangi pandemik, secara sedar atau tidak, terdapat dua sambutan penting pada dua hari terakhir PKPB di Malaysia iaitu Hari Lautan Sedunia dan Hari Segi Tiga Terumbu Karang, masing-masing pada 8 dan 9 Jun lalu.

Sebenarnya, banyak negara mula menyambut hari istimewa ini sejak 1992 berikutan Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan yang diadakan di Rio de Janeiro, Brazil.

Pada 2008, Perhimpunan Agung PBB memutuskan 8 Jun 2009 ditetapkan Hari Lautan Sedunia.

Hari Segi Tiga Terumbu Karang pula perayaan besar khasnya buat komuniti zon segi tiga terumbu karang yang menjadi pusat kepelbagaian biologi laut dunia.

Ia merangkumi lautan enam negara di wilayah Asia Pasifik iaitu Indonesia, Papua New Guinea, Filipina, Kepulauan Solomon, Timor Leste dan Malaysia yang juga salah satu negara mega diversiti dunia.

Mungkin ada tertanya-tanya apakah peranan yang boleh dimainkan setiap individu untuk merayakan dan menjayakan kedua-dua sambutan tahunan itu?

Kita mempunyai kesempatan untuk meningkatkan kesedaran global mengenai manfaat diperoleh manusia daripada lautan melalui pelbagai aktiviti. Ia tidak terhad kepada membersihkan pantai, makan malam dan pameran makanan laut yang mampan, bazar serta pesta pantai.

Sebaliknya, semua aktiviti yang membawa pesanan pemuliharaan lautan di bawah panji perairan bersama, penyelesaian bersama serta peranan perseorangan dan kolektif untuk menggunakan sumber lautan secara lestari, seterusnya melindungi dan memulihara segi tiga terumbu karang.

Tidak dinafikan generasi masa hadapan juga akan bergantung kepada lautan untuk mencari rezeki, termasuk mendapatkan sumber makanan serta pendapatan melalui industri pelancongan.

Lautan kita adalah masa depan kita. Melalui tema Hari Lautan Sedunia 2020 iaitu 'Inovasi Untuk Kelestarian Lautan' dan tema Hari Segi Tiga Terumbu Karang, 'Sayangi Terumbu Karang' marilah kita bersama menggerakkan usaha meningkatkan kesedaran setiap individu pentingnya lautan dalam kehidupan manusia.

Semoga pengusaha industri pelancongan tempatan yang mendapat lebih kelonggaran ketika fasa PKPP ini dapat menghayati matlamat sambutan Hari Lautan Sedunia 2020 dan Hari Segi Tiga Terumbu Karang 2020, dengan memastikan langkah sewajarnya diambil serta memantau pengunjung kawasan peranginan di sekitar ekosistem lautan tempatan agar menjaga kebersihan serta kelestarian alam sekitar.

Mengambil kira sambutan Hari Lautan Sedunia, Hari Segi Tiga Terumbu Karang serta International Day for Biological Diversity (IDB) yang disambut lebih awal pada 22 Mei lalu, Pusat Penyelidikan Pemuliharaan dan Penggunaan Mapan Sumber-Sumber Semulajadi (COR-SUNR), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan menganjurkan International Conference on Biodiversity (ICB2020).

Persidangan secara maya ini akan menghimpunkan hasil penyelidikan dari dalam dan luar negara atas tujuan mempromosikan hasil kajian berkaitan dengan biodiversiti.

Orang ramai yang berminat turut serta boleh melayari laman sesawang https://icbuthm2020.wixsite.com/icb2020 untuk maklumat lanjut.

Penulis adalah Penyelidik Utama, Pusat Penyelidikan Pemulihan dan Penggunaan Mapan Sumber-Sumber Semulajadi (COR-SUNR) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Berita Harian X