Khamis, 23 April 2020 | 11:21am
Anggota keselamatan memeriksa suhu penunggang motosikal di sekatan Jalan Raja Alang Kampung Bharu bagi menyekat penularan COVID-19. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Anggota keselamatan memeriksa suhu penunggang motosikal di sekatan Jalan Raja Alang Kampung Bharu bagi menyekat penularan COVID-19. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Pandemik membirukan langit

Sejak awal Mac, hampir semua negara bergejala COVID-19 akibat virus SARS-CoV-2 mengenakan perintah berkurung kepada rakyatnya, termasuk Malaysia.

Peningkatan drastik angka kes baharu melebihi 1.5 juta dengan statistik kematian tinggi. Pegawai kesihatan di China mengatakan virus mudah disebarkan melalui titisan air liur, batuk atau bersin sama ada secara langsung atau pada objek.

Majalah ilmiah tersohor Nature dan New England Journal of Medicine melaporkan bahawa virus SARS-CoV-2 dan SARS-CoV-1 dapat bertahan pada udara selama tiga jam dan pada permukaan seperti plastik, logam, kertas sehingga 72 jam.

Virus perlu perumah (manusia) untuk terus membiak, jika tidak ia akan mati. Saintis menganalisis bukti awal penularan bawaan udara atau zarah lebih kecil daripada udara yang dihembuskan, dikenali sebagai aerosol.

Aerosol bersaiz kurang 5 mikrometer dan mampu bergerak lebih jauh di udara dan jika tersedut mampu memasuki sistem pernafasan ke paru-paru.

Penyelidikan sejak 2005 menunjukkan transmisi melalui aerosol faktor utama kaedah penularan Influenza A dan SARS-CoV-1.

Pada 27 Mac lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan tiada bukti cukup menunjukkan SARS-CoV-2 adalah bawaan udara, kecuali dalam kes terpencil perubatan seperti ketika intubasi pada pesakit dijangkiti.

Saintis memberi amaran pengumpulan data mencukupi memakan waktu bertahun dan mengorbankan nyawa.

Pada 16 April, Gabenor New York mengenakan syarat pemakaian topeng muka. Pilihan terbaik seharusnya mempunyai penapis tahap PM2.5 yang dapat menapis bahan zarah berdiameter kurang 2.5 mikrometer (3 peratus diameter rambut manusia).

Sempena Hari Bumi semalam (22 April), kita mesti ingat gejala aerosol berkaitan kualiti udara PM2.5. WHO pernah menyatakan udara kotor, di dalam dan luar rumah, membunuh 7 juta nyawa setahun.

Penyelidikan Universiti Harvard menunjukkan 15 peratus kadar kematian COVID-19 lebih tinggi di bandar yang mempunyai 1mg/m3 lebih banyak PM2.5 di udara.

Zarah halus mampu menembusi jauh dalam badan menyebabkan tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan masalah pernafasan boleh meningkatkan komplikasi pesakit.

Zarah itu juga melemahkan sistem imuniti dan membakar peradangan pada paru-paru, menambah risiko terkena COVID-19.

Langkah berjaga-jaga, seperti meningkatkan pengudaraan dalam rumah, harus disyorkan untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Virus novel ini sebenarnya memanfaatkan kelemahan ketara manusia, daripada kelemahan penjagaan kesihatan diri hingga ketidaksamaan sosial yang melampau.

Pencemaran udara umpama barah pandemik, tetapi pandemik itu buat sementara waktu membersihkan langit. Netizen bandar raya besar seperti Paris dan Delhi menularkan gambar kebiruan langit dan keindahan struktur mercu tanda yang bebas pencemaran.

Penduduk utara India terpesona melihat keteguhan Everests yang disembunyikan pencemaran selama 30 tahun. Bandar air Venice menjelmakan kejernihan laut yang bebas bot pelancong. Ekosistem marin kembali mengundang pelancong semula jadinya seperti ikan, burung dan itik.

Impak perintah berkurung seawal seminggu sangat ketara bagi memutuskan rangkaian jangkitan wabak. Jutaan isi padu gas pencemar dikurangkan melalui pengurangan industri berat dan pergerakan kenderaan darat mahupun kapal di angkasa dan laut.

Agensi Angkasa Eropah mengesan penurunan besar nitrogen dioksida ke atas China. Pusat pandemik provinsi Hubei merakamkan peningkatan 21.5 peratus hari udara ‘berkualiti’ pada Februari lalu berbanding tempoh sama tahun lalu.

Seolah-olah panggilan bangun bagi dunia untuk mengatasi pencemaran udara. Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan paling ideal, ia jelas membuktikan pencemaran udara adalah buatan manusia.

Udara lebih bersih turut membantu ‘meratakan lekuk’ pandemik, meringankan beban sistem perawatan kesihatan dengan mengurangkan jumlah pesakit COVID-19 bergejala teruk.

Krisis COVID-19 mengajar dunia melabur pada masa depan tenaga bersih dan bersederhana. Malaysia dan rakyatnya perlu meraikan agenda pertanian serta kedaulatan makanan.

Saranan kaedah pertanian berteknologi sangat bertepatan dalam keadaan sekarang dan pada masa akan datang. Serapan gas karbon dioksida oleh tumbuhan mampu menurunkan suhu bumi.

Oksigen dibebaskan tumbuhan memberi kesegaran minda dan meningkatkan kesihatan badan ketika bekerja di rumah. Keindahan langit malam sangat tiada tandingannya bak lagu Malam Bulan Dipagar Bintang karya Tan Sri P Ramlee.

Pengalaman mencerap langit boleh dijadikan aktiviti malam baharu seperti menjengah anak bulan Ramadan. Bukan hanya bintang, seseorang juga dapat melihat Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang mengorbit planet 16 kali dalam sehari.

NASA menyenaraikan waktu tepat ISS merentasi bumi mengikut zon waktu.

Tahun lalu menyaksikan bumi kepanasan dan tercemar angkara pembakaran hutan. Tahun ini, bumi menyejukkan dirinya dan membenarkan penghuninya melihat kegemilangannya sebelum membiarkan semula dirinya dirakus manusia dan haiwannya diratah manusia.

Itulah hadiah terbaik daripada bumi sempena harinya. Apakah hadiah yang kita mampu beri pada bumi yang kita pijak? Kita juga akhirnya kembali ke dalamnya.

Selamat Hari Bumi. #KitaJagaKita #KitaJagaBumi

Penulis adalah Dekan Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia dan Presiden Persatuan Sains Analisis Malaysia

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X