Ahad, 12 April 2020 | 11:00am
Anggota Polis dan ATM membuat kawalan jalan raya di Pekan Serendah, Ulu Selangor pada Tinjauan Pekan Serendah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa kedua. - Gambar hiasan/Foto Saifullizan Tamadi
Anggota Polis dan ATM membuat kawalan jalan raya di Pekan Serendah, Ulu Selangor pada Tinjauan Pekan Serendah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa kedua. - Gambar hiasan/Foto Saifullizan Tamadi

Sektor terpilih kembali operasi mesti akur PKP

Keputusan membuka semula beberapa sektor terpilih secara berperingkat menunjukkan kerajaan menyedari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melebihi tiga minggu memberi impak dan kesan besar kepada ekonomi. Ia ekoran sekatan terhadap aktiviti perusahaan, perkilangan dan perniagaan sepanjang tempoh itu.

Pihak terbabit dalam sektor berkaitan dapat menarik nafas lega untuk menerus aktiviti dan perancangan tergendala sepanjang PKP.

Pekerja pula khususnya golongan B40 yang terbabit dalam sektor terpilih, dapat mengukir senyuman kerana mereka antara golongan paling terkesan dan terjejas. Kebanyakannya hilang sumber pendapatan khususnya pekerja gaji harian.

Ada yang kehabisan wang simpanan hingga terpaksa mencatu makanan, menahan lapar dan mendapatkan bantuan makanan bagi memastikan kelangsungan hidup. Pengumuman itu pasti memberi harapan kepada pengusaha serta pekerja terbabit dalam sektor terpilih.

Dalam menentukan sektor terbabit, Jawatankuasa Khas Kabinet dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri perlu meneliti secara khusus dan mengutamakan kepentingan sektor berkenaan secara langsung menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Pemilihan sektor tepat adalah penting bagi memastikan pergerakan pusingan dalam ekonomi dapat dirangsang semula walaupun secara perlahan dan berperingkat.

Ekonomi negara seolah-olah terhenti dan tiada sebarang aktiviti dijalankan sepanjang tempoh PKP. Pengumuman kerajaan membenarkan sektor terpilih beroperasi secara berperingkat bagaikan satu titik permulaan bagi merangsang dan memulihkan semula ekonomi negara.

Kerajaan perlu meletakkan kuota sektor terpilih untuk dibuka secara berperingkat kelak mengikut kepentingan dan keperluan untuk memastikan kawalan pergerakan dan usaha memutuskan rantaian COVID-19 dapat dilakukan sepenuhnya.

Meskipun, pembukaan sektor terpilih itu perlu, setiap pengusaha bertanggungjawab memastikan rantaian COVID-19 tidak berlaku dan tidak menambahkan klusternya.

Pelaksanaan pembukaan secara berperingkat itu, perlu dilengkapi garis panduan penjagaan kesihatan jelas kepada pengusaha dan pekerja untuk memastikan kelonggaran itu tidak disalahgunakan.

Oleh itu, majlis bandar raya, majlis perbandaran, mahupun majlis daerah perlu turut serta memantau kawalan pergerakan ketika pembukaan sektor secara berperingkat di kawasan pengendalian mereka.

Pada peringkat permulaan, tempoh beroperasi antara jam 8 pagi hingga 4 petang perlu dihadkan, contohnya. Memandang sektor terpilih bukan pengeluaran makanan, adalah tidak wajar tempoh operasi menyamai kedai atau pasar raya menjual makanan.

Mungkin sektor terbabit dibuka mengikut hari tertentu supaya usaha memutuskan rantaian COVID-19 tidak sia-sia.

Kerajaan mungkin boleh memberi pertimbangan untuk hard- ware atau perkakasan, barangan elektrik dan elektronik dibuka secara berperingkat. Ini berikutan permintaan dan keperluan meningkat serta diperlukan sepanjang tempoh PKP.

Namun, dalam konteks perkhidmatan gunting rambut yang mendapat permintaan tinggi ketika ini, kerajaan perlu mengkaji dengan teliti. Menjadi kekhuatiran sekiranya perkhidmatan gunting rambut dibuka, penjarakan sosial gagal dipatuhi pelanggan dan tukang gunting. Ia boleh mengakibatkan ancaman COVID-19 lebih kritikal. Mungkin perlu mekanisme lain bagi perkhidmatan ini.

Hakikatnya, rangsangan ekonomi negara perlu dimulakan dengan segera, namun kesihatan dan kebajikan rakyat menjadi keutamaan pada masa ini.

Lantaran itu, satu mekanisme perlu dibentuk kepada syarikat, pengusaha dan kilang bagi sektor yang terpilih kelak agar mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan sepanjang beroperasi dalam tempoh PKP.

Semua pihak sudah pasti sedia maklum garis panduan dan kawalan pergerakan sepanjang PKP. Namun, sejauh manakah tahap pelaksanaan dan pemahaman dapat ditentukan.

Seandainya ada syarikat, pengusaha, kilang dan orang mengambil mudah hingga gagal mematuhi peraturan ditetapkan, hukuman atau kompaun maksimum, termasuk membatal kebenaran operasi perlu dilaksanakan tegas.

Pengumuman itu menggambarkan kerajaan menyelami keperitan dihadapi pengusaha dan pekerja dalam sektor berkaitan sepanjang PKP.

Menjadi tanggungjawab pengusaha, syarikat dan kilang yang terpilih kelak menunjukkan kepatuhan kepada garis panduan serta peraturan ditetapkan ketika operasi secara berperingkat sepanjang tempoh PKP.

Penulis dari Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X